BERJANJI DENGAN SYAITAN
Saya lihat lelaki itu duduk diatas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan datuk hanya memperhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu-talu dari kampung berdekatan. Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang-orang kampung akan datang berjemaah di masjid.
Kalau boleh, datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang-orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu. Kalau orang-orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk. Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.
"Bagaimana? Apakah lafaz taubat yang kau ucapkan tadi benar-benar ikhlas atau ditekan oleh rasa terdesak?", soal Pak Mardan. Lelaki itu tidak menjawap.
"BertaubatIah dengan hati yang jujur. Janganlah kamu ulangi perbuatan yang terkutuk ini. Ilmu dunia tidak ada yang kekal, tidak ada siapa yang gagah dan berkuasa selain daripada Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang lembut. Sinar mata datuk redup memandang wajah lelaki itu penuh simpati.
"Kalau kau dah sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Allah amat mencintai pada makhlukNya yang insaf”, Pak Mardan terus memberi nasihat.
Lelaki itu tidak menjawap. Dia tetap tunduk sambil memicit pangkal kening. Dan datuk sudah tidak boleh bersabar dengan perangai lelaki itu, waktu subuh sudah hampir. Dalam beberapa minit orang-orang kampung akan sampai. Datuk tahu kalau dia tidak bertindak, bererti dia mendedahkan diri lelaki itu pada kecelakaan. Datuk lagi sekali menghampiri lelaki itu. Angin subuh yang bertiup memberi kesejukan pada diri saya. Kokok ayam terus juga bersahut-sahutan. Bintang timur di kaki langit kian mengecil. Tiba-tiba saya lihat datuk menekan tulang bahu lelaki itu dengan tangan kanannya sekuat hati. Saya lelaki itu rebah perlahan-lahan, badannya kelihatan semacam lembik. Datuk pun berhenti menekan bahu lelaki itu.
"Pulanglah sebelum orang-orang kampung datang. Kalau mereka datang kamu akan menerima padah yang buruk”, ujar datuk sambil menampar belakang lelaki itu dengan tapak tangan kirinya.
Lelaki itu bagaikan tersedar dari tidur. Toleh kanan dan mula mahu menyembah kaki datuk. Datuk terus menolak lelaki itu hingga tersungkur ke belakang.
"Jangan perlakukan aku macam itu, antara kita tidak ada siapa yang besar dan harus disembah. Menyembah manusia dan patung perbuatan yang salah dari segi hukum Islam”, kata datuk dalam dingin subuh itu.
Lelaki itu bangun, matanya merenung wajah datuk. Dahinya masih berkerut. Dia membuka mulut sambil berkata: "Jika aku bertaubat kau tidak akan melakukan sesuatu pada aku?"
"Jangan bertaubat kerana takutkan manusia, bertaubatlah kerana insaf dan cinta kau pada Allah”, balas datuk.
Lelaki itu menarik nafas panjang. Matanya masih merenung wajah datuk meminta simpati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dirinya. Datuk meminta dia bercerita bagaimana puncanya dia boleh menuntut ilmu yang bertentangan dengan agama Islam yang suci. Menurutnya, dia terdorong menuntut ilmu salah itu berpunca dari masyarakat di kampungnya yang tidak mahu memaafkan atas perbuatan yang dilakukannya. Meskipun dia mengakui pada mereka, perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak.
"Apa yang kau buat?", tanya Pak Mardan.
"Saya mencuri dua kepul besar padi untuk anak saya yang sakit"
"Bila kau lakukan perkara itu?", datuk pula menyoal.
"Masa mula-mula Jepun datang ke Malaya. Mereka adukan perbuatan saya itu pada Jepun. Saya disiksa meskipun saya menyembah kaki orang yang punya beras itu untuk meminta maaf"
"Lagi?" tanya datuk lagi.
"Saya merasa malu, anak isteri saya merasa malu. Akhirnya saya lari ke Selatan Siam dan menuntut ilmu ini dengan harapan saya akan dihormati dan dikagumi”, jelas lelaki itu dengan jujur.
Datuk dan Pak Mardan berpandangan.
"Tetapi, bila sudah ada ilmu kau jadi manusia yang takbur dan mahu tunjuk kuasa lalu memeras orang lain untuk hidup”, ujar datuk lagi.
Lelaki itu terdiam dan termenung panjang. Datuk dan Pak Mardan tidak tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.
"Jangan takut dan merasa malu sesama manusia, tetapi takut dan malulah pada Allah yang memberikan kau nyawa, tubuh badan dan pancaindera yang tidak ternilai harganya buat kau, bersyukurlah pada kuasaNya dengan mengikut segala suruhanNya dan menjauhi dari perbuatan yang ditegahNya”, datuk terus memberikan penerangan.
Lelaki itu kelihatan resah. Dia mundar-mandir di halaman masjid. Duduk di anak tangga masjid kembali. Tiba-tiba dia batuk bertalu-talu. Dia mengurut-urut dadanya dengan tangan. Nafasnya kelihatan sesak. Bibirnya kelihatan kehitam-hitaman. Saya mula tercium bau kapur barus, bau sintuk dan limau yang selalu digunakan untuk memandi mayat. Datuk menghampiri lelaki itu yang mahu merebahkan badannya atas tanah.
Datuk berdiri lutut, kepala lelaki itu diletakkannya atas peha kanan. Pak Mardan dan saya berpandangan. Subuh sudah pun tiba, sebentar lagi masjid itu akan didatangi oleh orang-orang kampung. Kokok ayam juga sudah mula berkurangan, tidak serancak tadi. Tetapi rasa sejuk terus menggigit kulit badan bersama hembusan bayu subuh yang tenang. Langit biru kelihatan bersih, bersama kepulan awan yang berbagai bentuk. Sesekali saya terdengar bunyi ranting getah dan cempedak yang reput jatuh ke bumi. Saya menoleh ke arah tanah kubur yang terletak di sebelah kanan masjid. Samar-samar saya lihat batu nisan terpacak kaku.
"Badannya dah lemah, gerak nadinya juga lemah”, beritahu datuk pada Pak Mardan.
Mata lelaki itu tegak memandang langit, mata hitamnya sudah tidak bercahaya lagi. Datuk rasa cuping lelaki itu.
"Dia ni dah parah macam terkena bisa”, tambah datuk sambil meraba seluruh kulit lelaki itu.
Tiba-tiba datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas ubun-ubun kepala. Mulutnya bergerak-gerak membaca beberapa ayat dari Surah Yasin.
"Ilmu yang dituntutnya memakan dirinya sendiri”, keluh datuk dan dahi datuk kelihatan berpeluh.
Pak Mardan menekan bibir bawahnya dengan gigi atas. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat lelaki itu menarik nafas panjang dan terus mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas.
Sebaik saja dia selesai mengucap, nafasnya terus terhenti dan datuk merapatkan kelopak matanya dengan menggosokkan ibu jari kiri pada kulit matanya.
"Allah sayangkan dirinya dan dia mati sebagai seorang Islam. Pada zahirnya kita lihat dia sesat
dan jauh terpesong dari ajaran agama. Tetapi dengan kuasa Allah dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah”, keluh Pak Mardan.
Datuk pun mengangkat mayat lelaki itu ke dalam masjid.
"Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan kita sebagai manusia tidak berhak menjatuhkan hukuman pada seseorang itu sebagai murtad atau kafir. Yang berhak menentukan semuanya ini adalah Allah. Dan Allah akan menghitung amalan dan kejahatan seseorang, "kata datuk pula.
Orang-orang kampung yang ke masjid subuh itu terkejut melihat mayat dalam masjid. Datuk lalu memberitahu orang kampung apa yang terjadi. Akibatnya, timbul perbalahan kecil kerana ada orang-orang kampung yang tidak mahu menanamkan jenazah lelaki itu.
"Kamu harus ingat, tanggungjawab orang yang hidup ialah menguruskan mayat ini dengan sempurna, kalau tidak ada seorangpun yang mahu menyempurnakannya seluruh penduduk kampung ini menanggung dosa. Ini fardhu kifayah. Soal dia membuat dosa itu ialah urusan dia dengan Allah”, suara datuk lantang.
Orang kampung yang baru selesai sembahyang subuh berpandangan sesama sendiri. Dan perbalahan yang terjadi terus hilang. Semuanya bersetuju menguruskan mayat lelaki itu.
Akhirnya Pak Mardan dapat juga mengetahui asal-usul lelaki itu. Dia berasal dari satu kawasan di Perlis yang letaknya berhampiran dengan sempadan Siam. Dia datang kesitu kira-kira sepuluh tahun yang lalu, membeli sekeping tanah yang letaknya agak terpencil dari kawasan rumah orang-orang kampung disitu.
Setelah urusan mengkebumikan jenazah selesai, Pak Mardan, saya dan datuk bersiap-siap untuk meninggalkan daerah kampung Sungai Tinggi. Sebaik saja kami melangkah keluar dari masjid, beberapa orang kampung datang menemui datuk. Mereka minta datuk dan Pak Mardan tinggal beberapa hari lagi di situ.
"Kenapa?", cukup lembut Pak Mardan bertanya pada mereka.
"Kami bimbang kalau ada sesuatu yang buruk terjadi”, balas orang kampung.
Datuk garu pangkal kening kiri dua kali. Datuk renung ke langit melihat awan putih yang berarak tenang. Datuk renung muka orang kampung.
"Kenapa kita mesti takut pada cerita yang belum terjadi? Kenapa kita tidak takut pada pada Allah? Kenapa kita tidak memohon perlindungan dariNya, Allah yang berkuasa. Penuhkan masjid dan surau bila sampai waktu sembahyang, bacalah Surah Yasin dengan betul pada setiap malam daripada menghabiskan masa dengan bersembang tidak tentu arah”, terang datuk sambil memasukkan kad pengenalannya ke dalam saku baju.
"Kalau ada awak lagi baik”, balas orang kampung.
"Saya pun memohon dan minta pada Allah. Ingatlah Allah sayangkan orang yang mencintai diriNya. Biarlah kami pulang, saya akan menolong awak jika difikirkan perlu”, datuk pun menarik tangan saya, meninggalkan kawasan masjid dengan diikuti oleh Pak Mardan.
Orang-orang kampung hanya memandang langkah kami yang telah menuju ke tepi jalan raya. Kerana hari masih awal baru jam dua petang, Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Taiping untuk membeli beberapa helai kain pelekat cap siput. Datuk pun memenuhi permintaan Pak Mardan, cara kebetulan pula datuk mahu membeIi beberapa butir kemenyan putih serta pulut hitam. Sementara menanti bas dari Pantai Remis ke Taiping, datuk dan Pak Mardan terus bercakap-cakap.
"Aneh juga manusia yang meninggal tu”, Pak Mardan memulai bicara.
Datuk tersengih sambil menekan daun rumput dengan hujung kasut capal buatan orang Minang. Saya sudah diatas batu tanda jalan.
"Usahlah dikenang dan disebut orang yang dah mati”, balas datuk.
"Kenapa awak tak berusaha mengubatinya?”, Pak Mardan bertanya.
"Bila ajal seseorang itu sudah sampai, tidak ada siapa yang boleh menahannya"
"Kita boleh berikhtiar"
"Menurut cakap guru aku, seorang dukun atau pawang hanya boleh mengubati dan menyembuhkan penyakit setakat 99 jenis penyakit saja dengan izin Allah”, balas datuk.
Pak Mardan menggosok-gosok batang hidungnya dengan ibu jari kanan. Kerana terlalu lama digosok batang hidungnya yang dempak itu menjadi merah dan berkilat bila dipanah sinar matahari.
"Penyakit ini ada berapa jenis?", soal Pak Mardan sambil berhenti menggosok batang hidung. Matanya tajam merenung wajah datuk.
"Kata guru aku yang diketahui ada 100 jenis, manusia cuma boleh berikhtiar dan berusaha mengubatinya setakat 99 saja yang satu lagi tetap menjadi hak Allah. Di sinilah letaknya timbang rasa dan kasihnya Allah pada manusia, dia cuma mengambilnya satu saja. Manusia sudah merasa berat sedangkan yang 99 itu dia suruh manusia berikhtar mencari ubatnya sesuai dengan peredaran masa dan zaman”, datuk bagaikan berkuliah di hadapan Pak Mardan.
Bas yang dinanti pun tiba. Kami pun naik, lebih kurang 45 minit berada dalam perut bas, kami pun sampai diperhentian bas bandar Taiping yang tidak mempunyai bangunan. Dari situ kami bergerak menuju ke bangunan kedai batu sederet yang terletak dijalan besar. Masuk ke kedai menjual kain pelekat kepunyaan India Muslim. Setelah berlaku tawar menawar antara Pak Mardan dengan penjual kain pelekat, Pak Mardan setuju membeli sehelai kain pelekat cap siput yang bercorak besar.
"Untuk dipakai masjid”, kata Pak Mardan pada saya.
"Cukup cantik warnanya”, balas saya.
“Warna tak penting yang penting berapa lama kain ini boleh digunakan”, sahut datuk lalu saya dan Pak Mardan ketawa.
Tuan punya kedai tersenyum dan memasukkan wang yang diambil dari Pak Mardan ke dalam laci yang bermeja panjang. Dari kedai itu, kami menuju ke pasar besar Taiping untuk membeli kemenyan putih dan pulut hitam dari pekedai Melayu. Memang jadi kebiasaan pada diri datuk lebih suka membeli barang dikedai Melayu. Kalau tidak ada, baru dia pergi ke kedai India Muslim.
Saya kira datuk menyimpan sedikit rasa perkauman. Tetapi, bila hal itu diajukan padanya datuk menafikan dengan alasan dia berbuat begitu bukan kerana sikap perkauman. Dia mahu menolong bangsanya yang agak mundur dalam bidang pemiagaan.
"Kalau aku tidak tolong bangsa aku, siapa lagi?" katanya.
Memang ada lojiknya cakap datuk itu. Ketika datuk memilih-milih kemenyan putih yang baik, dia bertemu dengan seorang kenalannya dari Gunung Semanggul, seorang ulama terkenaI di Perak dan pengasas sekolah Al-Ehya Al-Shariff, iaitu Ustaz Abu Bakar Al Baqir (sudah meninggal dunia). Datuk memperkenalkan kawannya itu dengan Pak Mardan. Setelah bertanya khabar tentang anak isteri, datuk terus bercerita pada kawannya itu yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit. Mereka bersalam dan berpisah. Dari pasar kami bergerak menuju ke sebuah kedai buku. Di kedai buku itu datuk membeli beberapa buah kitab yang bertulis jawi.
“Saya balik dulu”, tiba-tiba Pak Mardan memberitahu datuk dalam perjalanan menuju ke masjid bandar Taiping untuk menunaikan sembahyang Asar.
Datuk tidak menjawab kecuali tersenyum sambiI meneruskan perjalanan ke masjid. Bila selesai sembahyang dan berdoa, datuk segera menghampiri Pak Mardan dan berkata:
"Adat orang berkawan, kalau datang berdua pulang pun berdua, mesti sabar dan setia serta bertimbang rasa"
"Saya ada hal”, balas Pak Mardan.
"Pelik juga, tiba-tiba saja ada hal. Kita balik bas pukul tujuh sesudah sembahyang Maghrib di sini"
"Saya tak mahu. Saya nak pulang sekarang”, saya lihat muka Pak Mardan berubah. Matanya kelihatan bercahaya. Datuk termenung panjang.
"Terpulanglah pada awak. Cuma yang dikesalkan permintaan awak saya penuhi. Tetapi permintaan saya awak hampakan. Langkah dan rentak awak tak sama dengan saya”, datuk meluahkan perasaannya.
Pak Mardan diam. Tangan kanannya menekan jenang pintu. Dia merenung kearah datuk macam orang mahu bergaduh.
"Saya tak merasa rugi kalau tak berkawan dengan awak”, memang diluar dugaan saya Pak Mardan mahu berkata begitu pada datuk.
Darah saya naik dengan tiba-tiba. Malu rasanya diri, bila datuk diperlakukan demikian. Saya bangun. Tiba-tiba datuk memegang kaki kanan saya.
"Jangan ikut darah muda. Ilmu kau tidak sebanyak mana jangan cuba nak berlagak. Inilah salah satu sebabnya aku tidak mahu menurunkan ilmu aku pada kau. Kau terlalu pemanas”, kata datuk. Saya duduk kembali.
"Tak apalah Mardan. Pulanglah semoga Allah memberkati perjalananmu, terhindarlah kau dari sebarang kecelakaan dalam perjalananmu Mardan. Maafkan aku”, cukup lembut suara datuk dalam ruang lingkup masjid Taiping yang sejuk dan nyaman itu.
Pak Mardan tidak membalas cakap datuk itu, sebaliknya dia menghempaskan daun pintu masjid dengan sekuat hati. Dia melangkah meninggalkan masjid. Datuk termenung panjang, dia memerah otaknya memikirkan sikap Pak Mardan yang tiba-tiba menjadi marah tanpa sebab. Akhirnya, datuk membuat kesimpulan apa yang dialaminya sebentar tadi sebagai satu pengalaman baru yang aneh dalam hidupnya.
"Ini satu ujian atau sememangnya dia mahu mencabar aku. Kerana dia tahu aku dengannya tidak seguru, bukan sikap aku membeli tidak bertempat”, keluh datuk dalam perut masjid sambil memandang kipas angin yang berputar.
Saya hanya memicit pangkal kening sambil merenung keluar menerusi tingkap masjid yang terdedah. Kenderaan dan manusia yang berjalan dijalan jelas kelihatan dalam sinar-sinar matahari petang yang kian redup.
"Sabar itu kunci kebaikan dan marah itu punca kecelakaan. Itu pesan guru aku dulu dan pesan itu aku sampaikan pada kau Tamar untuk jadi pelita hidup kamu. Dunia ini penuh dengan misteri”, kata datuk merenung muka saya.
Datuk juga memberitahu saya sebab dia mengambil keputusan untuk pulang lewat kerana menurut gerak rasa pancainderanya, perjalanan yang dibuat sebelum matahari terbenam akan berhalangan besar. Sementara menanti matahari terbenam datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran. Saya pun keluar dari perut masjid menuju ke sebuah kedai yang berdekatan. Saya membeli buku tulisan yang setebal dua puluh muka dan sebatang pensil yang sudah siap diasah.
Bila buku dan pensil berada di tangan, saya terasa lapang. Ada sesuatu yang mesti saya kerjakan sementara menanti datuk berhenti membaca Al-Quran. Dengan menjadikan mata tangga masjid sebagai meja, saya terus menulis beberapa rangkap pantun orang tua-tua yang saya minati dalam tulisan jawi yang tidak berapa cantik.
Kebanyakan daripada rangkap pantun itu saya perolehi daripada nenek. Semuanya berunsurkan nasihat dan tunjuk ajar yang baik. Bila ada masa terluang pantun yang saya tulis itu saya bacakan pada nenek, suka benar hatinya. Ini salah satu sebab yang mendorong saya untuk menulis pantun.
"Kenapa duduk menulis di sini, kamu anak siapa? Anak peminta sedekah mana pula yang mahu menumpang di sini? Di sini bukan tempat peminta sedekah. Masjid bukan rumah kebajikan”, berdesing telinga saya mendengar kata-kata itu yang keluar daripada mulut seorang lelaki lima puluhan.
Orangnya kurus dan badannya agak bongkok bila berjalan, memakai kain pelekat dan baju Melayu, misainya tebal tidak padan dengan bentuk wajahnya yang kecil dan kering. Dia memakai songkok putih yang sudah bertahi lalat.
"Saya tunggu datuk saya"
"Mana datuk kamu?"
"Dalam masjid baca Al-Quran"
Lelaki itu diam. Dia terus ke dalam masjid, ambil penyapu lalu membersihkan kesan-kesan pasir yang terdapat ditangga masjid dan ruang hadapan. Tahulah saya bahawa lelaki itu menjadi siak masjid tersebut. Datuk selesai membaca Al-Quran. Datuk menghampiri saya dan matanya memerhati dengan tajam ke arah Tuk Siak yang menyapu bahagian kiri masjid. Lama juga datuk tenung Tuk Siak yang berbadan melengkung.
"Tamar masuk ke dalam baca kitab atau Surah Yasin dari membuang masa di situ”, suara datuk yang agak tinggi dan keras itu membuat Tuk Siak berpaling ke arahnya. Tuk Siak datang mendekati datuk sambil membawa menyapu.
"Awak Mail. Dah lama kerja di sini?"
"Dah lama. Sejak bercerai dengan isteri, saya tinggalkan Kampung Paya Takung dan menetap di sini"
"Baguslah”, balas datuk dan mereka pun bersalaman.
Datuk menyatakan pada Mail (Tuk Siak) yang saya ini adalah satu-satunya cucu yang paling disayangi dan selalu dibawa ke mana-mana sebagai teman. Mail agak terkejut kerana dia memang tidak pemah mengenali saya. Cucu datuk yang lain-lain dikenalinya. Saya memang jarang merayau dalam kampung walaupun jarak kampung saya dengan Paya Tekung tidaklah begitu jauh, lebih kurang sebatu saja.
"Semalam saya ke rumah. Orang rumah kata awak dah keluar dan belum tentu bila baliknya”, kata Mail.
"Apa halnya?"
"Nak minta awak tolong ikhtiarkan tentang anak saya"
"Apa kenanya?"
"Dah berbulan-bulan terbaring dalam bilik. Kadang-kadang menjerit-jerit dan terpaksa diikat. Dua tiga orang tak boleh terpegang"
"Kita bukan pawang, kita bukan bomoh tapi kalau nak mencuba bolehlah. Kita berikhtiar, yang menentukan Allah"
Mail terdiam. Kerutkan mukanya sambil mengigit bibir. Dari gerak matanya, saya kira ada rasa kesangsian bermain dalam hatinya tentang kemampuan datuk. Sudah berbelas dukun dan pawang yang handal dipanggil, tetapi, semuanya gagal. Semua doktor yang ditemui mengatakan anaknya tidak mengalami apa-apa penyakit. Matahari yang tersangkut di langit bandar Taiping kian menurun, sinarnya bertambah redup. Di kemuncak Bukit Maxwell (sekarang Bukit Larut) kelihatan kabus tebal.
"Kita berikhtiar, itupun kalau kau mahu”, datuk bersuara membuat Mail yang termenung itu terkejut.
Dia anggukkan kepala tanda setuju. Dan Mail memberitahu pada datuk, jika anaknya itu diletakkan di bawah pokok asam kumbang besar dibelakang rumah, dia akan segar dan berkeadaan seperti orang biasa.
"Begini saja. Lepas sembahyang Isyak aku ikut kau ke rumah melihat dulu keadaannya”, beritahu datuk pada Mail.
"Saya ingat kita pergi sekarang"
"Boleh juga, dimana rumah kau?"
"Di Kampung Pinang. Saya beli tanah di situ dan buat rumah. Saya dah kahwin dengan orang Kulim"
"Baguslah”, datuk senyum dan Mail menyatakan pada datuk, bahawa nenek saya yang ditemuinya semalam tetap sihat.
Untuk pergi ke rumah Mail, saya dan datuk terpaksa naik lanca (beca roda tiga) yang dikayuh oleh seorang lelaki bangsa India, sedangkan Mail mengekorinya dengan basikal. Waktu membelok di satu selekoh, beca yang kami naiki berlaga dengan sebuah kereta. Badan datuk yang tercampak dari beca menghentak dinding kereta Morris Minor kepunyaan guru besar Sekolah Melayu Selama yang baru dua hari lulus ujian memandu.
Dalam perlanggaran itu, saya tidak apa-apa. Tetapi, tayar beca sebelah kanan jadi macam angka lapan. Dinding kereta Morris Minor remuk dan pintunya tidak boleh dibuka, melihat keadaan kereta itu, hati saya berdebar. Tentu datuk mengalami kecederaan yang parah. Saya tersentak bila melihat
datuk boleh bangun sambil mengibas-ngibas kesan batu-batu kecil yang terletak di pakaiannya. Dia tidak luka dan tidak pula bengkak. Guru besar segera keluar dari perut kereta dengan wajah yang masam dan mula menyalahkan penarik beca. Pertengkaran pun berlaku, masing-masing tidak mahu mengaku salah. Penarik beca kepal buku lima. Guru besar lipat lengan baju. Mereka mahu beradu kekuatan. Orang ramai mula berkumpul.
.
"Mana yang rosak biar saya baik”, ujar datuk lalu memukul dinding kereta dengan tapak tangan kiri.
Bahagian dinding yang remuk elok kembali. Kemudian datuk memegang tayar beca yang jadi angka lapan. Dia urut tiga kali macam urut tangan yang bengkak. Tayar beca itu kembali elok macam asal. Dalam keadaan orang ramai kelam-kabut begitu datuk menarik tangan saya meninggalkan kawasan kejadian sesudah memberi wang pada pemandu beca itu.
Akhirnya kami sampai juga ke rumah Mail dengan beca lain. Di rumah barulah saya mendapat tahu dengan jelas tentang Mail. Di samping menjadi siak dia juga menguruskan pengebumian jenazah orang yang mati di penjara Taiping kerana hukuman gantung (jika tidak dituntut oleh pihak waris). Setelah bercerai dengan isterinya yang dulu, dia membawa anak sulungnya tinggal bersamanya. Setelah anaknya tamat sekolah melalui jasa orang besar Jajahan Larut yang bergelar Tengku Menteri (kalau tak silap saya), anaknya itu dapat bekerja sebagai budak pejabat di Jabatan Ukur. Sejak bekerja, anaknya tidak tinggal bersamanya lagi. Tinggal bersama-sama kawan-kawan dengan menyewa rumah di pinggir bandar Taiping, tidak jauh dari kawasan perumahan sesak di Tupai.
"Naik”, kata Mail.
Saya dan datuk pun ikut perintahnya. Kami terus masuk ke bilik anaknya terlantar, tidak bergerak kelihatan macam mayat. Badan kurus dengan pipi yang cekung.
"Siapa namanya Mail?"
"Razman, orang panggil Man"
"Jadi nama panggilan sehari-hari Man ya. Emaknya siapa namanya?"
"Munah"
"Umurnya?"
"Umur siapa emak atau anak?"
"Anak"
"Dua puluh tiga tahun"
Datuk rapatkan mulut ke telinga Razman dan membisikkan sesuatu. Tiba-tiba Razman membuka mata dan bangun. Dia kelihatan gagah berdiri sambil bertempik dan melompat. Tali belati yang mengikat kakinya terputus. Razman melompat ikut tingkap dan terus lari ke bawah pokok asam kumbang. Duduk bersila di situ, dengan kedua belah tangannya terletak atas kedua tempurung lutut, macam pelajar silat menerima amanat dari guru silat.
"Anak awak ni dah silap langkah”, beritahu datuk pada Mail sambil turun dari rumah menuju ke bawah pokok asam kumbang.
Beberapa ela lagi mahu sampai ke bawah pokok tersebut, datuk mencabut sebatang pokok kecil. Dengan pokok itu datuk membelasah belakang Razman hingga lembik. Kemudian datuk dukung Razman pulang. Di rumah datuk menggosok belakang Razman dengan pucuk pisang nangka hingga kesan berbalar kena pukul itu hilang. Datuk letakkan Razman betul-betul di bawah tulang bumbung rumah.
"Jangan diubah-ubah hingga saya datang pada sebelah malam nanti”, pesan datuk pada Mail.
"Mahu ke mana pula?"
“Ke masjid tadi, saya nak membuat amalan sedikit. Mudah-mudahan dengan izin Allah sakit anak awak akan pulih"
"Baiklah”, sahut Mail.
Saya dan datuk kembali ke masjid semula. Selepas menunaikan sembahyang Isyak, datuk terus membaca Al-Quran. Kira-kira pukul tiga pagi sesudah datuk melakukan sembahyang tahajjud dua rakaat, barulah saya dan datuk pergi ke rumah Mail. Perjalanan pada sebelah malam itu agak berbeza dengan perjalanan waktu siang. Sebelum keluar masjid datuk suruh saya ikat mata dengan kain. Bila kain dibuka saya sudah berada di kaki tangga rumah Mail. Perkara pertama yang datuk lakukan bila duduk di hadapan Razman ialah meminta segelas air sejuk. Setelah air itu ditawar jampi datuk basuh muka Razman dengan air itu. Datuk pegang dan tekan tulang rusuk sebelah kanan Razman dengan jari hantu.
"Man, dari mana kau dapat semuanya ni?" datuk menyoal.
Razman membuka mata. Terkelip-kelip macam mata katak puru kena sembur air. Mulutnya terkumat-kamit tanpa suara. Kemudian Razman rapatkan matanya kembali. Kaku. Datuk mengulangi perbuatannya itu selama tiga kali berturut-turut. Semuanya gagal. Datuk lalu meminta Mail mencari seekor ayam jantan putih. Permintaan itu Mail tunaikan. Bila ayam jantan putih berada dalam tangan datuk, dia segera meninggalkan ruang rumah masuk ke bawah rumah.
Datuk sembelih ayam itu betul-betul di bawah lantai tempat Razman baring. Darah ayam itu datuk isikan dalam cawan putih. Datuk juga memberitahu Mail apa yang dilakukannya terhadap Razman jangan ditegur, walaupun perbuatan itu nampak kejam dan tidak bertimbang rasa. Datuk bawa darah ayam dalam cawan putih keatas rumah. Datuk dekatkan cawan yang berisi darah itu ke hidung Razman. Bila tercium bau darah ayam, Razman segera bangun macam orang sihat mahu meminum darah. Datuk tampar muka Razman dengan sekuat hatinya hingga Razman rebah atas tempat tidurnya kembali.
"Setakat ini sahaja. Esok aku ikhtiarkan lagi”, beritahu datuk pada Mail.
Mail anggukkan kepala dan terus masuk ke bilik tidur. Saya dan datuk pergi ke anjung rumah dan tidur di situ. Malam itu saya tidak mengalami sebarang mimpi yang aneh. Tetapi diri datuk saya tidak tahu.

No comments:
Post a Comment