Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 51

Rahsia Seorang Sahabat

Tiba-tiba saya tersedak. Mata dan hidung terus berair. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke wajah saya. Renungannya begitu tajam. Tangan kanan saya yang memegang cawan teh terus menggeletar. Perlahan-lahan cawan itu saya letakkan kembali ke tempat asalnya (dalam talam kecil). Mahyuddin terus menepuk belakang saya perlahan-lahan, kemudian dia mengurut-ngurut dua tiga kali di bahagian tengah tulang belakang. Perjalanan nafas terasa normal kembali. "Tak apa, tersedak tengah minum, menurut kata orang tua-tua, ada orang yang menyebut nama kamu Tamar”, ujar Mahyuddin. "Itu tandanya, minum tak menyebut kalimah Allah, cuba baca Bismillah tadi, tentu tidak begitu jadinya”, sahut datuk. Saya segera berpaling ke arahnya. Saya menggigit bibir, renungan datuk tidak lagi setajam tadi. Tetapi, saya tahu datuk begitu kesal dengan sikap yang telah saya lakukan itu. "Dia tak sengaja, usahlah dikesalkan”, Mahyuddin bersuara. "Saya tahu, kalau dari sekarang tidak ditegur nanti perbuatan itu diulang lagi. Malu kita bila disebut orang membela cucu yang tak tahu adat dan tak senonoh”, jawab datuk. "Sudahlah, masih boleh dibetulkan”, balas Mahyuddin sambil tersenyum pada datuk. Dari tingkap yang terdedah, saya dapat melihat awan petang yang berarak perlahan-lahan arah ke selatan, sesekali ternampak burung gagak terbang rendah mencari ulat di daun pisang nangka dan embun. Kerana datuk tidak menjamah pisang goreng dan air teh, Mahyuddin terpaksa membawa barang-barang itu ke dapur. Datuk sandarkan badan pada dinding rumah. Dahinya kelihatan berkedut macam memikirkan sesuatu, saya masih lagi melihat gumpalan awan serta burung gagak yang terbang bebas di luar. "Kalau mengantuk bawa baring dulu”, kata Mahyuddin pada datuk. Saya bagaikan terkejut dan merasa hairan, bila masanya Mahyuddin melintas di hadapan saya dari ruang dapur menuju ke ruang tengah. Berdasarkan pada tempat yang saya duduk itu, sesiapa saja yang mahu pergi ke dapur atau dari dapur mahu ke ruang tengah mesti melintas di hadapan saya. Ah, ini memang perkara pelik, macam mana saya tak boleh sedar langsung Mahyuddin melintas. Agaknya, dia mahu menguji kepandaian datuk lagi. Memanglah manusia Mahyuddin ini tidak boleh dipercayai. Semua persoalan itu bermain-main dalam kepala saya. Rasa curiga berbunga kembali dalam hati. Datuk harus diberitahu tentang hal ini, biar datuk bertindak segera, kalau lambat bertindak nanti celaka menimpa diri. "Apa yang kau fikir Tamar?", tanya datuk dengan mendadak. "Mahyuddin tuk”, kata saya semacam berbisik. Datuk tersenyum sambil menepuk bahu kiri saya berkali-kali. Datuk kembali duduk di tempat asalnya. Sesungguhnya saya tidak sedar masa bila datuk merapati saya. Mahyuddin yang duduk berhadapan dengan datuk, tersenyum ke arah saya. Dia bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya. "Cucu awak memang pemerhati orangnya”, kata Mahyuddin pada datuk. "Betul kah cakap awak ni?" "Saya bercakap setelah melihat, tadi sengaja saya menghilangkan diri di hadapannya ketika dia termenung panjang, rupa-rupanya dia sedar, malah langkah saya ke dapur dikiranya”, tambah Mahyuddin lagi.

Datuk tarik nafas panjang. Begitulah perangai datuk, dia semacam tidak senang bila ada orang memuji saya secara . berhadapan. Saya garu pangkal dagu beberapa kali, kembang juga rasa hati bila menerima pujian begitu. Mahyuddin memperkemaskan silanya. Datuk pula sandarkan badan ke dinding. Mereka sekarang berada dalam keadaan yang cukup selesa. Angin petang yang masuk ikut jendela memberikan rasa segar pada mereka. Barangkali, datuk dan Mahyuddin senang berada dalam keadaan demikian. Bagi diri saya tidak pula begitu, saya rasa jemu duduk dalam rumah tanpa melakukan sesuatu.

"Apa hajat sebenar awak menjemput saya ke mari. Cakaplah, kalau boleh saya tolong, tetap saya tolong, kalau tak boleh saya menolak”, senang hati saya bila datuk bersuara demikian.

Datuk mahu menyelesaikan masalahnya dengan segera dan dengan segera pula dia mahu meninggalkan rumah Mahyuddin. Saya lihat Mahyuddin mengerutkan dahi luasnya, lama benar dia termenung. Dia seperti berada dalam keadaan serba salah. Tiba-tiba Mahyuddin bangun dan menuju ke tingkap. Berdiri di situ dengan membelakangi datuk. Mahyuddin merenung ke arah pokok-pokok yang tumbuh subur di lereng sebuah bukit yang tidak jauh dari rumahnya. Melihat bentuk tubuh Mahyuddin dari belakang, memang menarik serta menampakkan ciri-ciri seorang pahlawan. Bidang belakangnya lebar, kedua belah pangkal lengannya kelihatan tegap. Cukup sajak dia berdiri, kena pula dengan tubuhnya yang tinggi. "Aku telah berjanji dengan diri sendiri, engkau adalah satu-satunya sahabat ku dunia akhirat”, Mahyuddin pusingkan badan merenung wajah datuk.

"Jadi apa yang engkau mahu aku lakukan untuk menguatkan persahabatan tu Mahyuddin?" "Apa yang ada pada saya, mahu saya nyatakan pada awak." "Jangan bergurau kawan." "Saya tidak bergurau tentang sesuatu yang benar." Datuk terdiam mendengar kata-kata Mahyuddin i tu. Dengan lemah Mahyuddin melangkah merapati datuk. Mereka duduk berhadapan. Mahyuddin letakkan tangan kanannya atas kepala lutut datuk dengan tenang. "Ada rahsia yang mahu saya tanyakan pada sahabat”, bisik Mahyuddin.

"Silakan”, datuk tersenyum. Bahu Mahyuddin ditepuknya dua tiga kali. Mereka berbalas senyum. Anehnya, Mahyuddin tidak terus mengajukan pertanyaan pada datuk. Ada keraguan yang terpamer di wajah Mahyuddin. "Tanyalah apa yang mahu kau tanyakan pada ku, apa rahsia yang mahu kau katakan pada ku Mahyuddin?"

"Sahabat juga membela harimau seperti saya." "Tidak." Muka Mahyuddin jadi pucat, bila dia mendengar datuk menyebut perkataan 'tidak' dengan serta merta dia menekup mulutnya dengan kedua belah telapak tangannya. Dahi Mahyuddin kelihatan berkerut. Saya kira Mahyuddin merasa kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Dia bimbang dengan tindak tanduknya itu, perasaan datuk akan terguris.

"Maafkan saya”, Mahyuddin tersipu-sipu. "Tak apa, setiap orang berhak bertanya dan menyoal, perbuatan kamu tidak salah."

"Tapi, boleh melukakan perasaan orang." "Tidak,kerana aku sememangnya tidak membela harimau, cuma ada orang yang berpendapat aku membelanya”, datuk membuka rahsia diri. Mahyuddin anggukkan kepala. Saya mula resah tidak menentu, memang bosan duduk dalam rumah yang pergerakannya serba terbatas. Saya sandarkan badan ke dinding dan kedua belah kaki saya luruskan. Dan sepasang mata saya kembali tertumpu pada awan serta dedaun yang dapat saya lihat dari jendela yang terdedah.

"Pelik juga, orang yang tidak tahu tentang harimau dapat menguasai harimau”, rungut Mahyuddin sambil matanya merenung pangkal dagu datuk. Kemudian Mahyuddin minta izin dari datuk untuk melihat garis-garis di pergelangan tangan kiri datuk. Permintaan itu tidak dihampakan. Setiap bulu roma dan kedut kulit lengan datuk ditatap oleh Mahyuddin dengan teliti, sesekali dia menggosok lengan datuk dengan telapak tangannya perlahan-lahan macam mencari atau merasa sesuatu.

"Berdasarkan rabaan dan gerak urat-urat sendi awak, memanglah awak tidak memelihara harimau, awak berterus terang dengan saya”, Mahyuddin berhenti meraba pergelangan tangan datuk. Dia termenung sejenak. Kulit dahinya kelihatan berlapis dan kedua belah kelopak matanya kelihatan kian mengecil melindungi sepasang anak matanya yang tajam. Tiba-tiba Mahyuddin melepaskan sebuah keluhan. Belakangnya bertemu dengan papan dinding. Keningnya masih juga berkerut.

"Awak memang tidak ada hubungan dengan harimau tetapi ... " "Teruskan Mahyuddin”, desak datuk. "Waktu saya mengejar awak dalam hutan, saya selalu di pintas dan disergah oleh harimau, mujurlah saya berjaya mengunci geraknya, kalau tidak mati saya."

"Biasanya harimau yang mengikut saya tidak mengacau atau membinasakan sesiapa kecuali dirinya dicederakan" "Begitulah, antara kita berdua ada perbezaan dalam menguasai dunia binatang." "Aku tidak menguasai binatang”, kata datuk dengan nada suara yang agak tinggi, seolah-olah menafikan tanggapan yang dibuat oleh Mahyuddin itu. Cepat –cepat Mahyuddin tepuk bahu datuk. Mereka berbalas senyum. Saya terkejut bila Mahyuddin kenyitkan matanya pada saya. Dengan itu, fahamlah saya yang Mahyuddin sekadar mahu mengusik datuk. "Saya fikir eloklah kita keluar dari rumah ni, duduk berehat di belakang rumah pula." Mahyuddin mengeluarkan cadangan. Sayangnya cadangan itu ditolak oleh datuk dengan alasan, kalau dia berada di tepi hutan kecil di belakang rumah, harimau yang selama ini mengikuti dirinya akan muncul!. "Biarkan si Tamar saja yang keluar untuk bermain”, kata datuk. Saya gembira mendengar perintah itu. Tanpa membuang masa, saya terus melompat ikut pintu, dalam beberapa saat saja sudah berada di tanah. Bila berada di tanah saya jadi bodoh, saya tidak tahu dengan siapa saya mesti berkawan. Saya renung ke hulu hilir silih berganti. Akhirnya, saya duduk di bawah pohon mempelam. Dalam keadaan matahari yang kian mengecil di dada langit, saya tercium bau yang am at wangi, beberapa ekor ayam hutan, entah dari mana datangnya muncul di bawah rumah. Saya naik ke rumah kembali. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat datuk dan Mahyuddin berdiri tanpa baju. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan ketika saya tidak ada di atas rumah. Saya duduk di tempat asal saya. Datuk dan Mahyuddin masih lagi berdiri, mereka bagaikan tidak menyedari kedatangan saya. Saya pura-pura batuk. Serentak datuk dan Mahyuddin merenung ke arah saya dengan rasa terkejut. Keduanya mengenakan baju ke badan kembali dan terus berdiri. Mereka masih lagi merenung ke arah saya. "Ada apa tuk?" Tanya saya. "Tak ada apa-apa Tamar, kami cuma berlatih menguatkan urat-urat badan”, balas datuk dengan wajah yang selamba. Saya menggigit bibir dan terus duduk. Aneh, datuk dan Mahyuddin masih lagi berdiri, bertentang mata dengan kedua belah tangan menolak bahu pihak yang menentang (datuk tolak bahu Mahyuddin dan Mahyuddin pula tolak bahu datuk) masing-masing kelihatan berusaha menewaskan pihak yang menentang. Muka datuk dan Mahyuddin kelihatan merah, sepasang kaki mereka bagaikan melekat di lamai. Badan keduanya kelihatan berulas-ulas dan daging yang terlekap di bahagian bawah ketiak, kelihatan mengembang macam ahli bina badan dalam pertunjukan.

Semua yang saya lihat menimbulkan berbagai-bagai ramalan pada diri saya, mungkin mereka beradu kekuatan cara batin atau mungkin saja. Ramalan yang terjadi dalam diri saya itu bagaikan mendesak menyuruh saya menyoal datuk. "Latihan apa ni tuk, saya tak pernah melihat tuk berlatih macam ini”, tanya saya dan terus bangun, kemudian duduk berhampiran kaki kanannya, saya lihat urat-urat dan ketul ketul daging di betis datuk berulas-ulas pejal. "Jauh Tamar”, tekanan suara datuk meninggi. Saya tidak peduli dengan perintahnya. Saya merasa seronok melihat daging buah betisnya yang pejal bergerak-gerak, geram juga rasa hati melihat bulu romanya yang tumbuh panjang di betis, bulu romanya juga bergerak, macam tunggul lalang dilanggar kaki lembu. "Jauhhhh ... . “, tempik datuk, saya jadi terkejut dan terus melompat lari ke arah muka pintu. Suara datuk yang keras dan kasar itu membuat badan saya jadi menggeletar tidak tentu arah. Saya terus duduk di atas bendul pintu sambil berjuntai kaki tetapi, sepasang mata saya masih menyorot telatah datuk dan Mahyuddin. Tiba-tiba, Mahyuddin menjatuhkan kedua belah tangannya dari memaut bahu datuk, kedua belah telapak tangannya dikembangkan macam bentuk ekor burung merpati, Mahyuddin melompat lalu melepaskan satu tendangan yang cukup kencang ke dada datuk. Bagaikan kilat datuk memegang telapak kaki kanan Mahyuddin dan terus memusingkannya. Mahyuddin terlentang atas lantai. "Macam mana boleh jadi begini? Pada mulanya kita berjanji melakukan semuanya ini sekadar untuk menegangkan urat di samping mencari punca atau bentuk langkah silat yang kita amalkan serupa atau tidak, tiba-tiba lain pula yang kau lakukan”, nada suara datuk cukup kecewa dan hampa. Wajahnya kelihatan muram sekali. Saya menggigit bibir. Mahyuddin segera meraba pangkal lehernya berkali-kali. Kemudian dia terus duduk dalam keadaan berdiri lutut. Kedua belah lengannya terkandas atas kepala lutut. Dia termenung panjang dengan sepasang matanya merenung lantai. "Inilah kelemahan saya sahabat, terlalu sangat menurut kata hati hingga menenggelamkan akal fikiran sendiri”, kesal benar bunyi nada suara Mahyuddin. Ketika dia berkata -kata itu wa jah datuk tidak dipandangnya. Saya lihat datuk masih berada dalam keadaan yang sungguh tenang. Dua tiga kali dia meraba-raba hujung dagunya.

"Mungkin pengalaman lalu mengajar saya jadi begini?" "Pengalaman macam mana Mahyuddin." "Masa belajar silat dulu, kawan seguru yang dianggap setia, diajak tidur di rumah, makan seperiuk tiba-tiba mengkhianati diri saya sendiri." "Khianat macam mana?" "Isteri saya dirampas dengan secara terhormat hingga saya bercerai, kemudian dia kahwin dengan isteri saya."

Datuk menghampiri Mahyuddin,dua tiga kali bahu manusia harimau (Mahyuddin) diurut oleh datuk dengan penuh manja, macam seorang ayah memujuk anak kesayangan yang merajuk. Dan saya bagaikan ditolak-tolak oleh sesuatu yang menyebabkan saya bergerak dan duduk di sebelah Mahyuddin. Mahyuddin menarik nafas panjang, kepalanya diangkat perlahan-lahan hingga tegak. Dia merenung dinding rumah dan setiap benda yang ada ditatapnya dengan renungan yang sayu sekali. Dan angin petang yang masuk ke rumah menyentuh rambutnya yang terjuntai di atas dahi, rambut itu bergerak-gerak lemah. "Dalam zaman pemerintahan Jepun dulu, kawan serumah yang dianggap sebagai adik dunia akhirat, tiba-tiba mengadu pada Jepun tentang kegiatan saya hingga saya diburu Jepun, saya ditangkap hingga dipaksa minum air sabun oleh tentera Jepun, dengan kehendak Allah saya dibebaskan, pengalaman yang saya tempoh mengajar saya jadi begini sahabat”, Mahyuddin meraba bibir bawahnya dengan hujung kelingking. Saya lihat kelopak matanya digenangi air jernih. Rasa simpati dan hiba menguasai diri saya. Tanpa disedari air mata membasahi kulit pipi saya yang keras.

"Tamar, kau orang lelaki, kau anak jantan, yang mempunyai hati betina, jangan mudah mengeluarkan air mata”, bisik datuk ke telinga. Cepat-cepat saya kesat air mata, segaris senyum saya pamerkan untuk datuk. Tanpa membuang masa lagi datuk menegakkan ibu jari kanannya sambil tersenyum lebar. Hati saya jadi kembang macam bunga matahari kembang pagi. Di luar matahari mula jatuh di kaki langit. Kicau burung tidak kedengaran dan rama-rama sudah berhenti terbang. Kecuali bunyi suara burung kuang mula kedengaran. Dan alam keliling mula beransur samar-samar. Mahyuddin masih lagi duduk di tempat. tadi dengan datuk di sisinya. "Sejak itu, saya rasa cukup susah untuk menegakkan keyakinan dalam diri saya terhadap orang yang bersikap jujur pada saya”, keluh Mahyuddin. Datuk terus juga menepuk -nepuk bahu Mahyuddin, jari tangan datuk terus dipegang oleh Mahyuddin erat-erat, muka datuk dipandangnya. "Salah kah saya sahabat?" "Kau tidak bersalah, pengalaman membentuk kau jadi begitu dan itu adalah hak kau dan hak itu kalau kau kembalikan pada ajaran agama Islam yang mahukan seliap pengikutnya bersikap jujur, timbang rasa dan kasih sayang, sudah tentu tentu merasa bahagia." "Apa yang mesti saya buat.." "Kembali pada ajaran agama, bersihkan hati dan perasaan”, terang datuk. Lagi sekali Mahyuddin tunduk merenung lantai. "Mari kita bersihkan diri dan pergi ke masjid, Maghrib sudah dekat”, sambung datuk. Tanpa banyak soal, saya terus ke telaga dan mandi, diikuti oleh Mahyuddin dan akhir sekali datuk. Setelah itu serentak kami melangkah meninggalkan rumah. Setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak, datuk membaca Al-Quran, saya membaca Muqaddam, Mahyuddin membaca surah Yasin. Kira-kira jam sebelas malam, kami berhenti dari kerja-kerja yang dilakukan. Datuk membuat. keputusan untuk bermalam di masjid tetapi, Mahyuddin mendesak datuk bermalam di rumahnya.

"Masjid sebaik-baik tempat untuk berteduh”, kata datuk. "Ke rumah saya sajalah, banyak hal yang belum saya selesaikan dengan sahabat, banyak rahsia diri saya yang belum terbongkar untuk pengetahuan awak." "Kita selesaikan di sini, berkatnya lebih”, datuk menolak. Wajah Mahyuddin segera berubah, dia mula menunjukkan sikap menentang. Dia jadi panas hati kerana datuk tidak mahu memenuhi permintaannya. Saya jadi resah, saya takut berlaku perkelahian lagi. Kerana saya tahu perangai datuk, dia tidak akan mengalah pada sesiapa sampai kali keempat, ini memang merupakan satu pantang larang dalam dirinya. Dia boleh dihina, dijatuhkan maruahnya di mana-mana saja sebanyak tiga kali, tetapi untuk kali yang keempat dia akan bangun melawan secara berhabis-habisan.

Dalam keadaan diri saya yang serba salah itu, saya lihat datuk sembahyang dua rakaat, seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang berlaku. Setelah memberi salam terakhir, dia senyum pada Mahyuddin dan menghulurkan salam. Mahyuddin menyambut salam itu. “Bebaskan diri dari rasa cepat marah, orang yang cepat marah adalah tempat syaitan bermain yang menjadikan kita menyimpan perasaan hasad dan dendam,” sambil tersenyum datuk berkata. Mahyuddin terdiam. “Isikan dada dengan rasa sabar kerana sabar itu akan membuat kita mengenali diri sendiri yang serba kurang dan secara tidak langsung membuat kita berfikir, bahawa tidak ada yang lebih berkuasa di dunia ini selain daripada Allah, “ tambah datuk lagi. Mahyuddin merenung muka datuk, kemudian tanpa dipaksa oleh sesiapa, dia bersetuju untuk tinggal bersama datuk di masjid tersebut sepanjang malam. Rupanya di dalam masjid, Mahyuddin memperoleh satu ketenangan bagi dirinya serta datuk dan saya. Mahyuddin menceritakan pada datuk, sejak dia dikhianati oleh kawannya sendiri, dia tidak pernah berhasrat untuk mempunyai seorang isteri. "Kalau saya kahwin bukan kerana saya sukakan perempuan tetapi sekadar mengelakkan diri saya dari melakukan zina”, katanya. Dan datuk tidak mahu menyoal lebih lanjut lagi tentang hal itu. Dan perkara itu mati begitu sahaja. “Saya tahu, awak memang tidak membela harimau dan harimau yang mendampingi awak itu merupakan harimau peninggalan datuk nenek awak yang diwariskan pada awak, sampai waktunya harimau itu akan meninggalkan awak juga”, saya terkejut mendengar cakap Mahyuddin itu. “Lagi apa yang awak tahu?” “Awak adalah waris terakhir, bila awak mati harimau itu tidak akan mencari keturunan awak untuk menjadi tuannya” “Saya tidak tahu” “Sekarang awak sudah tahu, harimau yang mendampingi awak tu sudah cukup tua, sebagai makhluk yang bernyawa dia akan mati juga” Penjelasan Mahyuddin itu amat menarik sekali. Sebagai manusia yang sedar dirinya serba kekurangan, datuk mengakui bahawa, Mahyuddin bukan calang-calang manusia. Dia tahu dengan apa yang dicakapkannya. Dia manusia yang arif tentang harimau dan dunianya. Datuk rasa cukup kagum dengan Mahyuddin, tidak banyak manusia di alam Melayu yang belajar silat harimau. "Inilah kelebihan awak dan kekurangan awak tidak boleh mengawal perasaan marah, sesungguhnya tidak ada ilmu yang cukup sempurna, bagi manusia”, kata datuk. “Tepat sekali”, sahut Mahyuddin. Kelopak mata saya terasa berat, bayang datuk dan Mahyuddin memanjang di dinding dalam sinar lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap malap. Saya merebahkan badan atas lantai, lantas saya terkenangkan nenek di kampung, saya membayangkan ketika begini nenek akan berada di ruang tengah rumah, berbumbung limas dengan sebuah pelita minyak tanah di hadapannya. Nenek akan menjalankan kerjanya dengan tekun menganyam tikar mengkuang panjang dua belas atau melurut mengkuang ladang dengan kayu untuk dibuat tudung saji. Tiba-tiba saja rasa rindu pada nenek berbunga dalam hati kecil saya. “Tunggu sebentar, biar saya pulang dulu, sebelum kokok ayam pertama berbunyi saya akan datang ke sini” “Kenapa begitu pula jadinya?” “Kedatangan saya kali ini akan membuka rahsia diri saya pada awak, bila rahsia itu saya buka, saya akan merasa bahagia kerana orang yang mahu saya serahkan atau mewarisi pusaka saya telah saya temui” “Maksud awak saya yang berhak?” “Kira-kiranya begitulah”, sahut Mahyuddin dengan senyum. Mahyuddin berdiri. Melangkah tiga tapak ke hadapan, bila dia melangkah untuk kali keempat, batang tubuhnya terus hilang dari penglihatan saya. Sebagai manusia yang ingin mengetahui sesuatu, saya segera menerpa ke pintu masjid dan berdiri kaku di situ. Apa yang saya lihat ialah kegelapan malam yang cukup pekat. Di langit tidak ada sebiji bintang tergantung, pokok- pokok di hadapan masjid kelihatan kaku. Bunyi burung kuang kuit mula kedengaran.

"Tamar, kalau burung tu berbunyi, tandanya ada harimau berjalan malam”, kata datuk. Perlahan-lahan saya melangkah meninggalkan muka pintu masjid.

"Biasanya burung tu berbunyi awal tapi malam ni agak jauh malam baru berbunyi, jangan-jangan suara syaitan”, sambung datuk lagi. Saya segera melompat dan tiba-tiba saja saya dapati diri saya berada di celah ketiak datuk.

"Bukan di sini tempat kamu Tamar, pergi tidur di sana”, datuk menolak badan saya dengan keras, tanpa rasa belas kasihan. Akhirnya saya rebahkan badan untuk kali keduanya dekat tiang. Marah juga rasa hati dengan sikap datuk itu. Saya terlelap. Serentak dengan kokok ayam kali pertama malam itu, saya terjaga dari tidur, saya lihat datuk masih lagi menunggu kedatangan Mahyuddin dengan setia, lampu gasolin sudah padam.

"Belum dalang lagi tuk?" "Belum."

"Jangan-jangan dia nak mainkan kita." "Kita tunggu sampai pagi, kalau dia tak datang kita pergi ke rumahnya, lepas tu kita balik ke kampung" Saya terdiam mendengar kala-kata datuk itu, tidak jauh dari tempat datuk duduk, kelihatan cahaya api yang sekejap garang dan sekejap mengecil mengikut tekanan ataupun tiupan angin yang masuk ke dalam masjid. Saya pasti api itu datangnya dari seludang kelapa kering. Siapa yang membuatnya? "Aku yang membuatnya, waktu kau tidur tadi aku cari seludang kelapa, aku hancurkan dengan batu kemudian diikat dengan tali guni, kalau tak ada seludang ni mati kita kena nyamuk”, saya senyum dalam gelap mendengar penjelasan itu.

Memang saya tahu datuk boleh membuat kerja seperti itu tetapi mencair seludang kelapa kering tengah malam, bukanlah satu kerja yang mudah.

"Tidurlah Tamar, kalau dia datang nanti, aku bangunkan kamu”, nasihat datuk pada saya. Tanpa mengucapkan terima kasih pada datuk, saya terus membengkokkan badan jadi macam angka lima untuk menahan kesejukan. Baru sekali lelap, saya terdengar bunyi tapak kaki orang memijak lantai masjid. Cepat-cepat saya buka kelopak mata. Saya lihat datuk berdiri di muka pintu masjid sambil memeluk tubuhnya. Mata datuk tertumpu keluar, dia seolah-olah dapat melihat sesuatu dalam gelap. Lama benar datuk berdiri di situ.

Saya tidak jadi meneruskan tidur saya yang terputus. Saya bangun perlahan-lahan dan terus duduk, semua gerak geri datuk saya perhatikan dengan cukup teliti. Burung kuang-kuik kian kuat berbunyi, bersahut-sahutan dengan kokok ayam yang memanjang. Saya pasti kokok ayam itu bukan kali pertama, paling kurang kokok, kali yang kedua atau yang ketiga. Mungkin kerana Mahyuddin tidak muncul dalam waktu yang dijanjikan, membuat datuk resah.

Datuk meluruskan tangan kiri, tangan kanannya yang meraba ikat kepala itu, saya terdengar desir angin yang cukup kuat, datang dari arah pintu masjid tempat datuk berdiri. Baju dan seluar datuk nampak bergerak-gerak, begitu juga dengan kain ikat kepalanya. Tiupan angin itu cukup kuat membuat datuk terpaksa memegang jenang pintu, kalau datuk tidak berpaut saya yakin dia akan jatuh. Kira-kira sepuluh minit kemudian tiupan angin itu berhenti, saya terdengar seperti ada benda jatuh atas lantai masjid. Datuk menuju ke arah bunyi benda jatuh.
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment