Wednesday, November 11, 2015

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 66 dan 67

(Jilid 04) Siri 66: Pendekar Terbang 
by Feroz for group komunitisbdj

Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu. tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu, tidak dapat disekat dan terus
mempengaruhi orang-orang kampung. Akibatnya, orang-orang kampung berada dalam kecemasan.
"Entah siapa yang pandai buat ramalan mengarut tu," rungut Haji Salim ketika saya mengunjungi tempat kerjanya. Dari cara ia bercakap
dan kerut wajahnya membayangkan rasa kesal yang mendalam.
"Kau lihat sendiri Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah dua minggu jugalah peristiwa hujan panas itu terjadi, tak ada
pun perkara yang tak baik terjadi," sambungnya lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk dibuat keris panjang.
Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan oleh Haji Salim itu memang benar. Sejak dua minggu
kebelakangan ini, tidak terdapat makhluk berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh kampung menjelang waktu
Maghrib. Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.
"Kubur lama juga tidak dipuja orang lagi?" saya terkejut mendengar kata-kata Haji Salim. Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi
oleh kepanasan, saya tenung.
"Macam mana Pak Haji tahu?"
"Aku pergi sendiri dengan tidak memberitahu datuk kamu."
"Kerja tu merbahaya Pak Haji."
"Aku tahu. Kalau aku pergi dengan datuk kamu, aku tak boleh membalas dendam. Datuk kamu bertindak lambat sangat," tambah Haji
Salim lagi.
Saya menarik nafas panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh dendam pada orang-orang yang memuja kubur lama. Ia
yakin, kematian cucu saudaranya angkara manusia pemuja syaitan.
"Kematian cucu saudaraku mesti dibalas," ujarnya sambil menggengam penumbuk.
Peluhnya yang meleleh dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air peluh itu bercampur dengan air peluh di dada lalu mengalir ke
arah perutnya yang agak buncit sedikit dan kulitnya nampak kendur. Saya terus memerhatikan ia membuat kerja. Secara tidak diduga,
saya teringatkan datuk yang sejak pagi lagi pergi ke kaki bukit memberu ayam hutan.
"Aku tahu, datuk kamu sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa syarat dan petua," Haji Salim merenung ke arah saya.
Cepat-cepat saya kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim mendapat sumber cerita yang baru ini. Saya kira, Haji Salim cuma
mahu bergurau atau cuba membuat ramalan kosong. Sepanjang ingatan saya, belum pernah datuk melakukan sesuatu kerja tanpa
memberitahu saya. Selangkah ia bergerak dalam usaha untuk kebaikan ia pasti memberitahu saya. Kalau tidak beritahu pada saya, ia
akan beritahu pada nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.
Bila Haji Salim berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri saya terhadap Haji Salim. Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah
mengintip segala kegiatan datuk. Apakah Haji Salim meragui kejujuran datuk? Mungkin Haji Salim mahu memperlihatkan kelebihan yang
ada pada dirinya pada datuk.
Mungkin Haji Salim merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu satu rancangan datuk yang disembunyikan dari
pengetahuannya, timbul petanyaan dalam diri saya. Kalaulah apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih dahsyat akan terjadi
bila dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian masing-masing.
"Aku yang meminta datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah aku rayu baru ia setuju, ia melakukannya waktu tengah
malam tanpa ada orang lain yang tahu, kecuali diri aku sendiri," saya tersenyum. Rasa sangsi dan bimbang yang bergolak dalam dada
saya menemui jalan akhir.
"Hari ni hari Rabu. Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung Ulu Kelubi," Haji Salim berhenti membakar besi. Ia mengelap
peluh di tubuhnya dengan tuala kecil cap matahari.
"Apa halnya Pak Haji?"
"Orang tu menempah parang. Parangnya dah siap. Aku nak menghantarnya sekarang, apa kau nak ikut sama."
"Boleh juga."
"Orang ni aneh sikit Tamar. Matanya buta tapi ia tahu warna baju yang dipakai oleh orang yang datang berjumpa dengannya."
"Hebat orang tu Pak Haji."
"Tak tahulah aku nak kata, hebat atau tidak. Kau tengoklah sendiri." Haji Salim ketawa.
Ia meninggalkan saya di rumah kerjanya. Haji Salim masuk ke bilik mandi. Kemudian pakai kain dan baju Melayu. Dengan motorsikal,
kami menuju ke Kampung Kelubi. Saya ditugaskan oleh Haji Salim memegang parang.
Lebih kurang sepuluh minit kami melalui jalanraya, akhirnya kami melalui memasuki satu lorong kecil. Tidak sampai lima minit melalui
lorong yang sempit itu, kami sampai ke sebuah rumah papan kecil.
Haji Salim tongkat motorsikal di bawah pokok mempelam. Dalam perkiraan saya, jarak Kampung Kelubi dengan kampung saya kira
sepuluh batu lebih. Kampung Kelubi berada dalam jajahan Larut dan Matang.
Haji Salim terus memberi salam. Salam Haji Salim dijawab. Bila saya merenung ke pintu rumah, seorang lelaki tercegat di situ, orangnya
kecil, berkulit agak hitam, rambutnya kerinting.
"Naik, budak yang pakai baju merah dan berseluar putih tu siapa?" tanya orang itu pada Haji Salim. Saya tahu kata-kata itu ditujukan
pada saya.
"Nanti sekejap lagi saya beritahu," jawab Haji Salim dan terus melangkah ke kaki tangga.
Bila berada dalam rumah orang itu, saya duduk dekat Haji Salim. Orang itu terus menjentik parang yang diberikan oleh Haji Salim
padanya dengan kuku ibu jari kiri.
"Besinya baik, tidak rapuh," katanya sambil meletakkan parang itu di hujung lututnya. Dari raut wajahnya, saya kira orang itu berusia
antara 50-55 tahun. Haji Salim memanggilnya sebagai Lebai Din. Peramah dan suka berjenaka.
"Budak yang kamu bawa ni, berkulit cerah, rambut kerinting, ada parut di kepala," Lebai Din terus memperkatakan diri saya. Semua yang
dikatakannya itu memang tepat. Meskipun matanya buta. Saya kagum dengan kebolehannya itu.
"Pak Lebai nak buat apa parang ni?" tanya saya.
"Nak menebas kebun getah, biar mudah aku menoreh."
"Eh, buta pun boleh menoreh dan menebas kebun."
"Apa kau fikir orang buta tak boleh kerja? Dalam hidup ni biar kita buta mata, jangan buta hati. Kalau dah buta hati, celik pun tak guna."
Haji Salim ketawa mendengar cakap Lebai Din itu. Saya merasakan ungkapan itu satu sindiran buat saya yang celik. Kalau saya tidak fikir
yang berkata itu orang yang cacat anggotanya, mahu rasanya saya bertekak. Panas hati saya disindir dalam baik.
"Dia bukan menyindir, cakapnya itu penuh makna," kata Haji Salim bila melihat saya dalam keadaan resah. Lebai Din tersenyum.
"Aku tahu budak tu marah. Tapi dia harus ingat, orang cepat marah selalu rugi. Hei budak kamu marahkan aku?" ujar Lebai Din dalam
senyum yang memanjang.
"Saya tak marah."
"Belajarlah dalam hidup untuk jadi orang yang tidak lekas marah. Aku tahu kamu budak pintar," Lebai Din terus menepuk nepuk kepala
saya. Haji Salim hanya memperhatikan sahaja telatah Lebai Din terhadap diri saya.
Tanpa diminta, Lebai Din menceritakan pada saya bahawa kedua belah matanya buta sejak kecil lagi. Pada mulanya ia sakit mata dalam
usia tujuh tahun. Ibunya membawa dia menemui dukun mata. Entah di mana silapnya, sejak menemui dukun mata itu matanya terus
sakit dan akhirnya menjadi buta.
Menurut cerita ibunya, dukun mata itu tersalah ramuan ubat. Mungkin dukun mata itu merasa bersalah lalu menjadikan ia anak angkat.
Semasa menjadi anak angkat dukun mata itulah ia belajar silat, mengenal bentuk tubuh dan kulit orang berdasarkan bau badan. Dari
tekanan suara seseorang ia dapat membaca watak peribadi orang itu.
Memanglah Lebai Din orang buta yang hebat, pada tanggapan saya. Kalau ia bercerita tentang dirinya memang asyik kita mendengarnya.
"Itu kisah lalu," katanya mengakhiri cerita dirinya sambil merenung ke arah saya.
Meskipun kedua belah kelopak matanya tercantum, saya masih dapat merasakan di sebalik kulit yang bercantum itu ada sepasang mata
yang tajam boleh menembusi hati dan perasaan sesiapa yang berada di hadapannya.
"Sekarang ada kisah baru Haji," Lebai Din memperkemaskan silanya. Ia meraba kepala lututnya.
"Cerita apa Pak Lebai?" sahut Haji Salim.
"Begini, sejak dua tiga minggu lalu, orang-orang di kampung ini heboh memperkatakan tentang seorang pendekar yang boleh terbang
atas angin."
"Siapa orangnya Pak Lebai?"
"Aku tak kenal."
"Pernah Pak Lebai bercakap dengannya."
"Ada sekali. Waktu aku sedang motong getah ia lalu, kemudian ia minta kebenaran dari aku untuk mendirikan pondok di kebun getah
aku."
"Aku izinkan. Bila aku izinkan dia tak mahu, dia minta kebenaran untuk dirikan pondok di sawah aku yang terpencil."
"Habis Pak Lebai izinkan."
"Aku izinkan. Apalah salahnya dia nak menumpang. Lagipun bumi ini Allah yang punya. Kita cuma diamanatkan untuk menjaganya
semasa kita masih hidup."
Haji Salim merenung wajah saya. Kemudian Haji Salim kerutkan kening sambil meraba-raba pangkal dagunya. Macam memikirkan
sesuatu.
"Bila aku tanya kenapa dia tak mahu mendirikan pondok dalam kebun getah yang letaknya tidak jauh dari rumah aku, jawapannya
meragukan," Lebai Din berhenti bercerita. Ia termenung panjang. Perbuatannya itu membuat saya tidak sabar lalu mengajukan
pertanyaan.
"Apa dia jawapannya Pak Lebai?"
"Hai kau pun nak tahu jawapannya?"
"Ceritakanlah Lebai, saya juga nak tahu," sahut Haji Salim dengan tenang.
"Katanya, dia ramai anak murid. Mengajar silat dari tengah malam hingga pagi, kalau dekat kampung nanti orang kampung marah,"
Lebai Din memberikan keterangan. Saya dan Haji Salim anggukkan kepala.
"Dari cara orang tu bercakap berdasarkan gerak suaranya, dia memang tidak jujur. Kalau aku boleh mengintip mahu aku mengintipnya
waktu malam." Sambung Lebai Din. Dari cara Lebai Din bercerita itu, ia seolah-olah minta Haji Salim mengintip gerak geri pendekar
tersebut.
Lebih kurang sejam kami berada di rumahnya, kami pun minta diri. Kami tidak singgah di mana-mana. Terus pulang ke rumah. Bila
sampai di rumah Haji Salim, saya terkejut besar melihat datuk berdiri di halaman rumah Haji Salim sambil memulas tangan kanan Daud
ke belakang.
Daud saya lihat tunduk sambil menahan kesakitan. Wajah datuk merah. Haji Salim segera menghampiri datuk.
"Kenapa? Kenapa Daud dibuat macam tu," suara Haji Salim lembut. Wajahnya cemas. Datuk tidak menjawab. Daud ditolaknya hingga
terjerumus ke bumi.
"Aku bunuh kamu, kalau kamu membuat perkara maksiat tu," suara datuk meninggi.
Datuk terus menumbuk pokok pisang melepaskan geramnya. Pokok pisang yang ditumbuk datuk terus patah dua macam dipotong
dengan parang. Datuk terus termenung panjang di situ. Haji Salim segera menghampiri Daud yang baru bangun sambil meraba dadanya.
Mukanya nampak pucat.
"Kenapa Daud?" soal Haji Salim.
"Saya orang miskin. Kata orang dalam kubur lama ada harta karun, ada emas berlian, jadi saya cuba korek. Baru dua kali korek orang tua
datang," Daud merenung ke arah datuk. Muka Daud nampak cemas sekali.
Haji Salim terus menarik Daud ke dalam ruang tempat kerjanya. Ia suruh Daud duduk di situ. Kemudian Haji Salim terus menemui
datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Datuk dan Haji Salim terus menemui Daud.
"Sekarang aku mahu kau bercerita perkara yang benar," kata Haji Salim pada Daud. Datuk tidak berkata apa-apa. Ia cuma termenung
dan berusaha menenangkan rasa marah yang membara dalam dirinya.
Daud terus bercerita. Kira-kira dua bulan yang lalu, ia diajak oleh seorang kawannya dari Pulau Pinang untuk memasuki satu kumpulan
yang kerjanya mencari kubur lama untuk dipuja dengan tujuan mencari harta karun. Menurut ketua kumpulan, setiap kubur lama
terutama kubur raja-raja dahulu kala menyimpan harta karun kerana dipercayai orang-orang yang mati itu ditanam bersama-sama
dengan hartanya. Dalam usaha mencari harta karun itu, mereka sudah menjelajah ke seluruh tanah air. Mereka bergerak waktu malam.
"Siapa nama ketua kumpulan kamu," soal datuk.
"Kamal, orang Batu Maung. Tetapi, ketua nombor satu seorang dukun tua yang berulat kaki. Saya yang memberitahu mereka di sini ada
kubur lama."
"Patutlah kamu selalu keluar. Kata kamu kerja kontrak tetapi lain pula yang kamu lakukan," potong Haji Salim.
"Ya, saya menipu," sahut Daud.

Datuk terus merisik rahsia dari Daud. Daud mengakui dia pernah memakai Jubah Hitam dan berada di kubur lama melakukan pemujaan.
Tetapi, ia tidak pernah memotong lidah anak dara sunti. Cuma ia memberitahu pada kumpulannya tentang jumlah anak dara sunti yang
terdapat di kampungnya.
"Kata dukun panglima di kampung kita ni susah sikit, ada penghalangnya. Penghalangnya besar dia ni," Daud menudingkan jari
telunjuknya ke arah datuk. Haji Salim menarik nafas panjang. Datuk tersenyum, ia sudah dapat mengawal perasaannya.
"Orang yang kau sebut sebagai Dukun Pendekar tu, boleh mengubat orang dan mengambil upah membuat orang," tanya datuk.
"Ya, semua kerja jahat dia boleh buat. Dia berdendamkan kamu," jawab Daud. Datuk menarik nafas panjang.
"Begini saja Daud. Kau ceritakan pada kami tentang kehebatan Dukun Pendekar yang aku lihat pada kami. Kalau ia betul-betul hebat,
kami ikut dia. Sama-sama kita cari harta karun. Aku tahu tempat kubur lama yang menyimpan harta," Haji Salim memujuk Daud penuh
sopan santun.
Pada mulanya, Daud keberatan mahu menceritakan kisah ketuanya itu. Bila Haji Salim memperlihatkan kemampuannya menggenggam
bara api dan mematahkan besi pejal, Daud terus membuka rahsia.
Kata Daud, kaki kanan Dukun Pendekar dihinggapi penyakit tokak, sudah berulat. Ulat-ulat tokak itu tidak pernah dibuang atau dibunuh.
Jika ulat-ulat itu jatuh, ia akan mengutipnya dibungkus dalam kain kuning. Kemudian ulat-ulat dipelihara dalam balang besar dan diberi
makan bangkai dan lidah manusia serta binatang.
Setiap kali Dukun Pendekar masuk gelanggang, tokak di kaki kanannya sukar untuk dikesan oleh para muridnya. Ia pernah melihatkan
kemampuannya di hadapan Daud dan anak-anak muridnya yang lain, berjalan dalam hujan lebat waktu malam dengan membawa pelita.
Pelita yang dibawanya tidak padam.
Dia berjalan cukup laju, kalau ia mahu pergi ke sesuatu tempat, ia akan menyebut nama tempat. Selesai saja sebut nama tempat
tersebut ia akan hilang dan dirinya akan berada di tempat yang disebutnya," ujar Daud penuh rasa kekaguman.
"Lagi apa kebolehannya?" desak datuk.
"Bila ia berhadapan dengan orang yang warak dan taat dengan hukum Allah, ia akan memperlihatkan dirinya sebagai orang yang tinggi
dalam ilmu agama. Boleh menyebut ayat al-Quran dengan fasih."
"Waktu siang, suka memencilkan dirinya di gua atau pondok buruk."
Datuk dan Haji Salim berpandangan. Saya memicit jerawat batu di pipi kanan. Angin yang menerpa ke dalam ruang menjamah wajah
saya. Terasa nyaman dan selesa. Beberapa helai daun kering kelihatan gugur di halaman.
Daud terus membisu, rambut panjangnya yang menyerkup dahi diangkatnya dengan telapak tangan kanan. Parut di dahi sebelah kiri
jelas kelihatan. Parut itu nampak kehitam-hitaman sedikit.
"Orang tu sekarang duduk di mana?" suara datuk agak meninggi.
Sepasang matanya tertumpu ke wajah Daud. Cepat-cepat Daud mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mampu Daud menentang
sepasang biji mata datuk yang berkaca-kaca itu.
"Orang tu, berada tak jauh dari sini. Jangan kacau, dia berjanji pada saya tidak mahu kacau orang-orang kampung kita," kata Daud yang
berbadan tegap dan tidak suka memakai baju.
"Buktinya?" tingkah Haji Salim.
"Dah dua minggu dia tak kacau," balas Daud sambil merenung wajah Haji Salim. Aneh sungguh sikap Daud. Cakap dengan Haji Salim
berani, tentang muka dengan datuk tidak berani.
Saya hanya memerhatikan telatah Daud dengan ekor mata sambil memicit jerawat yang mula membengkak di sudut dagu kanan.
Memicit jerawat memang menyeronokkan. Bila terasa sakit dilepaskan, kemudian diraba, digosok perlahan-lahan dan dipicit lagi.
"Boleh kau tunjukkan tempatnya pada kami," nada suara datuk mula lembut. Kali ini datuk tidak merenung ke arah Daud. Datuk renung
dinding. Saya lihat Daud merenung muka datuk. Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia semacam memperkecil-kecilkan
datuk.
"Pendekar Kamal, tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi, kalau orang yang mahu menemuinya mempunyai niat tertentu,"
Daud segera bangun. Melangkah dua tapak ke arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba-tiba perasaan saya jadi gementar.
Saya jeling ulas-ulas lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya cukup tinggi hampir lima kaki tujuh inci. Saya jeling dadanya
yang berbulu. Saya kira, kalau ia menghentakkan siku kanannya ke dada saya, pasti saya tersungkur.
"Saya tidak akan menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya saya tahu," cara mendadak sahaja Daud menjerit. Ia terus
menendang pelipat kaki saya, saya terus jatuh.
Daud terus menendang apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun. Belumpun sempat saya berdiri dengan betul, satu
penendang hinggap di bahagian kanan perut saya. Saya terus menggulung-gulung atas lantai menahan kesakitan. Perut terasa senak.
Daud terus melompat dan menyambar lembing.
"Sesiapa yang mahu kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus," Daud mengacukan mata lembing ke arah Haji Salim. Saya lihat Haji
Salim tenang sahaja.
Melihat datuk dan Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula memperlihatkan taringnya. Ia melompat atas pelantar lalu
mengambil parang panjang. Lembing di tangan terus dibuang.
"Daud," jerit Haji Salim.
Serentak itu Haji Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang lembut ke pipi kiri Daud. Tidak saya duga sama sekali
penampar yang lembut itu boleh menyebabkan Daud jatuh tersungkur. Daud mengeletek macam ikan keli kena pukul. Mulut Daud
kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur, tidak ubah macam bunyi lembu yang kena sembelih.

"Macam mana awak buat budak ni Haji?" tanya datuk.
"Saya lepaskan bisa biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua saya, tua berisi."
"Awak sudah keterlaluan."
"Saya tahu. Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya dengan bisa tangan."
"Awak yang melepaskan bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak tawarlah sendiri."
Haji Salim mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke bibirnya. Saya lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian
jejarinya terus dicium. Haji Salim rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan Daud yang menggeletar kembali
macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak berbuih lagi.
Dengkurnya yang meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk termenung, tidak ubah macam ayam mabuk tahi.
"Budak tu belum cukup pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh seumur hidup," datuk mengingatkan Haji Salim. Saya lihat Haji
Salim anggukkan kepala.
Ia meninggalkan kami di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Haji Salim di ruang dapurnya.
Haji Salim menemui kami kembali. Di tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri Daud. Kepala Daud digosoknya beberapa
kali.
"Minum air ini," ia memujuk.
Daud terus mengambil cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang, Daud terus meneguk air di cawan sampai habis. Dalam
sekelip mata sahaja, Daud terus bangun dan bertenaga kembali.
Mata Daud kelihatan merah. Ia mula bertempik dan menyambar parang semula. Kali ini, terus menyerang dengan melulu. Saya terpaksa
lari keluar.
Daud memilih datuk sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang bertubi-tubi. Setiap kali Daud melibaskan parang panjangnya, datuk
terpaksa melompat ke kiri, melompat ke kanan. Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan melindungkan badannya dengan papan.
Datuk terus bersembunyi di situ.
Melihat datuk menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus menjerit-jerit sambil memukul dadanya dengan hulu parang.
Ia menoleh ke kanan lalu menyerang Haji Salim dengan bertubi-tubi. Macam datuk juga, Haji Salim terpaksa mengelak ke mana sahaja,
asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya.
Kekuatan Daud sungguh berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat. Telapak kakinya seolah-olah tidak memijak lantai. Wajahnya
cukup garang dan menggerunkan sesiapa yang melihatnya.
"Jangan apa-apakan budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri awak dari kena parangnya," jerit datuk dari bawah pelantar
mengingatkan Haji Salim. Datuk tidak mahu Haji Salim bertindak sebarangan.
(bersambung)...

(Jilid 04) Siri 67: Pelihara Ulat Tokak
by Feroz for group komunitisbdj

Mujurlah ingatan datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat
dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah
tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.
"Ah, haji laknat," pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.
Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang
singgah di papan diding dan terus melekat di situ.
Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat. Haji Salim
mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk
menamatkan riwayat Haji Salim.
Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan
badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam
masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim. Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata
parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.
Saya lihat darah memuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim
yang melekat di mata parang panjang. Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud. Daud ditolaknya
hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.
"Kau sudah melampau," jerkah datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun. Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka
di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.
"Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud," Haji Salim renung muka Daud. Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil
menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya. Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari datuk.
"Ah," jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk datuk. Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan datuk dan terus bertempik
dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.
Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis
jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.
"Kita tangkap dia," kata datuk. Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut datuk memburu Daud yang lari menuju ke
Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, datuk tetap memaksa saya.
Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung Kilang ia terus
mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.
Saya, Haji Salim dan datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah
berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci. Selesai Haji Salim
bercakap, datuk pula mengambil peranan, memeberikan penerangan selanjutnya.
Saya lihat, baik datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan
Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.
"Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa," beritahu datuk pada mereka. Semuanya anggukkan
kepala tanda setuju.
"Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu
fasal," cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.
Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.
"Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,"
balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.
Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.
Anehnya, tidak ada seorangpun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin mereka tidak nampak atau
perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim. Satu hal yang pasti, sama ada datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan
kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.
"Bagaimana dengan luka tu masih terasakah bisanya?" tanya datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.
"Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri," jawab Haji Salim dengan tenang.
"Kalau begitu, biarlah kami pulang," ujar datuk.
"Silakan, tapi…," Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya. Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh datuk, dari atas ke
bawah, dari bawah ke atas.
Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, datuk terus mengajukan pertanyaan.
"Kenapa Haji?"
"Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut."
"Agaknya bisa parang panjang."
"Bukan."
"Kalau bukan itu, apa dia?"
"Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing."
"Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar."
"Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu."
"Terpulanglah pada awak," balas datuk. Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.
"Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak," Haji Salim menyambung
perbualan yang terputus.
"Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya."
"Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah."
"Baiklah."
Saya dan datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih. Awan kelihatan putih
bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa
panas pada diri saya.
Saya terus berjalan mengekori datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di
dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu
tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak
berani mengingati nama Daud dan gurunya.

MANDI
Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan
kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya
menyatakan kesanggupan.

Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakkan.
Semuanya sudah dikumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.
Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim
menuai. Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya. Sebabnya, lepas
bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.
Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan. Syaratnya bukan susah. Lepas
sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api.
Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang. Saya boleh membeli baju, seluar dan
sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel
kelas rendah.
"Kau pergi sembayang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu," ujar nenek. Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil
air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah datuk sudahpun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.
Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada datuk untuk bersalam. Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di
sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian
serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.
Saya yakin orang inilah yang muncul di depan datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak memperhiraukannya. Datuk menyambut
salam dari saya. Dada saya berdebar kerana datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.
Datuk menyambut salam darinya. Tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan datuk, cepat-cepat orang itu menarik
tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya. Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu
menentang wajah datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.
"Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku," orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah datuk.
Bila dilihatnya datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa
hingga tamat.
"Jangan begitu, akibatnya buruk," tambah orang itu lagi.
"Maksud kamu?" soal datuk.
"Kau menyeksa anak murid aku."
"Siapa anak murid kamu?"
"Daud."
"Daud?" ulang datuk dengan rasa gugup.
"Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi," orang itu segera bangun, melangkah ke pintu. Berdiri di situ
sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya
dan datuk.
Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung
seluar warna kelabu. Tanpa menegur saya datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.
"Datuk nak ke mana nek?"
"Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku."
"Ha, saya nak ikut," jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.
Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar. Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata
badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.
"Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya," ujar Haji
Salim sambil merenung ke arah saya.
Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya. Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya
yakin datuk merestui saya mengikutinya.

LEBAI
Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan datuk dengan Lebai Din. Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat
tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada datuk. Semuanya di dengar oleh datuk dengan teliti.
"Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang
orang. Banyak ilmu salah yang dimilikunya," terang Lebai Din.
"Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya," jawab datuk.
"Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak."
"Saya berdoa Allah akan melindungi saya," suara datuk merendah. Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din.
Saya dan datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan
susu getah yang banyak. Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.
Kulit buah getah berserakkan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah. Langkah datuk cukup cepat, ia kelihatan
bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.

Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepakkan tunggul atau akar yang merayap di bumi. Berjalan di
celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok. Cahaya matarahi tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang
lebat dan berlapis-lapis.
Saya dan datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah.
Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.
Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia. Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa
melalui batas yang sempit dan memanjang.
Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah
padi. Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta
mengimbangi badan.
Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan
masuk ke mata. Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama. Saya lihat pintu dan tingap pondok lama
tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.
Saya renung ke arah datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok. Saya terus
mengekori datuk hingga ke kaki tangga pondok lama.
Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu. Bau hapak mula datang menerkam
lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya. Saya lihat ada tokak di buah
betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah.
Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya. Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup
yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.
Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.
"Apa hajat?" tanyanya pada datuk.
"Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini."
"Oh, awak salah orang."
"Tidak."
"Awak yakin."
"Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama."
Mendengar cakap datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat.
Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama-lama terasa seram sekali.
Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis-lapis. Kulit itu kelihatan
lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah. Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi
lalat hitam, sebesar telur ayam.
Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai. Di
bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya. Bibir atas dan bibir bawahnya
tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.
"Sial," pekiknya lalu menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.
Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melintuk ke kiri, melintuk ke kanan
mengikut arahan tiupan angin.
"Ya, aku datang," saya dan datuk pusing badan ke kiri. Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada
datuk, segera datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.
"Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi," datuk segera menyinsing lengan. Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa.
Sandarkan badan di situ.
"Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat. Ajaran agama yang kau
bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan
kejahatan untuk kepentingan dirimu."
"Kau silap kawan."
"Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agam dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan
agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu."
"Buktinya?"
"Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan."
"Ya," jawab orang itu.
Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka. Dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam. Di
kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh,
macam seorang pendekar.
"Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya," hati saya tertanya dan terus berubah tempat.
Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga.

Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.
"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara.
Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan datuk.
Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung
pelepah rumbia. Tupai itu jatuh atas tanah, mengeletek tidak tentu arah dan terus mati. Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh
orang itu, saya rasa datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimiliknya sungguh hebat sekali.
Saya segera menghampiri datuk. Saya mengajak datuk pulang. Bagi saya, kalau dengan Daud datuk mengalah, betapa pula ia akan
menentang gurunya. Saya tidak mahu melihat datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk datuk beradu
kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.
"Pulang saja tuk."
"Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku," tengking datuk. Saya termangu-mangu bila ditengking begitu.
Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak.
Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat
nangka.
Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan
bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau. Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang
memperlihatkan senaman aerobik.
Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kami ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya. Ia seolah-olah seperti
orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.
"Bagaimana?" katanya dengan muncul dari arah belakang saya. Kali ini badannya diselimut dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya
sahaja yang kelihatan.
Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di
kubur lama.
Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh
tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.
"Syaitannya cukup kuat," kata datuk sambil menggigit bibir. Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka
dengan sendirinya.
Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal. Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal
terus menyerang datuk.
"Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik," kata datuk pada saya. Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah
dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.

TERBENAM
Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan datuk sudah pun berada di rumah. Nenek memberitahu datuk yang Haji Salim sakit
tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar. Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan
dan menghisap darah Haji Salim.
"Badannya tidak bermaya, mukanya pucat," beritahu nenek pada datuk. Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim.
Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.
"Kita bawa saja ke hospital," kata isteri Haji Salim pada datuk.
"Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat. Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk
ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi," beritahu datuk pada isteri Haji Salim.
Sementara menanti barang-barang yang dipesan itu tiba, datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka. Saya lihat ulat-ulat itu
sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula
mengeluarkan bau hapak.
"Haji," seru datuk. Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah datuk.
"Terasa bisa seluruh badan," soal datuk lagi.
"Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya
bertuhankan syaitan," kata Haji Salim. Datuk menarik nafas panjang.
Barang-barang yang dipesan oleh datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi
gajah dan daun limau purut. Perkara pertama yang datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah yasin,
tiga kali berturut.
"Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan," datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air. Perlahan-lahan datuk tumpahkan air ke
tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.
Selesai sahaja datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar. Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya
terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.
(bersambung)...
Line leaf top Pictures, Images and Photos onion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment