Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 56

Bomoh Terjun

DATUK terus memulaskan kedua belah tangan Samad Perang ke belakang. Udin Candung pula memegang kedua belah kaki. Mamat Bukit terus duduk di atas belakang Samad Perang.

“Dollah kau ambil rotan,” Mamat Bukit beri arahan pada Dollah Beranggas. Cepat-cepat Dollah Beranggas melompat ke tanah dan segera naik ke rumah bersama segulung rotan.

Tanpa membuang masa, Dollah Beranggas buka gulung rotan dan terus mengikat kedua belah pergelangan kaki Samad Perang.

“Rotan. Aku nak ikat tangannya, cepat sikit Dollah,” Dollah pun melemparkan rotan pada Mamat Bukit. Kedua belah tangan Samad Perang pun terus diikat.

Samad Perang terkapar di situ, nafasnya tercungap-cungap macam ikan atas daratan. Mungkin kerana letih membuat datuk, Mamat Bukit, Udin Candung dan Dollah Beranggas tersandar di dinding rumah.

“Kita tak boleh membiarkan dia begitu, kesian dan tak elok pada mata orang lain, macam kita tak berakal sangat,” kata datuk pada Mamat Bukit.

“Habis apa yang patut kita buat?, Kalau kita buka ikatannya nanti dia membunuh orang lain.”

”Bagaimana, kalau kita rantaikan kakinya pada tiang seri.”

“Betul juga cakap awak, kita kena berunding dengan kaum keluarganya dulu.”

“Terpulanglah pada awak Mamat.”

Mamat Bukit pun menemui keluarga Samad Perang. Setelah berunding Mamat Bukit menyuruh Dollah Berangas mencari rantai besi dan kunci. Dollah Beranggas segera akur dengan permintaan Mamat Bukit itu.Setengah jam kemudian, Dollah Beranggas kembali ke rumah dengan membawa rantai besi serta ibu kunci tembaga. Semuanya diserahkan pada Mamat Bukit.

“Di mana kamu dapat barang-barang ni Dollah?” Soal Mamat Bukit.

“Rantai besi dan kunci tu, saya pinjam dari Haji Ishak.”

“Macam rantai pengikat sampan (perahu) rupanya.”

“Ya, memang rantai pengikat sampan, kunci tembaga tu kunci peti duitnya.”

“Habis sekarang peti duitnya tak berkuncilah Dollah?”

“Duitnya memang tak ada, dia simpan petinya saja,” kata Dollah Beranggas sambil tersenyum.

Samad Perang pun diangkat berhampiran tiang seri, kakinya terus dirantai, dan dikunci. Rotan yang mengikat kaki dan tangannya pun dibuka. Samad Perang terus bangun sambil meronta-ronta.

“Lepaskan aku, lepaskan aku, aku nak kambing putih, aku nak balik ke bukit,” jerit Samad Perang dengan lantang.

Pinggan berisikan nasi yang dihulurkan oleh isterinya terus dipecahkannya dan nasinya dipijak-pijak. Jiran-jiran yang melihat kejadian aneh itu, ada yang geleng kepala dan ada pula yang menangis penuh simpati. Beberapa orang dukun yang cuba mengubati semuanya kena maki hamun dari Samad Perang. Dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini, datuk merasakan apa yang terjadi pada diri Samad Perang memang ganjil sekali.

“Pelik, sungguh tadi elok sihat tiba-tiba ini jadinya,” keluh datuk.

“Bukan apa-apa tu, kena sampuk penunggu bukit,” celah Mamat Perang.

“Penunggu?”

“Ya, apa awak tak percaya? Awak dah tengok sekarang.”

Datuk menggigit kuku di jari manis. Dia agak enggan mahu mengakui kebenaran kata-kata akhir dari Mamat Bukit itu. Dan Mamat Bukit bagaikan tahu kesangsian yang bermain dalam diri datuk.

“Kau tidak percaya pada penunggu?”

“Susah nak aku cakpkan, terus terang aku katakan pada kamu Mamat, ini semuanya kerja syaitan.”

“Terpulanglah, tak usah kita bertengkar fasal ini, apa yang mesti kita fikirkan bagaimana mahu memulihkan diri Samad Perang.” “Ya, memang betul cakap kau.”

Mamat Bukit dan datuk berbalas senyum. Secara spontan Mamat Bukit minta datuk mengubatinya. Tetapi, datuk menolaknya dengan alasan dia tidak mampu. Samad Perang yang dirantai kakinya terus menjerit sambil menumbuk-numbuk dada. Dia berusaha mahu memutuskan rantai besi, untuk lari ke hutan. Tiang seri dari kayu cengal terus digegarnya. Kerana kedudukan tiang seri itu teguh dan dipasak dengan baji kayu jenis keras, membuat tiang itu tidak bergerak walau sedikit pun.

“Saya balik dulu Mamat,” bisik datuk pada Mamat Bukit.

“Silakan. Tapi esok macam mana?”

“Saya tak faham cakap awak.”

“Mudah saja, pagi esok kami nak ke hutan menghantar kambing jantan putih serta membuat semahan atau jamuan untuk penunggu.”

“Saya tidak mahu subahat dengan kerja-kerja yang bercanggah dengan ajaran agama Islam Mamat.”

“Tak apalah, awak jangan menyesal kalau penunggu kacau awak.”

“Saya serahkan pada Allah yang maha besar.”

Saya dan datuk pun meninggalkan rumah Samad Perang yang jaraknya dengan rumah datuk kira-kira dua batu lebih. Bersama sinar matahari petang yang kian menurun, terdengar sayup-sayup jeritan Samad Perang.Sampai di rumah datuk terus menyeltkan rotan semambunya di gelegar rumah. Bila saya tanya kenapa datuk tidak membawa masuk ke dalam rumah. Datuk hanya memberi jawapan yang pendek begini bunyinya:

“Menurut petua orang tua-tua, barang-barang yang diambil dari hutan, tidak baik dibawa terus ke dalam rumah.”

“Apa sebabnya tuk?”

“Entahlah, tapi itu kepercayaan entah betul entah tidak dan hati aku ragu-ragu nak bawa masuk.”

Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan, tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan padanya. Dari air mukanya saya dapat menduga bahawa datuk begitu kecewa dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Dua hari kemudian, saya dan datuk pergi semula ke rumah Samad Perang kembali. Orang pertama yang ditemui oleh datuk ialah Mamat Bukit. Mereka bersalaman.

“Permintaan penunggu sudah kami tunaikan,” beritahu Mamat Bukit.

“Macam mana kamu buat?”

“Kami buat ancak, semua barang yang dikehendakinya kami letakkan di situ, di bawah pokok besar.”

“Kambing jantan putih?”

“Kami sembelih, separuh dagingnya kami bawa balik, separuh lagi kami tinggalkan di bawah pokok.”

“Kerja membazir,” datuk terus merungut.

Mamat Bukit ketawa kecil dan memberikan keyakinan pada datuk yang penyakit Samad Perang akan sembuh dalam sedikit masa lagi kerana permintaan penunggu sudah dipenuhi. Datuk agak keberatan untuk mempercayai jaminan yang diberikan oleh Mamat Bukit itu. Dengan ditemani oleh Mamat Bukit datuk terus menemui isteri Samad Perang.

“Sudahkah awak berusaha mengubati penyakit suami awak?”

“Sudah dua orang pawang saya panggil, semuanya gagal.”

“Awak tak mahu bawa ke rumah sakit?”

"Kalau dibawa ke rumah sakit, suami saya akan dihantar ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan, saya mahu berusaha cara kampung.”

“Ya, kita cuba cara kampung dulu,” datuk memberikan keyakinan pada isteris Samad Perang.

Datuk pun meninggalkan isteri Samad Perang di situ, baru tiga langkah datuk melangkah meninggalkan, isteri Samad Perang segera menghampirinya.

“Malam ni ada bomoh terkenal datang untuk mengubati suami saya.”

“Bomoh dari mana?”

“Dari mana saya tak tahu, anak saudara saya yang uruskan, bayarannya juga mahal.”

“Berapa?”

“Lima ratus ringgit, tidak termasuk tambang dan makan minumnya, saya harap awak datang malam ni.”

“Baiklah.”

Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, saya dan datuk terpaksa menapak sejauh dua batu menuju ke rumah Samad Perang. Ketika kami tiba, beberapa jiran sudahpun berada di anjung rumah. Semuanya duduk bersila. Seorang lelaki berbadan tegap yang dipanggil Mahaguru duduk menghadapi mangkuk perasap yang berisi bara. Dia menaburkan kemenyan atas bara, seluruh ruang dikuasai bau kemenyan. Satu baldi air tersedia di sebelah kanannya. Lelaki yang dipanggil mahaguru itu terus bangun, dia membuka langkah silat dan menyeru nama beberapa pahlawan Melayu, antara nama yang disebutnya termasuklah nama Hang Jebat. Dia terus menampar muka Samad Perang dan kakinya menyepak badan Samad Perang. Kemudia dia mengambil baldi yang berisi air. Badan Samad Perang dijirusnya dengan air. Saya lihat badan Samad Perang menggeletar kesejukan. Lelaki yang digelar mahaguru itu meletakkan hujung keris yang berluk sembilan atas dahi Samad Perang.

“Ikut cakap aku,” katanya.

“Saya patuh dengan perintah mahaguru,” jawab Samad Perang.

“Buka kunci dan rantai besi,” suara mahaguru keras.

Rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang pun dibuka oleh Mamat Bukit. Mahaguru terus duduk berhadapan dengan Samad Perang yang kelihatannya terlalu lemah dan mengikut apa sahaja perintah yang dikeluarkan oleh mahaguru. Beberapa orang jiran berbisik sama sendiri memuji kehandalan Mahaguru. Dengan perlahan-lahan Mahaguru menghembus asap kemenyan ke muka Samad Perang. Mahaguru terus menepuk lantai dengan tangan kiri. Keris berluk sembilan diletakkan dekat kepala lutut kiri.

“Bukan apa-apa, dia ditegur jin bukit,” kata mahaguru.

“Apa macam boleh dipulihkan Mahaguru,” tanya isteri Samad Perang.

“Boleh baik, usahkan jin bukit, jin gunung pun boleh saya ajar,” kata Mahaguru dengan bangga.

Mahaguru pun menentang biji mata Samad Perang. Tiba-tiba Samad Perang bertempik dan bangun, tempat perasap kemenyan ditendang hingga hancur, bara bertabutan atas lantai. Keris mahaguru disambarnya, muka mahaguru disepaknya. Semua orang yang berada di situ terkejut. Dan mahaguru yang mendakwa dirinya bomoh terkenal jadi kelam-kabut, tanpa berfikir panjang dia terus terjun ikut tingkap melarikan diri, kain sampingnya tersangkut di tingkap, semua alat-alat perubatannya habis dipijak-pijak oleh Samad Perang.Bila melihat mahaguru lari ikut tingkap, jiran-jiran yang berada di situ juga lari bertempiaran, beberapa orang jiran bengkak di dahi akibat berlaga sama sendiri, saya dan datuk juga lari. Keadaan jadi kelam kabut masing-masing mahu menyelamatkan diri. Dalam keadaan yang tidak menentu itu Samad Perang terus menjerit dan lari menuju ke hutan di malam yang hitam. Mujurlah Mamat Bukit cepat bertindak dengan memburu Samad Perang. Mamat Bukit berjaya menangkap Samad Perang dan kedua belah kakinya dirantai kembali.



Mungkin kerana keletihan membuat Samad Perang tidak melakukan sesuatu yang ganjil setelah kakinya diikat. Dia terus tidur hingga berdengkur. Lebih kurang pukul satu malam dia bangun dan meminta nasi. Permintaan itu segera ditunaikan oleh isterinya. Samad Perang makan tiga pinggan nasi tanpa lauk. Bila perutnya sudah kenyang dia tidur kembali. Sepanjang malam itu saya, datuk dan Mamat Bukit berada di rumah Samad Perang semata-mata memenuhi permintaan isterinya. Menjelang waktu Subuh, Samad Perang kembali menjerit dan meronta-ronta di tiang seri. Bila matahari terbit di kaki langit dia terus tidur. Sebelum meninggalkan rumah Samad Perang pagi itu, datuk berpesan pada isterinya supaya berikhtiar mengubati suaminya, walau dengan apa cara sekalipun. Datuk juga melahirkan rasa puas hatinya pada Mamat Bukit yang berjanji akan membantu isteri Samad Perang yang sedang dilanda masalah besar itu.

“Saya tidak akan membiarkan keluarga kawan saya menderita.”

“Baguslah, semoga Allah akan menolong kamu.”

“Saya juga berharap awak tidak membiarkan saya keseorangan.”

“Tidak, carilah saya bila awak memerlukan pertolongan.”

Mamat Bukit senang hati dengan janji yang diberikan oleh datuk itu. Mereka terus berjabat tangan. Tetapi Mamat Bukit melahirkan juga rasa kesalnya atas sikap manusia yang menggelarkan dirinya sebagai mahaguru itu.

“Hati-hati bila kau mencari orang untuk mengubat kawan kamu Mamat, sekarang banyak orang menyamar. Ada ilmu setengah cawan mengaku mahaguru.”

“Ya, saya faham. Mahaguru tu sambil dia lari sempat juga dia menyambar wang dalam mangkuk putih.”

“Itulah manusia Mamat.”

“Kalau tak sanggup mengaku tak sanggup, jangan ambil wang orang, bini Samad sandar tanah pada ketua kampung nak cari wang sebanyak itu.”

“Lupakan saja tentang itu Mamat, kita cari yang lain.”

“Doakan saya berjaya.”

“Jangan bimbang, saya tetap bersama awak.”

Datuk dan saya pun meninggalkan Mamat Bukit di halaman rumah Samad Perang.

RUMAH

Sudah dua minggu saya dan datuk tidak mengunjungi rumah Samad Perang. Tetapi datuk tahu segala kegiatan yang terjadi di rumah tersebut. Dollah Beranggas selalu menemui datuk dan menceritakan apa yang terjadi. Dari mulut Dollah Beranggas juga datuk mendapat tahu, selama dua minggu lima orang bomoh sudah diundang untuk mengubati sakit yang ditanggung oleh Samad Perang. Semua usaha itu menemui jalan buntu. Masuk minggu yang ketiga, Mamat Bukit sendiri datang ke rumah datuk.

“Bagaimana sekarang apa usaha yang telah kamu lakukan Mamat?”

“Macam-macam ikhtiar saya jalankan. Malam ini ada sukarela nak mengubatinya.”

“Siapa orangnya.”

“Saya tak kenal, kalau awak nak kenal eloklah datang malam ini.”

“Baiklah saya datang nanti.”

Seperti yang dijanjikan, kira pukul sepuluh malam. Saya dan datuk pun sampai di rumah Samad Perang. Tidak ada apa-apa peralatan yang disediakan di ruang tengah seperti tempat perasap kemenyan, mangkuk putih atau sebagainya yang selalu digunakan oleh bomoh atau dukun bila mengubati orang yang sedang sakit. Mamat Bukit terus memperkenalkan datuk dengan seorang lelaki. Orangnya kurus, memakai songkok hitam yang sudah kuning tepinya. Air mukanya nampak bersih dan tenang. Datuk terus bersalam dan memperkenalkan diri padanya.

“Dari mana,” bisik datuk padanya.

“Asalnya orang Parit Jawa, Johor. Sekarang menetap di Cenderung Balai Teluk Intan.”

“Macam mana boleh datang ke sini?”

“Saya datang ke rumah anak yang jadi guru sekolah di sini, dia minta tolong ikhtiarkan mengubat orang sakit ganjil.”

“Ada hubungan keluarga dengan orang sakit.”

“Tidak, anak si sakit ini, murid anak saya. Menurutnya budak itu pintar tetapi, sejak ayahnya sakit sudah lama tak datang ke sekolah.”

“Kerja apa?”

“Saya bersawah dan jadi imam surau.”

Walaupun baru bertemu, saya lihat datuk dan orang itu sudah cukup mesra, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.

“Silakan kiai,” kata Mamat Bukit.

“Jangan panggil saya kiai, ini terlalu tinggi panggil saja nama biasa, nama saya Sajono.”

“Minta maaf pak.”

“Tak mengapa, awak tak tahu.”

Sajono bangun dan terus menuju ke tempat Samad Perang. Dia menyuruh Mamat Bukit membukakan rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang. Bila rantai dibuka, macam diarah-arah oleh sesuatu Samad Perang terus duduk bersila di hadapan Sajono. Sajono menentang biji mata Samad Perang. Saya lihat mata Samad Perang tidak berkelip menentang mata Sajono. Makin lama, makin garang sinar mata Samad Perang. Sajono pun begitu juga. Mereka beradu kekuatan dengan mata. Badan Samad Perang menggeletar macam menahan benda berat yang terdampar atas kedua belah bahunya. Sesekali saya terdengar dengan jelas suara Sajono membaca ayat-ayat al-Quran dari surah Al-Jin. Tiba-tiba Sajono terus jatuh atas lantai. Biji mata Samad Perang yang merah dan kelihatan agak tersembul itu terus merenung muka Sajono. Perlahan-lahan Sajono bangun tetapi, tersungkur kembali. Sajono bangun kembali.

Kali ini dia memperkemaskan duduknya. Wajahnya kelihatan tenang dan peluh-peluh halus kelihatan membintik-bintik di kedua belah pipinya yang berkulit lembut itu. Sajono terus membaca ayat-ayat dari al-Quran. Semua orang yang ada di situ dapat mendengarnya. Sebabnya, ketika Sajono berikhtiar mengubati Samad Perang, suasana di ruang anjung agak sepi. Tidak ada seorang pun yang berani bercakap atau bersuara. Andainya kalu ada sebatang jarum yang jatuh pun akan dapat didengar, begitulah tenang dan sunyi di ruang anjung. Semua yang hadir tumpukan seluruh perhatian pada Sajono. Cara Sajono berusaha berbeza dengan cara-cara yang dilakukan para pawang atau dukun yang datang mengubati Samad Perang dulu, kebanyakan melompat atau bersilat. Aada pula yang seperti kemasukan syaitan bercakap tidak tentu arah dan terus tidak sedarkan diri.

“Memang Sajono ada cara yang tersendiri,” kata hati kecil saya. Dan saya kira orang-orang yang berada di situ juga akan beranggapan demikian.

Suasana yang sepi itu berkocak juga akhirnya, semua orang yang hadir terkejut besar. Samad Perang yang tadinya kelihatan gagah dan garang beransur lemah dan terus rebah atas lantai. Terkapar di situ, macam ayam kena sembelih. Sajono terus sujud syukur pada Allah yang memberkati usahanya, Sajono terus merenung wajah-wajah yang ada di situ dengan senyum.

“Bersyukurlah tuan-tuan semua pada Allah yang memberkati usaha saya ini,” katanya dengan tenang. Mamat Bukit segera menghampirinya.

“Apa sakitnya Pak Sajono.”

“Semuanya ni kerja syaitan.”

“Syaitan?”

“Ya, syaitan. Awak tahu syaitan pada setiap saat beruasaha mahu membinasa anak Adam, dalam pelbagai bentuk dan cara adakalanya menyerupai manusia.

Saya lihat Mamat Bukit menarik nafas panjang, agaknya dia dapat menerima dengan apa yang dikatakan oleh Sajono itu. Saya dan datuk berpandangan. Samad Perang sedar dari pengsan. Sajono menghampirinya. Dua kali Sajono menepuk bahunya.

“Ikat dia kembali, saya akan datang lagi untuk berusaha menolongnya,” beritahu Sajono pada Mamat Bukit. Samad Perang pun dirantai semula. Datuk terus mendekati Sajono.

“Syaitan terlalu kuat mempengaruhi perasaannya,” kata Sajono.

“Apa lagi yang mahu tuan lakukan padanya.”

“Malam besok saya datang lagi, saya mahu menyambung kerja-kerja ini di rumah anak saya.”

“Memang baik cadangan awak, saya harap awak akan bersama saya malam esok.”

Datuk dan Sajono berpeluk-pelukan. Dengan diiringi oleh anak saudara Samad Perang, Sajono melangkah ke tangga. Dari kaki tangga Sajono terus duduk di atas lanting basikal (bahagian belakang basikal untuk seorang penumpang). Anak saudara Samad Perang terus kayuh basikal membelah kegelapan malam menuju ke jalan besar.

“Saya tunggu sampai pagi di sini,” kata Mamat Bukit pada datuk, bila datuk minta diri untuk pulang. Saya dan datuk terus menapak menuju ke rumah sejauh dua batu di malam yang mula dingin.

DATANG

Malam itu, saya dan datuk datang lagi ke rumah Samad Perang. Kami terus duduk di anjung. Isteri Samad Perang menghidangkan dua cawan kopi untuk kami.

“Minum, kopi bujang aje,” kata isteri Samad Perang.

“Tak apa inipun sudah seribu rahmat dapat kopi,” balas datuk bersama ketawa kecil. Saya merenung permukaan cawan yang berasap nipis.

“Mamat Bukit ke mana?” Tanya datuk pada isteri Samad Perang yang kelihatan cengkung dan agak pucat itu tetapi, masih mampu melayan setiap tetamu yang datang ke rumahnya dengan wajah yang manis.

Senyumnya tidak pernah mati dari bermain dari bibir. Setiap kata yang diucapkannya membayangkan ketabahan dan keyakinan yang suaminya akan pulih seperti sediakala.

“Mamat Bukit belum datang lagi, tiap-tiap malam dia berjaga menjaga suami saya, katanya malam ni dia datang lewat sikit,” ujar isteri Samad Perang.

“Payah mahu mencari kawan yang setia macam dia.”

“Nampaknya, begitulah.”

“Macam mana keadaannya, selepas kami balik malam semalam.”

“Ada kurang sikit cuma, waktu subuh dia menjerit dan meronta-ronta nak lari masuk ke hutan.”

“Bersabar, berkat usaha dan diizinkan oleh Allah, dia akan sembuh.”

“Saya harap begitu.”

Percakapan datuk dengan isteri Samad Perang saya ikuti dengan teliti. Datuk minta izin pada isteri Samad Perang untuk melihat suaminya, permintaan datuk itu diperkenankan.

“Tamar kau nak ikut aku?”

“Tak mahu, biar saya tunggu di sini.”

“Tak mahu pun tak apa,” kata datuk sambil bangun.

Datuk pun melangkah, satu, dua, tiga, masuk langkah yang keempat saya mula terasa seram. Pungung saya terangkat dari lantai. Bulu tengkuk saya meremang dengan sendiri. Tanpa membuang masa saya terus mengejar datuk.

“Kenapa Tamar?”

“Saya seram tuk.”

“Seram? Kau ni penakut sangat,” rungut datuk sambil menjeling tajam pada saya.

Isteri Samad Perang tersenyum melihat telatah saya yang agak melucukan itu.

Datuk menghampiri Samad Perang yang terikat di tiang seri. Kedua belah kelopak mata Samad Perang bertaut rapat, dadanya kelihatan turun naik, menarik dan melepaskan nafas macam orang penat selepas melakukan kerja-kerja yang berat.

“Jangan bangunkan, biar dia tidur,” kata datuk, bila melihat isteri Samad Perang mahu mengejutkan suaminya.

Tanpa diduga Samad Perang membuka kedua belah kelopak matanya.

“Kawan awak, ini cucunya,” celah isterinya.

Samad Perang diam. Kedua-dua biji matanya kelihatan merah macam biji saga. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, dia memandang saya dan datuk.

“Aummmmmm... ,” Samad Perang mendengus sambil memperlihatkan giginya, macam harimau jantan berhadapan dengan kucing.

Samad Perang terus meronta-ronta mahu menerkam ke arah datuk dan saya. Kami segera berundur dan menuju ke anjung rumah semula. Datuk nampak kesal. Dia seolah-olah menyesal menghampiri Samad Perang tadi. Saya merenung keluar, tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat. Semua gelap belaka.Bunyi cengkerik dan burung hantu jelas kedengaran. Dalam saat yang sama kedengaran suara Samad Perang ketawa memanjang, bersama bunyi rantai besi berlaga dengan lantai dan tiang seri. Suasana begitu sungguh tidak menyenangkan dan menakutkan diri saya. Badan saya menggeletar tidak tentu arah. Datuk tetap duduk bersila sambil menundukkan kepalanya merenung lantai. Isteri Samad Perang kelihatan tidak tentu arah. Sekejap datang ke ruang anjung, sekejap berlari ke ruang tengah dan menuju ke dapur, tidak ubah macam kucing kehilangan anak.

“Sabar dan tenang,” datuk mendamaikan hati isteri Samad Perang.

“Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah,” suara isteri Samad Perang perlahan sekali.

Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya dan isteri Samad Perang segera hilang, bila Mamat Bukit dan Sajono tiba.

“Dah lama sampai?” Tanya Mamat Bukit pada datuk.

“Lama juga, kira setengah jam lebih.”

“Saya terlambat sikit, memang mengikut petua saya, masa datang malam, kedua dan ketiga harus dilambatkan sejam, tidak boleh datang dalam masa yang sama, malam ini saya datang pukul sebelas, malam esok pukul dua belas,” Sajono menerangkan sebab-sebab ia datang lewat.

Datuk anggukkan kepala dan terus bersalam dengan Sajono dan Mamat Bukit. Sajono dan Mamat Bukit duduk. Isteri Samad Perang meletakkan dua cawan kopi di hadapan mereka.

“Minta maaf, saya tak boleh minum selagi kerja belum selesai, malam pertama boleh minum, sebelum memulakan kerja, malam kedua boleh minum selepas selesai jalankan kerja dan malam ketiga langsung tak boleh minum, walaupun kerja dah selesai,” Sajono memberitahu isteri Samad Perang.

Kopi yang disediakan untuk Sajono dibawa ke dapur kembali. Dan Mamat Bukit terus minum kopi bahagiannya. Angin malam yang bertiup lembut masuk ke ruang rumah menerusi jendela yang terbuka, beberapa ekor kalkatu terus mengharung cahaya gasolin. Seekor kelawar sesat masuk ke ruang tengah rumah terbang tidak tentu arah dan akhirnya keluar ikut jendela. Bunyi burung hantu dan jampuk jelas kedengaran. Semuanya itu tidak mendatangkan sebarang kesan buat diri Sajono, malah dia marahkan Mamat Bukit yang cuba mahu membunuh seekor cicak yang jatuh dari tulang bumbung ke atas lantai.

“Jangan bunuh dia biarkan dia hidup, bukankah dia makhluk Allah,” katanya.

“Cicak membawa sial pada kita, Kiai,” balas Mamat Bukit.

“Pada Allah tidak ada makhluk yang sial dan bertuah, cuma manusia saja yang pandai membeza-bezakannya,” jawab Sajono.

Tidak ada jiran-jiran lain yang datang ke rumah Samad Perang. Malam sebelumnya, ruang anjung itu penuh dengan para jiran yang jumlahnya lebih dari dua puluh orang. Mungkin mereka merasa bosan atau merasakan tidak ada faedahnya berjaga, sedang keadaan Samad Perang tidak banyak berubah, menyebabkan mereka tidak mahu datang.

“Saya mulakan sekarang,” kata Sajono pada datuk.

“Silakan.”

“Mari ikut saya, Sajono renung muka datuk, renung muka Mamat Bukit dan saya.

Tanpa banyak karenah, datuk, Mamat Bukit dan saya terus mengiringi Sajono menuju ke tempat Samad Perang dirantai. Sajono terus menepuk bahu Samad Perang, kemudian duduk bersila berhadapan dengan Samad Perang.

“Kamu bukakan rantainya,” kata Sajono pada saya. Badan saya mula menggeletar menerima anak kunci dari Mamat Bukit.

“Cucu saya pak,” kata datuk dengan wajah yang cemas.

“Tak mengapa biarkan.”

“Tapi, dia tak tahu semuanya ini pak.”

“Dia harus belajar,” Sajono merenung wajah datuk sambil menepuk bahu kiri datuk... .
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment