Wednesday, November 11, 2015

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 64 dan 65

sambungan Siri Bercakap dengan Jin. (Kini drama adaptasi dari Novel penulisan Tamar Jalis ini ditayangkan di Astro Prima...sila tonton setiap Rabu 11.00 malam)... atas permintaan ini sambungannya cc: paan9494@gmail.com


(Jilid 04) Siri 64: Orang Berjubah Hitam
by Feroz for group komunitisbdj

Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara kanak-kanak menangis. Lelaki yang
menatang kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam bila lelaki itu
menyumbat susu ke dalam mulutnya.
"Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul," beritahu datuk pada Haji Salim.
"Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk," tanya saya.
"Itu bukan suara kanak-kanak tu Tamar."
"Habis suara siapa tuk?"
"Suara itu datang dari dalam kubur."
Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama. Saya
lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak itu melalak. Saya lihat darah dari
perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang menikamnya.
Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar. Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang
perempuan mengilai bersahut-sahutan dari angkasa. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut hilai
ketawa dari udara.
Lebih kurang lima minit suara ketawa dan mengilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa sepi. Orang lelaki yang menikam
kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap
kelawar.
"Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta
keturunan kamu disimpan," suara lelaki itu meninggi.
Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima. Lelaki
berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan semahumahunya.
Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada
lembaga besar dan tinggi melintas di depan kami.
"Jangan tegur apa yang kamu lihat," datuk memberi pesan.
Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan. Berdiri di depan seorang lelaki yang
berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan melutut di depannya.
"Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat," orang berlutut bersuara.
"Apa syaratnya?"

"Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu
semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam Jumaat," selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah. Tidak ada orang
yang mahu menolong membangunkannya.
Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di
depan lelaki yang berdiri.
"Syarat dari siapa?" tanya lelaki yang berdiri.
"Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara," suara perempuan yang halus dan lunak. Ia membuka kain
hitam yang menutup kepalanya.
Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang separas bahu. Orang lain yang
mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri.
Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan perlahan-lahan. Berhenti merangkak
bila berada di belakang orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu.
Malam yang kian jauh memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok kecil yang tumbuh sekitar kawasan itu nampak bergoyang
disentuh angin. Cengkerik dan katak puru terus melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang menyerang kami. Mungkin nyamuk
takut dengan sinaran api yang marak itu.
"Bukan orang sini," bisik datuk pada Haji Salim.
"Aku rasa pun begitu," jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke tanah.
Saya menggaru cuping telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas dalam keadaan meniarap. Bau tanah menyucuk lubang hidung.
Kalau ada semut yang merayap di pipi, tak boleh ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan atas daun-daun kering.
"Apa yang mereka buat tuk?" tanya saya pada datuk.
"Memuja kubur."
"Tujuannya untuk apa tuk."
"Ada bermacam-macam, mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin mereka mahu mengamalkan ilmu salah."
"Apa yang harus kita buat tuk?"
"Menghalau mereka dari sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti kita yang susah. Syaitan yang dipuja tu akan ganggu kita semua."
Saya terdiam. Tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada datuk. Biji mata saya arahkan pada dua orang yang berada di
tengah kubur. Saya lihat orang yang duduk berlutut sudah berdiri. Ia mengeluarkan botol besar dari dalam kain hitamnya. Botol itu
diserahkan pada orang di depannya.
Bila lelaki itu mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya pada batu nisan. Serpihan botol itu diambilnya dan
diserahkan pada orang yang baru bangun dari melutut itu.
"Untuk raja," katanya.
"Terima kasih, kau pula harus melutut," orang yang berdiri segera melutut.
Dan orang yang dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya dengan kain hitam.
"Apa yang aku mahu adalah darah kamu semua," orang yang dipanggil raja itu terus bersuara.
Ia menyerahkan kembali serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah seorang daripada orang yang mengelilingi kubur lama itu bangun.
Ia meletakkan baldi kecil di depan orang yang melutut. Dengan tenang orang yang melutut itu melukakan lengan tangan kirinya. Ia
membiarkan darahnya menitis dalam baldi. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur lama.
Bila semuanya sudah menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja itu terus minum darah. Bila selesai berbuat demikian, baldi itu
diserahkan pada orang lain untuk menikmati rasa darah dalam baldi. Bila upacara ganjil itu selesai. Darah yang masih ada dalam baldi
dicurahkan pada batu nisan. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus bertepuk tangan.
"Makan," kata orang yang dipanggil raja.
Semua orang yang mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari celah ketiak lalu diletakkan di depan. Orang yang dipanggil
raja itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang tersusun di depan orang-orang yang
mengelilingi kubur lama.
"Makan," katanya.
Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan sesuatu dari daun keladi ke mulut. Upacara itu
berlangsung kira-kira lima minit sahaja.
"Apa lagi yang kamu mahu?" tanya orang yang dipanggil raja dan terus duduk.
Belakangnya disandarkan kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah orang yang mengelilingi kubur lama.
"Ilmu yang bertentangan dengan hukum agama hukum akal, tidak mengenal belas sesama manusia," jawab orang-orang yang
mengelilingi kubur lama itu serentak.
"Baik, setiap kamu yang ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti, kemudian bila lidah itu sudah ada di sini, aku tawarkan untuk
memperdaya semua manusia," cukup tenang orang dipaggil raja itu memberikan jawapan.
Datuk dan Haji Salim terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau semua orang yang mengelilingi kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang dipanggil raja itu, padahnya akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa.
"Ini sudah merbahaya," rungut datuk.
"Memang merbahaya," jawab Haji Salim.
Saya hanya menggigit bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu bertindak dengan segera.
Selain daripada itu, bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka sukar dilihat dengan mata kasar. Penjelasan datuk itu diakui
oleh Haji Salim.
Bila semuanya sudah mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka duduk di tempat asal kembali dan terus bertepuk tangan.
Orang yang pengsan di batu nisan tidak ada siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar sendiri. Ia membuka kain hitam yang
menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat berbeza sekali.
Kalau tadi kulitnya putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit wajahnya menjadi sawo matang dan keras, rambutnya digunting
pendek macam tentera yang baru selesai menjalani latihan, di pusat latihan tentera di Port Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi kubur
lama lalu duduk di situ. Saya menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian hebat menggigit kulit
tubuh.
Tanpa diduga, Haji Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang mengelilingi kubur segera bangun. Mereka terus membakar andang
daun kelapa. Seluruh kawasan kubur terang benderang. Kain hitam yang membungkus kepala mereka jatuhkan. Semuanya berambut
pendek dengan wajah yang bengis.
Dalam keadaan yang cemas begitu, datuk terus melompat dan berdiri tidak jauh dari mereka.
"Maksiat," pekik datuk. Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan kanan datuk.
Pada mulanya kumpulan berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami. Tetapi, bila mereka melihat Haji Salim melambaikan
tangan ke arah hutan tebal, seolah-olah memanggil orang lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu berpandangan sama
sendiri.
"Apa yang kamu buat di sini," tanya datuk. Tiadak ada jawapan yang diterima. Semua anggota kumpulan itu melangkah setapak ke
belakang.
"Tinggalkan," saya terdengar suara dari sebelah kanan.
Serentak dengan itu anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri. Meredah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan
tersebut.
Haji Salim terus mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat ditangkap. Usaha Haji Salim itu gagal.
Kumpulan berjubah hitam itu cukup cekap berlari dalam gelap. Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun kelai, baldi dan
botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.
Haji Salim kembali mendapatkan saya dan datuk yang berdiri di atas kubur. Haji Salim tercungap-cungap. Dengan pertolongan cahaya
api, saya dapat melihat peluh menitik dari muka ke atas bajunya.
"Penat," Haji Salim merungut.
"Sepatutnya, jangan dikejar tadi," balas datuk.
"Itulah silap saya, sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan itu mengamuk, susah kita dibuatnya."
"Bertenang, masih ada masa untuk kita berusaha."
"Caranya?"
"Nanti kita fikirkan."
Datuk terus menepuk bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun meninggalkan kawasan tanah kubur lama itu. Seperti yang diduga,
ketika kami menyeberang sungai mahu pulang ke rumah, hujan turun dengan lebatnya. Titik-titik hujan yang kasar itu disertai dengan
kilat dan bunyi guruh.
Seluruh pakaian kami habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali buang air kecil. Berjalan dalam hujan waktu malam memang
menyeksakan. Sama ada suka atau tidak saya mesti menjalaninya dengan perasaan yang sabar.
"Singgah dulu, kita sembahyang Subuh bersama," kata Haji Salim bila sampai ke kawasan rumahnya.
"Tak payahlah, rumah kita pun tak jauh lagi," datuk menolak permintaan Haji Salim dengan tenang.
Haji Salim menuju ke rumahnya. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.
Hari masih gelap, hujan terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh sambung-menyambung. Memang dalam suasana demikian memang
seronok tidur, fikir saya. Entah apa yang datuk fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya sendiri pun tidak tahu. Saya dan datuk pun
sampai di rumah.
"Pergi mandi tukar baju basah tu," perintah datuk.
"Baik tuk," saya pun masuk ke bilik air. Datuk terus menuju ke perigi. Baru dua gayung air menjirus badan, saya terdengar pintu bilik air
diketuk orang bertalu-talu.
"Siapa tu?"
"Aku."
"Aku tu siapa?"

"Nenek kaulah, kenapa kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di telaga."
"Tuk yang suruh nek."
"Cucu dengan datuk sama saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah," rungut nenek. Saya tersenyum sendirian dalam bilik air.
Lepas mandi saya terus ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba. Nenek melarang saya masuk ke bilik tidur. Ia tahu, kalau
saya masuk bilik tidur, sembahyang Subuh pasti tidak saya lakukan.
"Apa yang kau orang dapat di kubur lama Tamar?"
"Itu kena tanya tuk," saya renung muka nenek. Dalam waktu yang sama datuk masuk ke rumah. Ia berdiri di depan nenek sebentar.
"Awak nak tahu apa kami dapat di kubur lama?"
"Apa dia?"
"Jumpa orang buat kerja maksiat."
"Kerja maksiat."
"Ya."
Datuk pun masuk ke ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara datuk menjerit. Saya dan nenek menerpa ke ruang tengah. Saya lihat datuk
membongkok mengambil sesuatu dan mencampakkan ke luar ikut tingkap.
"Apa dia tuk?"
"Daging orang dalam daun keladi, aku campakkan ke tanah."
"Kenapa tuk tak tanam."
"Ah, tak usah banyak tanya," suara datuk keras.
Kerana azan Subuh sudah kedengaran, saya dan datuk meneruskan sembahyang Subuh. Lepas sembahyang saya ikut datuk bersenam.
Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat tadi. Pagi itu, datuk tidak mandi embun.
Lebih kurang pukul sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali bersinar. Datuk dan saya berehat di anjung rumah. Dari jauh
kelihatan bayang seorang lelaki berbaju putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya cukup laju. Sampai di halaman ia terus
memberi salam. Datuk membalasnya dengan penuh hormat.
"Silakan naik," pelawa datuk. Orang itu tidak menjawab. Ia terus mengurut-urut janggut sejemput di bawah dagu.
Satu hal yang pasti, orang itu tidak berani menentang mata datuk. Setiap kali datuk merenung matanya ia segera mengalihkan
pandangannya ke arah lain.
"Rasanya kita pernah berjumpa tapi, di mana saya tak ingat," datuk bersuara dengan nada riang.
Belum pun selesai datuk berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke kiri dan terus melangkah tanpa mahu menoleh lagi ke rumah
datuk. Akhirnya, hilang dalam sinar matahari yang kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya kelihatan berkerut macam
mengingati sesuatu. Datuk menumbuk lantai sambil berkata:
"Aku ingat."
"Apa yang tuk ingat."
"Orang itu pernah datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia memakai jubah sambil membilang tasbih,"
"Siapa orangnya tuk?"
"Namanya aku tak tahu, tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana menolong perempuan yang aku jadikan anak angkat."
Saya anggukkan kepala. Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata saya. Sudah lama mereka tidak datang menemui datuk.
Rasa kesal terus juga bermain di hati saya. Kenapa datuk mesti menerima akibatnya setelah melakukan sesuatu yang bertujuan untuk
kebaikan.
Saya segera menggigit bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam dada. Kalau diturutkan kata hati, mahu rasanya saya
membawa kayu dan memukul batang leher lelaki jahanam itu.
Dalam saya berperang dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim datang. Ia membawa sebilah keris. Datuk mengajak ia naik. Haji
Salim menolak.
"Ada apa hajat?" tanya datuk.
"Nak mengajak pergi ke kubur lama."
"Apa pula sebabnya?"
"Hati saya berkata-kata tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang ditinggalkan oleh orang-orang maksiat itu."
"Kalau begitu, eloklah kita pergi."
Datuk pun turun. Saya juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek datuk terus menuju ke kawasan kubur lama. Kerana hujan lebat pada
sebelah malam, kesan air hujan masih terasa di daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang perjalanan menuju ke tempat tersebut.
Biasanya, air sungai tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik kira-kira dua kaki. Airnya pula mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk
air yang keruh itu. Tidak banyak perkara yang datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia asyik membaca sesuatu. Sebabnya saya berani berkata begitu, sepanjang perjalanan itu mulut datuk sentiasa bergerak-gerak sahaja.
Setelah melawan arus sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus memanjat tebing. Dari situ bergerak menuju ke kubur lama. Apa
yang saya lihat di situ ialah puntung-puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu nisan sudah tidak kelihatan lagi.
Semuanya hilang kena air hujan.
Datuk dan Haji Salim terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka terjumpa dengan serpihan tembikar tempat perasap serta
beberapa ketul kemenyan yang bertaburan. Haji Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar, kemudian dicampakkan
dalam semak.
"Kita balik saja," saya terdengar suara datuk.
"Ya, tak ada guna membuang masa di sini," sahut Haji Salim.
Kami pun melangkah meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat sungai kami terdengar suara orang perempuan memanggil
nama Haji Salim dan datuk bertalu-talu. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu.
"Jangan dijawab," datuk mengingatkan saya.
"Kenapa tuk."
"Itu suara syaitan."
"Suara syaitan," ulang saya sambil meraba pangkal tengkuk.

GANGGU PENDUDUK
Sudah seminggu lebih penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan. Setiap senja dan Subuh rumah mereka didatangi orang-orang
berjubah hitam yang tidak dikenali.
Orang-orang yang berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu sembahyang Maghrib. Kalau pintu tidak dibuka ketukannya terus
berlanjutan. Kalau dibiarkan papan pintu akan pecah. Bila dibuka, orang yang membuka hanya melihat belakang manusia berjubah hitam
dalam tempoh beberapa saat sahaja. Kemudian orang berjubah hitam itu terus hilang.
Kalau yang membuka pintu itu orang lelaki. Ia tidak melihat manusia berjubah hitam tetapi, ia akan melihat wanita cantik memakai
pakaian serba kuning dengan wajah yang menawan. Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan itu akan bertukar menjadi hodoh.
Gigi yang putih menjadi merah , macam darah. Kiri kanan gigi akan tumbuh siung. Hidung yang mancung jadi berlubang dengan
beberapa ekor ulat, begitu juga dengan biji mata. Sebelum menghilangkan diri perempuan itu akan ketawa. Dari mulutnya akan keluar
bau yang amat busuk. Tidak ubah macam bau bangkai.
Malang bagi orang luar atau saudara mara yang datang ke rumah saudara mara di kampung itu waktu Maghrib. Mereka terpaksa
membaca ayat fatihah dan ayat ‘Qulhuallah’ serta dua kalimah syahadat dengan lantang. Bila pembacaan itu betul dan lancar, baru
saudara atau adik-adik membuka pintu dan mempersilakan masuk. Kalau tidak boleh membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu.
Mereka berbuat demikian, kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim.
Akibat dari undang-undang yang tidak bertulis, kanak-kanak yang belum ke sekolah sudah lancar membaca ayat-ayat tersebut. Kesannya
memang baik. Sejak undang-undang itu dilancarkan, orang-orang jubah hitam mula berkurangan mengacau para penduduk di situ waktu
Maghrib.
Meskipun kegiatan kumpulan jubah hitam itu berkurangan. Tetapi, datuk tidak puas hati. Ia mahu menghancurkan dan melenyapkan
kumpulan itu dari mengacau para penduduk. Jadi, tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa datuk berusaha dengan pelbagai cara
untuk menghancurkan kumpulan itu.
Hari itu, seorang lelaki mengunjungi rumah datuk. Tetamu yang jadi kenalan baik Haji Salim itu dipersilakan masuk ke rumah. Ia
ditemani oleh Haji Salim.
"Apa hajatnya," soal datuk.
Teman Haji Salim yang berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk merenung lantai. Kemudian ia mengangkat mukanya
perlahan-lahan merenung muka datuk dan Haji Salim.
"Silakan," gesa Haji Salim.
"Saya disuruh oleh Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak."
"Sebabnya."
"Ada anak dara sunti di kampung mati dicekik orang waktu senja dan lidahnya dipotong," kata teman Haji Salim.
"Dah repot pada polis."
"Sudah."
"Bila perkara itu terjadi."
"Dua hari yang lalu."
"Jumpa saya nak buat apa?"
"Minta ikhtiar supaya perkara macam itu jangan berulang lagi."
Datuk menarik nafas panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka berbalas senyum, macam ada sesuatu rahsia besar yang
tersembunyi dalam pancaran senyuman mereka.
"Baliklah, jaga kampung," nasihat datuk.

datuk kembali. Datuk di anjung.
"Saya yakin, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur lama," Haji Salim meluahkan perasaannya. Datuk anggukkan
kepala. Lama juga datuk dan Haji Salim bertukar-tukar fikiran dan pendapat.
Akhirnya, mereka meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk tidak
pulang ke rumah. Ia singgah di rumah Haji Salim. Haji Salim membawa datuk melawat ke bahagian tempat ia menempah keris.
Datuk terkejut besar, bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di bahagian hujung matanya terlekat buah limau nipis manakala ulu
lembing dilumur dengan tanah liat yang berwarna kuning.
"Buat apa ni Haji?"
"Ini caranya membunuh orang yang tidak makan besi tajam."
"Kenapa kita mesti membunuh, kalau kumpulan jubah hitam itu berniat jahat, jawabnya mata lembinglah."
Datuk ketawa mendengar cakap Haji Salim. Sebenarnya, ia juga ada petua tersendiri bagi mengalahkan orang yang tidak mampan oleh
peluru dan senjata tajam. Petua yang diamalkan itu mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci. Hal itu tidak pula dinyatakan oleh
datuk pada Haji Salim.
"Aku yakin, orang-orang itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari kita. Aku rasa orang itu ada dekat kita.," ujar datuk lagi. Haji
Salim renung kiri kanan, macam mencari sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain diri saya, datuk dan dirinya.
"Awak bergurau."
"Tidak, saya yakin orang itu ada di sini," selesai sahaja datuk bercakap, ulu lembing yang tersusun itu terangkat sendiri macam ada
orang yang mengangkatnya.
Ulu lembing itu tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji Salim terlihat bayang-bayang manusia melintas di depannya.
"Awak menggunakan pancaindera yang keenam," kata Haji Salim.
"Tidak, saya menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya terasa ada orang bersembunyi di sini, tapi sukat untuk dilihat,"
jelas datuk.
Haji Salim tersenyum lalu menepuk pangkal lengan kanan datuk.
"Kebolehan yang ada pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang perkara jahat."

(bersambung)...

(Jilid 04) Siri 65: Darah Dalam Mulut Gadis 
by Feroz for group komunitisbdj

Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal
lengan datuk.
"Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat."
"Saya juga terfikir ke arah itu tapi…," datuk tidak meneruskan kata-katanya. Saya lihat datuk kerutkan kening macam ada sesuatu
masalah besar yang bermain dalam kepala.
"Apa masalah yang awak fikirkan?" mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan.
"Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan."
"Mudah saja."
"Mudah macam mana?"…
"Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus menentangnya."
"Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji."
"Kita adakan," tingkah Haji Salim tenang.
Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang
terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan.
Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah sambil berbunyi. Haji Salim juga
bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang dipakai.
"Aduh," jerit saya sekuat hati.
Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal. Makin kuat saya bergerak, makin
kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas.
Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher
saya. Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu.
"Benda sial tu, masih ada lagi di sini," nada suara datuk meninggi. Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus
menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib.
"Leher cucu kamu lebam dan bercalar," Haji Salim memberitahu datuk dengan wajah yang sedikit cemas.
"Tak apa, benda tu mencabar kita," balas datuk.
"Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung," rungut Haji Salim penuh kesal.
Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke
kanan dengan aman. Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat asal.
Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah
tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu.
"Huuuupppp…," jerit Haji Salim sambil melompat. Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata
belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung ke arah datuk dan saya.
Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke
tempat lain. Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal hidung, di telinga atau
di kening. Tindak tanduk belalang kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.
"Belalang sial," jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali yang kelima. Ia bangun dan terus
mengambil batang penyapu.
Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke dinding. Belum pun sempat penyapu
menjamah dinding, belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan
kemerah-merahan, sinar matanya nampak garang sekali.
"Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri," kata datuk.
"Sial betul."
"Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis," kata datuk dengan tenang.
"Nak buat apa?"
"Saya nak menumis sambal belalang kunyit?"
"Ah…," Haji Salim terkejut. Wajah datuk direnungnya tepat. Ia mahu mempastikan apakah datuk bercakap benar atau sekadar untuk
bergurau senda.
"Kau bergurau dalam masa orang cemas begini?"
"Tidak," datuk bangun menuju ke ruang dapur. Tiba-tiba belalang yang terbang ke sana ke mari dalam ruang, terus menghilang tanpa
dapat dikesan.
"Dah hilang," kata saya. Langkah datuk terus mati. Haji Salim letakkan penyapu atas pelantar. Kami merenung ke setiap sudut tidak
bergerak lagi. Suasana terasa sepi sekali.
"Aku harap dia keluar terus dari sini," keluh datuk lalu melangkah dan berdiri di muka jendela. Melihat langit petang yang cerah,
beberapa ekor burung gagak kelihatan terbang dengan bebas sambil berbunyi.
"Biar kami balik dulu," kata datuk. Saya pun segera bangun mengikut langkah datuk menuju ke muka pintu.
"Boleh saya gunakan petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau ia datang lagi," Haji Salim berlari mendapatkan datuk. Saya
lihat datuk tersenyum.
"Boleh, saya dapat petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata mereka itulah petua menghalau hantu syaitan seperti pelesit dan
jembalana," terang datuk dengan tenang. Haji Salim anggukkan kepala.

PULANG
Saya dan datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur condong. Burung-burung gagak berkeliaran melompat dari
dahan ke dahan sambil berbunyi dalam nada suara yang nyaring. Lebih kurang dua puluh langkah kaki melangkah, saya menoleh ke arah
rumah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim masih tercegat di muka pintu, melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan datuk.
"Ada masanya petua orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok. Lepas aku cakap begitu belalang tu terus ghaib entah ke mana,"
beritahu datuk kepada saya. Macam selalu, bila datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan kepala sahaja.
Kira-kira sepuluh minit perjalanan, akhirnya saya dan datuk sampai ke rumah. Saya terus menuju ke bilik dapur. Saya lihat nenek sedang
duduk memilih antah beras. Tanpa membuang masa, saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya memilih antah beras.
Saya mampu bertahan di sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja. Memilih antah beras memang membosankan dan tidak layak untuk
dikerjakan oleh orang lelaki. Saya terus bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu melangkah nenek terus bersuara.
"Kau dan datuk singgah di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang disediakan semuanya sudah sejuk."
"Singgah rumah Haji Salim," sahut datuk dari atas.
Saya senyum memandang ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Saya terus masuk ruang anjung. Tukar baju dan seluar.Saya
ambil gasing dan tali di bawah meja. Kemudian melompat ke halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi mencari kawan untuk diajak
main gasing.

"Tamar."
"Ya tuk."
"Kau mahu main gasing dengan kawan-kawan."
"Ya tuk."
"Jangan main lama-lama, dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau merayau ke mana-mana. Keadaan tidak begitu aman."
"Saya pergi main kejap aje tuk."
"Pergilah."
"Baik tuk," saya terus melompat keriangan. Kemudian terus berlari menuju ke rumah beberapa orang kawan. Menjelang waktu Maghrib
baru saya pulang. Tetapi kepulangan saya, tidak segembira waktu saya pergi tadi.
Gasing kesayangan saya terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis rasanya, melihat gasing yang dibuat dari batang limau
terkopak dua dan pakunya tercabut lalu hilang.
"Esok aku buat yang baru," kata saya menghiburkan hati.

MENETAP
Sudah dua hari Haji Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari orang-orang kampung terhindar dari gangguan perkara-perkara yang
ganjil. Semuanya berada dalam keadaan aman.
Selama dua hari juga, datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di hujung kampung dengan nenek atau saya. Datuk lebih banyak
membisu dan membuat amalan pada waktu malam. Pada sebelah siangnya, datuk banyak menghabiskan dengan membuat lukah atau
memburu ayam hutan.
Berdasarkan pada tindak tanduknya itu, saya menganggap datuk dan Haji Salim telah berjaya membanteras perbuatan terkutuk itu
dengan cara kebatinan. Kalaulah anggapan saya itu benar, saya memang gembira.
Dua minggu kemudian, kira-kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke rumah datuk dengan membawa sundang. Datuk yang
sedang membaca surah Yasin terkejut dengan kedatangan Haji Salim.
"Bukankah sudah saya pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur selama tiga minggu. Apa awak sudah lupa. Kalau macam ini
awak, usaha kita akan jadi sia-sia, kita buat perkara bodoh," suara datuk keras. Pertama kali saya lihat datuk bersikap kasar terhadap
Haji Salim.
Datuk berdiri di muka pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke anjung. Andang daun kelapa yang dibawah oleh Haji Salim
menerangi sebahagian daripada halaman rumah. Cahaya andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung.
"Maafkan saya, saya ada masalah besar," tambah Haji Salim yang memakai kain pelekat petak besar, berbaju putih tebal yang sudah
bertukar warna menjadi agak kekuning-kuningan, bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.
"Apa masalahnya?"
"Cucu saudara saya, hilang."
"Lelaki ke perempuan."
"Perempuan, baru anak dara sunti."
"Haaa…," datuk mengeluh. Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai wajahnya sebentar tadi terus hilang.
"Sudah dicari ke belum?" tanya datuk.
"Saya sudah puas mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya ingat pesan yang awak buat pada saya dulu, saya terpaksa
melanggarnya. Saya sudah terpaksa."
"Sudah terpaksa tak apalah," suara datuk terus lembut.
Datuk terus menjemput Haji Salim naik ke anjung. Jemputan datuk itu segera ditunaikan. Andang daun kelapa dipadam dan disandarkan
pada pangkal tiang. Tanpa dijemput saya datang ke anjung. Duduk bersimpuh dekat datuk.
"Kita pergi ke kubur lama," Haji Salim mengemukakan cadangan.
"Jangan terburu-buru, kita cari," balas datuk.
"Di mana kita nak cari, sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa. Sudahlah cucu saudara saya tu tak ada ayah, ada emak lumpuh
pula, entah apalah nasibnya," Haji Salim tunduk merenung lantai.
Saya jadi hiba. Badan saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa suara katak dan cengkerik bersahut-sahutan. Bunyi
burung hantu di hujung dahan jelas kedengaran.
"Jangan putus asa, mari kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan orang-orang kampung," datuk renung muka Haji Salim.
"Orang-orang kampung tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang. Saya tahu ini semua kerja orang yang memuja kubur,
mereka dendam dengan saya," keluh Haji Salim.
"Sudahlah tu, mari kita ke dewan," datuk terus bangun meninggalkan ruang anjung.
Haji Salim juga berbuat demikian. Sampai di halaman, Haji Salim menghidupkan api andang daun kelapa. Datuk terus menyuluh ke kiri
dan ke kanan dengan lampu picit. Saya masih lagi berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Apakah saya harus
mengikuti mereka atau tinggal bersama nenek di rumah.

"Kau jangan ikut Tamar," kata nenek.
"Ha….saya nak ikut," saya terus melompat, memburu datuk dan Haji Salim yang berada dalam jarak 30 kaki dari saya.
Datuk dan Haji Salim tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah dengan rancak. Walau bagaimanapun, mereka tahu saya
mengikuti mereka di belakang.
Cahaya obor daun kelapa Haji Salim terus menerangi permukaan jalan, bunga-bunga api dari obor daun kelapa berterbangan di udara
ditolak angin malam. Siulan cengkerik dan bunyi katak tidak pernah putus.
Kami sampai ke dewan, terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh orang kampung yang duduk bertenggek pada bibir simen dan
semuanya saya kenal. Beberapa dari mereka menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok daun bertembakau jawa itu
membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang kampung yang ada di situ.
"Kau Daud, duduk dekat rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak itu hilang," datuk mengajukan pertanyaan pada seorang lelaki
yang berbadan kurus.
"Budak perempuan tu memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak tiba, saya sudah tegur tapi dia tak peduli."
"Bukan itu, aku nak tahu waktu bila ia hilang Daud."
"Begini, petang tadi saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik, emaknya menangis dan suruh saya mencarinya."
"Kau pergi cari?"
"Saya cari tapi tak jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya sia-sia. Kemudian baru saya beritahu Haji Salim," Daud berhenti
bercakap. Wajahnya sedih.
Dan orang-orang kampung yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu. Mereka terlibat dalam usaha mencari gadis sunti yang hilang
itu. Mereka juga memberitahu datuk, mustahil gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana air sungai begitu cetek sekali. Mahu
dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang jahat juga tidak masuk di akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung.
"Ah, semuanya ni perbuatan orang yang memuja kubur," tiba-tiba Haji Salim bersuara lantang dan bersedia untuk mengeluarkan
beberapa ungkapan lagi.
"Sudah haji, dalam sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan membawa padah buruk pada diri kita," tingkah datuk.
Orang-orang kampung yang ada di situ anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan apa yang datuk katakan itu.
"Begini saja, kita cari malam ni juga," datuk mengemukakan cadangan.
Ternyata tidak semua orang-orang kampung yang ada di situ mahu menerima cadangan datuk.
"Siapa mahu ikut saya," tanya datuk lagi. Cuma tiga orang sahaja yang mengangkat tangan tanda setuju, manakala yang lain tidak
mengangkat tangan termasuklah Daud, jiran terdekat keluarga gadis sunti yang hilang.
"Kenapa Daud?" soal Haji Salim.
"Kerja sia-sia. Susah mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat tadi," sahut Daud.
"Habis apa yang patut kita lakukan?" Soal Haji Salim.
"Kita cari siang esok, lagi mudah."
"Tak apalah, siapa yang tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut, bersedia," datuk mengeluarkan arahan. Kumpulan Daud terus
meninggalkan kawasan dewan.
Bila saya hitung, ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang mahu menyertai kami. Dicampur dengan diri saya, datuk dan
Haji Salim, jumlah kami menjadi enam orang sahaja.
"Kita pecahkan enam orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan, Salleh ikut Haji Salim, Hassan ikut saya." Datuk mula
mengatur gerakan. Saya segera berdiri di belakang Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa.
"Saya yakin dengan pertolonga Allah yang Maha Besar, budak perempuan yang hilang tu akan kita jumpa juga," kata datuk lalu
mengajak kami pergi ke tebing sungai.
Ia menyuruh kami mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak perempuan yang hilang itu.
Seluruh kawasan tempat gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok besar, pokok kecil semuanya kena pijak dan diselongkar. Tidak ada
sesuatu kesan pun yang dapat kami temui.
Haji Salim cacakkan andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas sebatang pokok yang tumbang. Langit waktu itu kelihatan
cerah. Gumpalan awan putih bergerak perlahan-lahan arah barat daya. Bulan yang sedang mengecil terus dipagar oleh bintang-bintang
yang sedang mengerdip. Embun malam terasa menjamah rambut.
"Begini, Tamar dan Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki bukit. Haji Salim sama Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir
sungai. Saya sama Hassan cari dari seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang," datuk mengeluarkan aturcara dari
pertimbangan akal fikirannya. Tidak ada bantahan. Semuanya berpecah mengikut arahan yang ditetap.
Saya jadi gementar, usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan enam tahun sahaja. Tidak ada pengalaman. Dan orang-orang
yang mengikut datuk dan Haji Salim lebih beruntung lagi. Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak pengalaman, tidak mudah
gementar bila berhadapan dengan kecemasan.
Saya dan Borhan bertengkar kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala. Borhan mahu saya jadi kepala, sedangkan saya keberatan
kerana itu merupakan tugas yang berat. Akhirnya Borhan mengalah.
"Tak apa, kalau kau tak mahu apa boleh buat, marilah," Borhan terus meredah hutan kecil.

Saya tersenyum tetapi, saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa. Kami terus meredah hutan.
Angin malam yang bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa batang ranting kering dan daun kering berjatuhan ke
bumi akibat dirempuh angin. Bunyi katak dan cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan anjing liar yang ditingkah
oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari makanan.
Semua lubang, semua perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk. Beberapa ekor katak dan belalang berlompatan, bagaikan marah
kerana tempat mereka diganggu. Sesekali, kaki saya terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar merempuh batang leher lalu,
menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada kulit tengkuk. Terasa cukup sejuk.
Tiba-tiba saya tersepakkan sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila saya bergerak, terasa benda lembut itu memaut pergelangan
kaki saya. Benda lembut sejuk itu merayap hingga ke buah betis saya.
Dada saya berdebar, badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas kedengaran. Suara cengkerik dan katak kian bertambah
rancak. Angin terus menggugurkan ranting-ranting kering yang bunyinya amat menakutkan.
"Kenapa berdiri di situ Tamar."
"Ada…," saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus menggeletar. Malam yang dingin terasa panas hingga memercikkan
peluh-peluh halus di dahi.
"Kenapa muka kamu pucat Tamar?"
"Ahhh..Ahhh ada…," mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu terus meraba buah betis saya.
Melihat saya dalam keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan terus merampas obor dari tangan saya. Ia terus menyuluh ke
arah rumpun lalang. Biji mata Borhan terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak tidak tentu arah menurut getaran
tangannya.
"Mayat Tamar," suara Borhan separuh menjerit. Mukanya kelihatan berubah. Mujurlah, rasa cemas itu sekejap saja menguasai dirinya.
Beberapa minit kemudian, ia kembali tenang. Ia menarik tangan saya dari rumpun lalang. Saya angkat kaki kanan tetapi tidak berdaya.
Kaki saya bagaikan ditarik oleh sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa mula merayap dari buah betis menurun ke buku lali.
"Mayat pegang aku Borhan."
"Nanti aku lepaskan."
Borhan pacakkan atas bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat seorang gadis terlentang. Biji matanya terbeliak, mulutnya
ternganga, penuh dengan darah beku. Rambutnya mengerbang.
Perkara yang benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat jari jemari mayat itu memaut pergelangan kaki saya. Macam
diarahkan oleh sesuatu untuk berbuat demikian. Dengan ekor mata saya menjeling ke arah jari-jemari mayat dan kaki kanan saya.
Rupa-rupanya telapak kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu. Tidak hairanlah bila saya menggerakkan kaki, tangan dan
jari-jemarinya turut sama bergerak. Biji matanya yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada mayat tersebut memang
menakutkan.
Saya rasa matanya bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati. Kakinya terkangkang keras. Kain batik lusuh yang dipakainya
terselak hingga ke pangkal paha dan baju kebayangan pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada perlawanan antara orang yang
menyerang dengan mangsanya.
Borhan terus menatap mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah matanya dengan telapak tangan.
"Mayat tu bergerak," katanya.
"Bergerak," pekik saya lalu membuka langkah seribu.
Habis pokok besar dan kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit pun. Melihat saya lari, Borhan juga ikut lari lintang pukang di
malam yang gelap melanggar apa sahaja yang menghalang.
Anehnya, kami sampai serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak dapat berkata apa-apa, cuma tercungap-cungap macam ikan
kekurangan air.
Tidak sampai lima minit kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh dan datuk pun tiba. Mereka tercengang melihat kami tercungapcungap
dengan wajah yang pucat.
"Ada orang jumpa?" tanya datuk.
"Adaa…," jawab Borhan sambil menyandarkan badannya pada saya. Tiba-tiba ia terus rebah. Haji Salim terus mendekatinya.
"Pengsan," kata Haji Salim.
Semua yang ada di situ segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya, Borhan pulih dari pengsan. Datuk memberikan rawatan
dengan secukupnya pada Borhan. Mukanya yang pucat lesi, kembali merah.
"Apa yang kau jumpa Borhan?" Datuk terus menyoal Borhan. Tangan datuk terus memicit setiap sendi tubuh Borhan. Air embun yang
gugur terus menyentuh rambut kami. Dua tiga orang menguap panjang.
"Cucu saudara Haji Salim, si Timah sudah mati," suara Borhan lemah. Haji Salim terus termenung panjang. Matanya merenung
pokok-pokok hutan yang tegak kaki di malam yang dingin.
Lolongan anjing sudah tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung hantu dan jampuk. Bunyi katak dan cengkerik tetap hebat
macam tadi.
Datuk dan Haji Salim mengadakan rundingan. Kemudian datuk minta saya dan Borhan menunjukkan rumpun lalang tempat mayat itu
dijumpai. Kali ini saya jadi kepala jalan. Saya tidak merasa takut atau gentar kerana ada datuk dan Haji Salim.

Kami sampai ke rumpun lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu saudaranya yang sudah kaku. Usianya sekitar tiga belas tahun.
Datuk merenung mayat gadis malang itu dengan tenang.
"Lidahnya dipotong orang," beritahu datuk pada Haji Salim.
"Memang tak salah agakan saya."
"Kita berusaha mencari orang yang membuat kerja laknat itu."
"Ya, kematian cucu saudara saya harus dibalas," nada suara Haji Salim keras.
Saya, Hassan, Salleh dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang dikatakan oleh datuk dan Haji Salim. Ketika mayat itu
berada di pangkuan Haji Salim, saya tidak berani merenungnya.
Mayat gadis sunti yang malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di ruang depan. Siang esok mayat gadis malang itu akan
diuruskan pengkebumiannya, begitu mengikut rancangan Haji Salim yang disampaikan pada datuk.
Lebih kurang pukul empat pagi, saya dan datuk meninggalkan rumah ibu gadis yang malang itu. Haji Salim terus membaca Quran dekat
cucu saudaranya.
"Biar kami balik dulu Haji," kata datuk pada Haji Salim. Waktu itu, sudah pukul empat pagi, bintang timur sudah pun muncul di kaki
langit. Udara terasa bertambah dingin.
"Tak apalah, esok datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan pagi,"jawab Haji Salim pendek. Ia terus membaca Quran dekat
jenazah cucu saudaranya. Saya dan datuk meninggalkan rumah gadis sinti yang malang.

TANAM
Sudah dua mingu , jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Parit. Saya masih ingat, waktu
orang-orang kampung meratakan tanah kubur, kira-kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik, matahari memancar keras.
Tanpa diduga oleh sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan turun dengan selebatnya. Pakaian ornag kampung yang ada di
situ semuanya basah kuyup. Beberapa orang kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu orang menanam jenazah
membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih hidup.

(bersambung)...

Line leaf top Pictures, Images and Photos onion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment