Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 57

Sumpah Seladang Merah

Saya lihat datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono pada saya.

“Ayuh, orang muda,” suara Sajono lembut.

“Cucu saya, masih bodoh pak.”

“Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan berhadapan dengan perkara semacam ini.”

“Tapi... ”

“Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak-tidaknya akan jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh,” Sajono menggosok-gosok kepala saya.

Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu. Saya berharap datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono itu.

“Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang.” Kata datuk. Ternyata, saya tidak ada pilihan lain.

Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya terkangkang. Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka Sajono.

“Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di bahagian tangannya,” perintah Sajono. Saya renung muka datuk minta simpati. Datuk tersenyum.

“Buka kunci di tangannya Tamar,” perintah datuk. Saya sungguh kecewa dengan sikapnya itu.

Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada pangkal belikat saya. Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula melompat dan menari, tidak ubah macam orang orang berjoget.

“Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendangmu, ada orang lain yang membuatnya,” Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi saya.

Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Saya segera duduk di sebelah datuk. Sajono terus merenung dengan renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.

“Duduk di sini,” kata Sajono. Samad Perang terus duduk.

Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah pinggangnya. Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian dia menentang biji mata Samad Perang. Samad Perang angkat kepala dan terus menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis. Sajono tetap tenang dan matanya tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.

“Bangun, tentang mata saya,” kata Sajono. Samad Perang berusaha bangun. Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia rebah.

Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.

“Awak bangun perlahan-lahan Samad dan kemaskan sila, duduk mengadap saya,” ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.

Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas pulas, akhirnya Samad Perang berjaya. Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa. Mereka Cuma memperhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang. Sajono merenung muka datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono rapat pada Samad Perang.

“Yang jahat, yang baik semuanya keluar,” suara Sajono meninggi.

Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.

“Biarkan dia sedar sendiri.” Beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan datuk. Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang.

Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi, suara cengkerik juga tidak sehebat tadi. Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup. Samad Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih sekali. Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.

“Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri,” cukup lantang suara Sajono. Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya bergerak-gerak.

Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya dengan menggunakan kain pelikat.

“Air,” muka Samad Perang.

“Berikan,” ujar Sajono.

Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat Bukit serahkan pada Samad Perang.

“Minum,” kata Sajono.

“Terima kasih,” jawab Samad Perang.

Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri Samad Perang digenangi air jernih. Tetapi dibibirnya tetap terukir segaris senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.

“Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan santun,” kata isteri Samad Perang pada datuk. Sajono yang berwajah tenang menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya.

“Kau menangis, Sofiah?”

“Tak, saya tak menangis bang.”

“Matamu berair.”

“Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik.”

“Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah.”

“Abang sebenarnya sakit.”

“Sakit?” Samad Perang renung Mamat Bukit.

Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh isterinya.

“Beri dia bantal, biar dia berehat,” Sajono menujukan kata-kata itu pada isteri Samad Perang. Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal.

Samad Perang saya lihat seperti keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat pada tiang seri.

“Saya mengantuk,” katanya pada Mamat Bukit.

“Tidurlah dulu.”

“Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan,” suara Samad Perang lemah sekali.

Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya dan isterinya menyorongkan bantal.

“Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga,” isteri Samad Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.

Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat mendengar suara dengkur Samad Perang.

“Selesai atau ada lagi Kiai?” cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.

“Ada lagi ke Kiai?” ulang Mamat Bukit.

“Untuk malam ini dah selesai, malam esok saya datang untuk menamatkannya,” Sajono bangun.

JALAN

Saya dan datuk juga berjalan dalam ruang rumah dua kali. Bermula dari arah selatan menuju ke utara dan berhenti di muka pintu. Dia merenung malam yang gelap, merenung pokok-pokok yang tertegun di halaman. Kokok ayam bertambah kerap. Udara sejuk kian terasa.

“Saya nak pulang,” kata Sajono pendek dan ketika itu juga saya terdengar jam dinding di rumah Samad Perang berbunyi sebanyak dua belas kali.

Mamat Bukit segera turun ke tanah. Isteri Samad Perang membawa lampu gasolin ke muka pintu. Cahaya daripada lampu gasolin menerangi sebahagian daripada kawasan halaman rumah.

“Saya hantarkan Kiai,” ujar Mamat Bukit sambil menolak basikal tua keluar dari bawah rumah. Sajono memijak mata anak tangga dengan teliti.

Dia akhirnya menyarungkan selipar kulit ke kaki. Berdiri di situ sejenak.

“Malam esok saya datang lagi, saya minta sediakan rotan halus atau rotan seni yang panjangnya kira-kira tiga kaki,” Sajono meninggalkan pesan pada isteri Samad Perang.

“Saya balik dulu, malam esok saya harap awak datang,” Sajono merenung muka datuk.

“Dengan izin Allah saya akan datang,” balas datuk.

“Saya harap Allah akan memperkenankan permintaan awak,” balas Sajono lalu bersalaman dengan datuk.

“Jaga suami awak baik-baik, saya rasa malam ni dia akan tidur sampai siang. Kalau takut, cari kawan,” Sajono renung isteri Samad Perang.

“Baik Kiai, saya jaga dia.”

“Lepas hantar Kiai, saya datang ke mari,” cara mendadak Mamat Bukit bersuara.

“Bagus,” celah datuk. Sajono renung muka saya dan tangan kanannya menepuk bahu kiri saya.

Sajono terus duduk di bahagian belakang basikal. Mamat Bukit pun kayuh basikal tanpa lampu membelah malam yang gelap.

“Hebat, naik basikal malam tak berlampu,” kata saya.

“Mamat sudah biasa begitu,” sahut isteri Samad Perang.

Datuk ketawa kecil, seolah-olah memberitahu saya, itulah keistimewaan orang kampung yang tidak kenal duna moden, tidak kenal lampu letrik di tepi jalan. Tetapi, mereka tidak pernah mengeluh dengan keadaan itu, mereka hadapi dengan tenang dan penuh cabaran.

“Kami balik dulu,” beritahu datuk pada isteri Samad Perang.

“Selamat jalan, jangan lupa malam esok datang lagi.”

“Kalau tak ada sakit demam dan umur pula panjang, saya sampai, jawab datuk.

Saya dan datuk sampai ke rumah hampir pukul satu subuh. Nenek menyambut kami dengan wajah yang masam di muka pintu. Tetapi, datuk tetap memberikan senyum yang paling manis untuk seorang isteri yang setia, seperti nenek.

“Janda mana yang awak gila, anak dara mana yang awak intai hingga jauh malam baru sampai ke rumah,” gegendang telinga saya menangkap suara nenek.

“Tak ada janda, tak ada anak dara, yang ada awak seorang aje, sebab itulah saya balik ke rumah,” tingkah datuk yang diakhiri dengan ketawa pendek.

Nenek terus diam dan merapatkan daun pintu serta menguncikannya sekali. Saya terus merebahkan badan di bilik kecil yang dikhaskan untuk saya. Semua yang saya lihat dan alami di rumah Samad Perang terbayang kembali. Sukar untuk dipercayai dengan fikiran yang waras, bila seseorang menyuruh sesuatu yang dianggap jahat dan baik keluar dari tubuh manusia, kemudian mengizinkan benda yang baik menguasai hati dan perasaan manusia seperti yang dilakukan oleh Sajono pada Samad Perang. Andainya, kalau saya ceritakan pada orang lain tentang kejadian itu, pasti orang yang mendengarnya ketawa dan mengira perkara itu tidak masuk akal lalu menuduh saya pembohong.

Tetapi, perkara yang tidak masuk di akal itulah yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri. Memang aneh, dunia dan manusia tidak dapat dipisahkan dari menjalani kejadian-kejadian aneh yang kadang-kadang tidak masuk di akal, kata hati kecil saya sambil menarik selimut. Akhirnya saya terlelap.

Saya terjaga dari tidur, bila datuk menarik kaki saya dengan kuatnya.

“Bangun, jangan dilayan kemahuan hati, nanti kau berkawan dengan syaitan, bangun sembahyang Subuh,” katanya keras.

Saya tidak boleh membantah. Saya pun bangun dan menjalankan rukun Islam kedua.

KETIGA

Datuk sengaja pulang lewat ke rumah Samad Perang malam ini. Kata datuk tidak guna pergi awal, Sajono sendiri sudah mengatakan yang dirinya akan sampai ke rumah tersebut pukul dua belas tengah malam.

“Pukul sebelas kita bertolak dari rumah, sementara itu biar aku membaca Quran,” beritahu datuk pada saya.

Rasa gembira menguasai hati saya, bila mendengar keputusan dari datuk.

“Kau pergi baca surah Yasin,” ujar datuk lagi.

“Saya baca dalam bilik tuk.”

Tanpa membuang masa saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari dalam.

Membaca surah Yasin, bukanlah satu tugas yang menyenangkan hati saya, lebih-lebih lagi kalau ada tugas lain yang saya kira lebih mustahak dari itu. Jadi, saya buat keputusan yang muktamad. Saya tidak mahu membaca surah Yasin. Saya harus menyambung kerja saya yang terbengkalai sejak dua tiga hari yang lalu, iaitu membuat sangkar burung. Pelita minyak tanah saya pasang dua sekali. Keadaan dalam bilik cukup terang tetapi, saya tidak puas hati. Saya mahu cahaya yang terang lagi. Saya pasang lima batang lilin. Kemudian saya keluarkan pisau kecil serta bilah-bilah buluh yang sudah diraut dari bawah katil. Saya pun memulakan kerja membuat sangkat burung mengikut bentuk yang saya ingini.

“Tamar kau baca Yasin atau tidur, tak dengan suara pun.”

“Saya baca tuk, tapi tak boleh kuat, suara serak, tekak saya sakit.”

“Betul ke ni Tamar.”

“Betul, sumpah tuk,” kata saya sambil menajamkan bilah buluh bahagian bawah, kemudian bilah itu saya tekan pada rotan yang dijadikan gelegar sangkar.

Bagi meyakinkan hati datuk yang saya membaca surah Yasin sesekali saya tinggikan suara sambil menyebut beberapa ayat dari surah tersebut yang saya ingati. Sambil melakukannya, saya ketawa sendirian kerana saya sudah berjaya memperdayakan datuk. Tepat jam sebelas malam, datuk terus ketuk pintu bilik. Kelam-kabut saya sorongkan sangkat yang baru siap separuh ke bawah katil. Kepala saya sarungkan dengan songkok, surah Yasin saya pegang. Pintu bilik saya buka lebar-lebar.

“Bagus, kau cucu yang baik dan mendengar cakap,” kata datuk.

“Terima kasih tuk.”

“Habis, apa lagi.”

Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek Cuma menghantar hingga ke kaki tangga saja. Nenek berpesan supaya kami berhati-hati berjalan kerana banyak binatang bisa yang merayap malam. Begitulah sikap nenek saya, dalam marah dia tetap sayangkan suami. Setiap detik yang berlalu, tidak dipersiakan begitu saja, tetap diisi dengan doa dan harapan semoga berbahagia serta dipanjangkan usia.

“Nenekmu wanita kampun yang banyak menyerahkan harapan pada keadaan. Seorang isteri yang setia tetapi mempunyai suami yang kurang mementingkan hati dan perasaannya,” datuk mengeluh dalam perjalanan.

“Saya sayangkan nenek tuk.”

“Aku juga sayangkan dia Tamar. Kalau kau mencari isteri, carilah perempuan sebaik nenekmu.”

“Saya tak mahu kahwin tuk.”

“Satu waktu, kau akan kahwin juga Tamar.”

“Dengan siapa tuk.”

“Hanya Allah Yang Maha Besar akan menentukan jodohmu Tamar.” Saya tersenyum mendengar cakap datuk.

Saya bayangkan dalam kepala wajah-wajah gadis yang saya kenali. Tetapi, semuanya tidak saya minati. Kami sampai ke rumah Samad Perang. Sajono dan Mamat Bukit duduk di bawah pokok bertemankan lampu minyak tanah. Datuk tidak menyoal kenapa mereka duduk di luar tidak di dalam rumah. Datuk tahu selagi belum tepat jam dua belas malam, Sajono tidak akan memijak lantai rumah Samad Perang. Saya dan datuk turut duduk di bawah pokok. Sajono yang tenang tidak banyak bercakap. Tetapi, Mamat Bukit tetap rancak bercakap dengan datuk.

MASUK

Tepat jam dua belas. Kami pun masuk ke rumah Samad Perang. Duduk di ruang tengah. Isteri Samad Perang menyerahkan rotan seni pada Sajono.

“Bagaimana keadaannya,” tanya Sajono.

“Alhamdulillah, dia tidak meracau dan terus tidur, bila dia jaga dia minta air.”

“Lagi.”

“Dia bercakap dengan baik dan mula bertanya khabar tentang kawan-kawannya.”

“Bersyukurlah pada Allah yang memberkati usaha-usaha kita,” Sajono menadahkan kedua belah telapak tangannya sambil membaca sesuatu.

Bila mulutnya berhenti bergerak, kedua belah telapak tangannya menyapu muka.

“Saya mulakan sekarang,” beritahu Sajono pada datuk dan Mamat Bukit.

“Silakan,” jawab Mamat Bukit dan datuk serentak.

Sajono terus membuka kunci pada rantai besi yang mengikat tangan Samad Perang.

“Bangun,” Sajono kejutkan Samad Perang, tergesa-gesa Samad Perang, gosok kelopak mata serta duduk bersila di depan Sajono.

Tangan kanan Samad Perang dijamah oleh Sajono, tiap sendi jejari tangan itu dipicitnya berkali-kali. Kemudian Sajono mengikat jejari tangan kanan itu dengan rotan seni. Bila dirasakannya ikatan itu sudah cukup kejap, Sajono terus merentapnya dengan kasar sekali. Samad Perang kelihatan cemas wajahnya berkerut menahan rasa sakit. Samad Perang terus menjerit dan meronta-ronta. Sajono terus memegang hujung rotan dengan sekuat hatinya. Samad Perang berpusing-pusing di lantai, dia bagaikan kehilangan tenaga untuk berdiri dan jejari tangan kanannya yang diikat dengan rotan, kelihatan lembik. Samad Perang terus lemah, suaranya bagaikan tidak keluar ketika itu juga Sajono meratapinya, lalu menepuk belakangnya. Saya lihat Samad Perang terus kaku, macam patung kayu tetapi, kelopak mata masih boleh dipejam celikkan.

“Syaitan masih mahu mengganggunya lagi,” Sajono renung muka Mamat Bukit. Cepat-cepat Mamat Bukit anggukkan kepala. Datuk juga begitu.”

Samad Perang rebah perlahan-lahan atas lantai. Tetapi Sajono segera memulihkan badan Samad Perang yang lemah itu dengan melucutkan rotan yang mengikat kelima-lima jari kanannya.

“Samad,” kata Sajono.

“Ya.”

“Kau kenal dengan saya?”

“Tak kenal, awak siapa?”

“Saya Sajono, datang untuk berusaha memulihkan sakit dan Allah mengizinkan usaha itu, kau beransur sembuh.”

“Terima kasih.”

“Ingat Samad, Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui, tidak ada kuasa yang boleh mengatasi kuasa Allah, penunggu itu syaitan.”

“Saya faham,” kata Samad Perang.

Sajono tersenyum merenung kami. Dia menyerahkan rotan yang telah digunakannya pada isteri Samad Perang. Dia pun membaca doa kesyukuran pada Allah yang telah memberkati segala usahanya itu.

“Hantarkan saya pulang,” Sajono mengemukakan pertanyaan pada Mamat Bukit yang bersandar di dinding.”

“Terlalu cepat nak balik,” kata datuk pula, muka Sajono di renungnya lama-lama.

Sajono membetulkan songkoknya. Dan hujung kain pelikat di bahu dirabanya berkali-kali.

“Niat dari rumah untuk menolong orang, bila niat sudah tercapai, mesti pulang, hidup tidak boleh banyak cabang nanti ditumpangi syaitan,” Sajono memberikan ceramah pendek. Datuk anggukkan kepalanya.

“Apa puncanya sakit kawan saya ni Kiai,” Mamat Bukit menyoal.

“Amalan yang baik, tersilap langkah itu saja silapnya.”

“Maksud Kiai.”

“Saya cuma dapat memberi tahu setakat itu saja.”

Sajono pun bangun melangkah menuju ambang pintu. Mamat Bukit segera memintas di depannya dan terus menuju ke tanah. Dalam beberapa minit saja, Mamat Bukit sudah sedia dengan basikal buruk di kaki tangga.

“Semoga Allah akan memberkati perjalanan awak,” suara datuk pendek.

“Mudah-mudahan,” jawab Sajono.

Mamat Bukit pun kayuh basikal. Saya dan datuk berpandangan, ketika itu juga saya terdengar suara dari isteri Samad Perang menyuruh kami duduk untuk minum kopi panas. Permintaan itu tidak kami hampakan. Samad Perang yang sudah pulih itu turut sama duduk dekat datuk. Terlalu banyak yang Samad Perang tanyakan pada datuk berhubung dengan dirinya. Semua pertanyaan itu tidak perlu dijawab oleh datuk. Isterinya menjelaskan kedudukan yang sebenar. Di malam yang singkat itu, tanpa diminta oleh sesiapa Samad Perang menceritakan pada datuk dan saya bagaimana nama perang tercantum di hujung namanya.

Menurut Samad gelaran perang di hujung namanya itu diperolehi waktu zaman darurat dulu. Ketika itu dia berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Saya jadi polis di bahagian Jungle Squad, setiap kali saya membawa orang-orang saya masuk hutan, pasukan yang saya pimpin selalu kena serang dan sejak itu nama saya ditambah dengan perkataan perang kerana bila masuk hutan saya mesti berperang dengan komunis,” kata Samad Perang dengan nada suara yang rendah tetapi, wajahnya tetap membayangkan rasa bangga dan megah. Samad Perang juga memberitahu kami, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan jugalah, dia belajar ilmu yang bertujuan untuk mempertahankan dirinya dari serangan pihak musuh.

“Apa ilmu yang kau belajar?” tanya datuk.

“Ilmu kebal, saya juga mandi minyak dan lain-lain lagi hingga saya diberikan oleh guru saya selendang merah.”

“Di mana kau belajar semuanya itu?”

“Waktu saya bertugas di Cincin, Melaka.”

“Apa yang kau dapat dari ilmu yang kau tuntut itu.”

“Bila saya masuk hutan, saya pakai selendang merah, komunis tidak sanggup menentang pasukan yang saya pimpin terlalu lama.”

Datuk terdiam mendengar keterangan dari Samad Perang. Isterinya tersenyum mendengar cerita suaminya.

Samad Perang nampak bersih, biji matanya merenung tulang bumbung rumah dua tiga kali.

“Dulu, suami saya patuh dengan syarat yang diberikan oleh mahaguru, tetapi, sejak dia berhenti semua syarat-syarat itu dilupa,” tiba-tiba isteri Samad Perang bersuara.

Biji mata datuk terbeliak mendengarnya. Samad Perang cuma senyum saja.

“Apa syarat-syaratnya?” Datuk mula mencungkil rahsia. Samad Perang renung isterinya. Kemudian anggukkan kepala, seolah-olah memberi kebenaran pada isterinya untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh datuk.

“Apa syaratnya?” Ulang datuk lagi.

“Sembahyang lima waktu tak boleh tinggal, tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi dan main perempuan, setiap malam Jumaat mesti baca Yasin, tidak boleh makan minum di kedai bukan Islam,” cukup lancar isteri Samad Perang bercakap.

Saya lihat Samad Perang terdiam. Wajahnya nampak kesal sesekali dia menarik nafas panjang, membayangkan rasa hampa dan kecewa dalam hati.

“Semuanya saya langgar, saya minum arak, saya berjudi saya percaya pada perkara-perkara tahyul, akibatnya saya tanggung sekarang. Saya menyesal,” kata Samad Perang.

Saya simpati dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Tetapi, bila saya fikirkan yang dirinya gagal memenuhi syarat-syarat yang dicarinya sendiri. Rasa simpati itu segera hilang.

“Mulai sekarang, ikut pesan guru kamu yang baik itu dan buang perangai yang tidak baik dari dirimu,” datuk melahirkan nasihat.

Datuk minta diri untuk pulang. Samad Perang dan isterinya mengizinkan permintaan datuk itu.

Bila saya dan datuk berada di halaman rumah. Mamat Bukit pun tiba. Mukanya berpeluh dalam kedinginan malam.

“Bagaimana keadaan dirinya,” Mamat Bukit bersuara.

“Nampaknya sihat dan elok.”

“Kata Kiai, dia akan pulih betul dalam seminggu dua ini.

Kiai itu juga beritahu saya, guru tempat Samad Perang belajar ilmu dulu, sepupunya.”

“Apa pesannya, ilmu yang dituntut sudah luput, pesan yang baik mesti diikut, kalau tidak diikut syaitan datang lagi.”

“Sepupunya, masih ada lagi?”

“Sudah balik ke Tanah Jawa.”

Datuk bersalam dengan Mamat Bukit. Kami tinggalkan halaman rumah Samad Perang ketika Mamat Bukit memijak anak tangga pertama. Angin malam terus bertiup lembut, menggugurkan dedaun tua. Kokok ayam mula kedengaran sayup-sayup. Saya dan datuk terus melangkah dengan tenang. Waktu saya dan datuk sampai ke rumah, nenek masih belum tidur lagi. Dia menunggu kami pulang untuk makan malam bersama.

“Nasi dan lauknya masih panas, baru selesai dimasak, saya dah agak awak bersama cucu pulang dalam waktu begini,” kata nenek lalu duduk di sisi datuk.

Kami makan dengan penuh selera, meskipun malam sudah terlalu dekat menuju ke pagi.

PINDAH

Sebulan kemudian, saya dan datuk mengunjungi rumah Samad Perang. Keadaannya sudah banyak berubah, tidak mudah naik darah. Wajahnya kelihatan tenang, berhati-hati bila bercakap.

“Sejak malam itu, saya sudah insaf, saya berkawan baik dengan Sajono, saya belajar ilmu mengubat orang sakt dengan menggunakan rotan,” beritahu Samad Perang pada datuk.

“Kau mahu jadi dukun pula?”

“Saya sudah belajar, kalau ada anak buah saya mengalami sakt macam itu, bolehlah saya gunakan ilmu yang saya tuntut.”

“Bagus, apa kau tak pernah ke hutan lagi mencari rotan?”

“Saya sudah berhenti, biarlah Mamat Bukit dan kawan-kawannya membuat kerja itu.”

“Kau buat apa sekarang?”

“Saya mengusahakan tanah di belakang rumah, saya tanam pisang dan keledek, ini sumber rezeki saya.”

“Pelik?”

“Tak pelik, saya tak mahu buat kerja maksiat.”

“Maksud awak?”

“Masa mencari rotan dulu, sayalah kepala memuja tunggul buruh, pokok besar untuk mencari kekayaan.”

“Aku tak faham Samad.”

“Saya jadi kepala menurun nombor ekor, memang kami berjaya dapat duit ekor sampai lima enam ribu, tapi duit habis begitu saja. Duit haram tetap panas,” Samad Perang mengeluh.

Datuk tersenyum kerana sudah mengetahui rahsia sebenar kenapa Samad Perang menentang bermati-matian ketika dia menyertai rombongan Mamat Bukit mencari rotan dulu.

“Sudahlah Samad lupakan semuanya itu,” kata datuk dengan tenang. Samad Perang ketawa.

“Sebulan dua lagi, saya nak pindah ke Kuala Lumpur, anak saudara saya mengajak saya ke sana, katanya di sana ada banyak peluang berniaga,” terkejut juga saya mendengar cakap Samad Perang itu.

Saya harap apa yang diucapkannya itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Kau bergurau atau sungguh-sungguh,” tanya datuk.

“Apa yang dicakapkannya tu betul, saya dah pergi ke Kuala Lumpur, saya sudah menandakan tanah untuk dibuat rumah, anak saudara saya yang buat semuanya ini,” jawab isteri Samad Perang.

“Di mana? Di Kuala Lumpur tu luas,” soal datuk lagi.

“Di Kampung Nakhoda, dekat Batu Caves, pacak rumah dulu, sementara nak bertapak, malam saya nak jual mee, siang Samad menjual ikan dan sayur di pasar Selayang,”

“Banyak modalnya itu.”

“Anak saudara yang keluarkan modal dulu,” tambah isteri Samad Perang.

Beberapa bulan kemudian, Samad Perang dan isterinya pindah ke Kuala Lumpur. Berita terakhir yang saya dengan dari kawan-kawannya, Samad Perang sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya di Kampung Nakhoda. Tanah haram yang didudukinya, sudah menjadi miliknya sendiri. Dia mendirikan rumah batu dua tingkat. Samad Perang banyak menghabiskan masa lapangnya di masjid.

Saya gembira mendengar berita itu dan berharap Samad Perang tidak akan jatuh dalam dunia perniagaannya, kalau dia jatuh, saya bimbang dia akan membuat kerja lamanya menyembah tunggul dan pokok-pokok besar untuk meminta nombor ekor.

“Allah memberikan jalan yang baik untuknya, semoga dia akan jadi manusia yang berguna pada agama, saya senang dengan cara saya mencari rezeki dengan memanjat bukit untuk mencari rotan,” kata Mamat Bukit, bila dia mendengar berita tentang kawan karibnya itu.
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment