Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 32

Bomoh Hujan Kena Uji

Suara jeritan itu bergema ke seluruh kampung melesapi puncak Gunung Tungga. Datuk terus mencacakkan buluh runcing ke dada bumi dan melipatkan kaki seluar sebelah kiri separas lutut. Datuk duduk mencangkung dengan tapak tangan kirinya terletak pada bahagian atas buluh runcing. Mulutnya terus ber­gerak, membaca sesuatu. Ketua kampung masih belum sedarkan diri. Saya lihat kaki kanan Osman bergerak-gerak lemah. Kedua belah tangannya menguakkan dahan dan dedaun yang menutupi tubuhnya.

"Bangun”, bisik saya pada Osman dan memberitahu padanya supaya jangan bertanya sesuatu.

Osman patuh dengan permintaan saya itu tetapi wajahnya masih pucat-Iesi. Waktu saya menoleh ke kanan kembali saya lihat datuk sudah berdiri dengan kedua belah tangannya lurus mengarah ke rumah papan beratap rumbia. Mukanya nampak berpeluh. Bila datuk menjatuhkan kedua belah tangannya, saya terdengar satu letupan, macam orang memukul bumi dengan pelepah pisang. Serentak dengan itu, saya lihat api mula berbunga di tulang bumbung rumah. Api itu terus marak dengan hebatnya. Bahang dari api itu terasa panas memukul wajah saya. Kulit muka rasanya bagaikan terbakar.

Cahaya api dari bumbung rumah itu menerangi kawasan tempat kami ber­teduh. Api terus menjulang ke langit dengan hebat bersama bunyi letupan keciI yang sambung-menyambung. Tidak sampai dua jam, rumah papan beratap rumbia itu terus menjadi abu. Ketua kampung pun tersedar dari pengsan.

"Kenapa panas sangat ni?", tanya ketua kampung.

"Itu”, saya menunjukkan kearah rumah yang sudah menjadi bara dengan jari telunjuk. Biji mata ketua kampung terbeliak.

"Siapa yang bakar?", tanyanya lagi.

"Terbakar sendiri!"

Ketua kampung menge­rutkan dahi sambil menggaru batang leher. Da­tuk pun mencabut buluh runcing yang di tanam kebumi. Datuk melihat bahagian bawah buluh yang su­dah ditajamkan itu. Memang terdapat kesan-­kesan darah pada buluh itu. Datuk meng­hilangkan kesan darah pada hujung buluh dengan me­nikamkan buluh itu pada batang pisang emas yang baru tumbuh jantung. Bila datuk mahu mencabut buluh dari ba­tang pisang, saya dan Osman serta ketua kam­pung disimbah dengan air dari arah belakang.

Saya tidak dapat memastikan dari mana arah air itu datang, sama ada dari sebelah kanan atau kiri kerana malam terlalu gelap. Di langit kelihatan bintang-­bintang bertaburan di mana-mana. Angin malam yang bertiup agak keras membuat badan saya mengeletar kesejukan. Saya tidak dapat mengagak dengan tepat pukul berapa ketika itu. Tetapi berdasarkan arah tiupan angin dan gerak awan bersisik ikan di langit, saya agak waktu itu sudah pukul empat pagi. Suara pungguk dan lolongan anjing liar sudah tidak kedengaran lagi.

Dari longgokan bara rumah yang punah, asap nipis nampak berkerut men­julang ke udara yang kemudian berpecah dirempuh angin malam. Datuk meng­hampiri saya.

"Kau kena simbah air Tamar?"

"Ya tok"

"Cuba kau cium lengan kiri kau, ada bau busuk tak"

Saya pun ikut perintah datuk. Walaupun perintah itu ditujukan pada saya tetapi, ketua kampung dan Osman turut bersama mencium lengan kiri masing-masing.

"Busuk, macam bau bangkai”, jawab mereka serentak dan saya anggukkan kepala.

Setuju dengan apa yang dikatakan oleh ketua kampung dan Osman. Datuk menyuruh kami bertiga berdiri di bawah pokok pisang emas yang baru tumbuh jantung. Kami disuruh berdiri dengan menemukan bahu masing-masing. Sesudah itu, datuk menyuruh saya melihat ke arah utara, ketua kampung ke arah selatan dan Osman ke arah barat. Dengan keadaan itu kami tidak dapat memandang wajah antara satu sama lain. Datuk terus mengoncangkan perdu pisang emas yang baru tumbuh jantung dengan sekuat hati. Air embun yang melekat pada daun pisang itu menimpa badan kami.

"Sekarang cium lengan kiri kamu semua”, ujar datuk dengan tenang sambil menekan pangkal dagunya dengan ibu jari kiri.

"Tak ada baunya lagi”, jawab saya.

"Dah hilang busuknya”, tingkah Osman.

"Ya dah hilang”, sahut ketua kampung bersama senyum.

Datuk menyuruh kami duduk semula di tempat asal. Dengan tenang datuk membuka lipatan kaki seluar sebelah kiri. Angin sudah tidak sekuat tadi bertiup, menandakan waktu subuh hampir. Langit kelihatan cerah dan bintang-bintang beransur kurang.

Bara api masih kelihatan merah menyala di tapak rumah yang punah, bunga-bunga api kelihatan menjulang pendek di udara sebelum padam. Datuk memperkemaskan silanya dan terus menekapkan kedua belah tangannya ke dada. Embun subuh sudah terasa menitik ke ubun-ubun kepala. Rasa sejuk kian terasa. Saya tidak tahu apakah yang dilakukan oleh datuk ketika itu. Biji mata saya terbeliak bila saya terpandang dari atas bara api keluar benda putih dan bulat, sebesar buluh lemang yang panjangnya kira-kira dua kaki, terapung-apang di udara macam ditarik oleh sesuatu dari atas. Benda putih terus naik setinggi pokok kelapa dara. Berhenti di situ sebentar.

Kemudian benda bulat itu bergerak macam kilat menuju ke arah kami. Datuk menyuruh kami meniarap supaya benda itu tidak mengenai kepala. Tetapi angin dari benda bulat itu berjaya menerbangkan songkok ketua kampung dan cuping teling saya bagaikan mahu tercabut rasanya dirempuh oleh angin dari benda bulat itu.

Ketika itu juga dari hutan kecil sebelah kami terdengar bunyi suara katak betung bersahut-sahutan yang diselang-seli dengan bunyi suara orang bersorak dan ketawa yang amat menyeramkan. Embun subuh kian rancak menimpa kulit kepala. Terdengar kokok ayam hutan bertali-temali dari kaki Gunung Tunggal.
Saya tidak dapat menahan rasa sejuk yang amat sangat itu. Dahi saya kerutkan. Dagu saya menggeletar yang mengakibatkan gigi atas dan bawah saya berlaga dan mengeluarkan bunyi kerup-kerup yang tidak tentu panjang pendeknya. Suara lolong anjing liar mula kedengaran sayup-sayup dan memanjang macam orang menangis dan meratap sesuatu.

Benda putih itu terus berlegar-Iegardi atas ruang kepala kami. Hari masih lagi gelap. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat datuk berguling-guling atas tanah menuju ke pangkal pisang yang baru tumbuh jantung. Datuk duduk sambil menyandarkan badannya pada perdu pisang itu. Datuk merasa selamat kerana benda putih yang bergerak di awang-awangan itu tidak memburunya. Datuk segera berdiri sambil menekapkan ke dua belah tapak tangannya ke cuping telinga kiri dan kanan, macam orang yang mahu melaungkan azan. Lebih kurang dua tiga minit datuk berkeadaan demikian.

Akhirnya dia datang ke kawasan lapang. Benda putih itu mula meluru ke arahnya. Datuk tidak melarikan diri malah berdiri dengan gagah di situ. Kedua­-dua belah tumit kakinya tidak jejak ke bumi dan lutut kanannya dibengkokkan sedikit. Bila benda putih itu berada betul-betul di ubun kepalanya dengan segera datuk membuka kain merah yang melilit kepalanya. Benda putih itu terus mengelilingi tubuh badan datuk sambil mengeluarkan suara yang berdengung macam suara ayam kampung kena jolok. Kerana terlalu cepat dan Iigat benda putih itu berpusing mengelilingi tubuh datuk. Saya tidak dapat melihat datuk dengan jelasnya. Dalam sekelip mata saja saya lihat datuk terhoyong-hayang macam ditolak sesuatu.

Hati saya mengelabah, saya tahu datuk sedang berjuang menentang sesuatu. Ada niat menolongnya tetapi saya tidak berdaya bergerak. Tempurung lutut dan dan sendi-sendi kaki saya terasa bagaikan longgar sekali. Ketika itu, ada cahaya terang mula bangkit di kaki langit, keadaan hari mula beransur cerah. Datuk masih lagi terhoyong-hayang tidak tentu arah. Tetapi di tangannya masih terlekat kain merah. Datuk bertempik dengan sekuat hatinya sambiI melompat setinggi tiga kaki. Ketika datuk melompat itu dia memukul benda putih itu dengan ikat kepalanya. Dua kali lompat, dua kali pukul tidak menda­tangkan sebarang kesan pada benda putih itu. Datuk kelihatan letih dan tidak bermaya. Saya lihat datuk rebah ke bumi sambil terbatuk-batuk. Mukanya pucat.

Datuk mencium bumi sambil membengkokkan badannya, tidak ubah macam kucing yang bersedia untuk menerkam tikus. Kemudian datuk melompat untuk kali yang ketiga dan terus memukul benda putih itu dengan kain ikat kepalanya sekuat hati. Hari mula beransur samar-samar, di kaki langit cahaya putih mula kelihatan dengan jelas. Datuk kali ini saya lihat terhumban berhampiran dengan bara api yang sedang marak memamah kayu-kayu rumah yang punah. Belumpun sempat badannya menjamah bumi, datuk sudah meletakkan badannya dalam keadaan tegak. Ketika itu juga bara api bertambah kuat cahayanya dan beberapa bahagian dari bara api itu mengeluarkan api. Saya terasa desiran angin dipermukaan bumi.

Saya lihat tapak kaki datuk tidak mencecah bumi. Datuk berdiri atas angin sambil memeluk tubuhnya erat-erat. Dan benda putih di awang-awangan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap nipis. Bila asap nipis itu hilang, terdengar letupan seperti letupan mercun kecil. Benda putih itu terus hilang dan masa itu juga beberapa bilah buluh kering bertaburan atas tanah. Datuk segera menghampiri kami. Kali ini saya lihat wajahnya berseri dan kedua kelopak matanya lembam sedikit kerana kurang tidur.

"Kita balik, sembahyang subuh”, kata datuk.

"Dah selesai ke semuanya pakcik?", tanya Osman.

"Dah. Dengan izin Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui nampaknya kita berjaya"

"Dia tak ganggu kita lagi?", ketua kampung pula bertanya.

"Nampaknya begitulah"

Kami terus pulang ke pondok Osman dan menunaikan fardu subuh. Ketua kampung mempersilakan kami ke rumahnya untuk sarapan pagi. Dia juga menyatakan pada saya, ada sesuatu yang mahu dibincangkannya dengan datuk.

"Saya rasa eloklah sekarang ini kita pergi ke rumah saya”, ulang ketua kampung dengan senyum.

Osman merenung ke muka saya. Datuk menggigit ibu jari sambil merenung kosong ke depan.

"Begini saja tuk ketua. Biarlah Osman dan tuk ketua pergi dulu”, nada suara datuk lembut sambil bangun.

"Kenapa begitu?"

"Saya ada hal sedikit"

"Apa halnya?"

"Saya nak bersenam kemudian nak mandi air embun itu saja. Lepas semua kerja tu saya buat, saya pergilah. Masa saya sampai ke rumah awak hari pun cerah dan kopi sudah tersedia”

"Ha tak apalah”, balas ketua kampung.

Datuk dan ketua kampung ketawa besar. Ketua kampung dan Osman meninggalkan saya dan datuk di pondok. Saya diminta oleh datuk supaya bersenam gerak kucing dan harimau bangun tidur. Tujuan senaman cara lama itu dilakukan untuk menghindarkan dari mengalami sakit pinggang dan lenguh-lenguh sendi. Satu senaman baru yang diajarkan oleh datuk pada saya dan di situ ialah senaman ular salin kulit. Senaman jenis ini lebih banyak memberatkan perkara menarik dan melepaskan nafas, serta pergerakan sendi-sendi urut. Tujuan utama senaman ini ialah, memelihara kulit badan dan muka. Kulit badan tidak mudah kendur dan muka kelihatan muda atau tidak dimakan tua.

Senaman jenis ini hanya dilakukan seminggu sekali. Orang yang melakukan senaman ini di tegah memakan makanan yang banyak mengandungi zat asam selama tiga hari tetapi digalakkan memakan daun hijau yang boleh dibuat ulam seperti daun pegaga, daun ulam raja, daun saderi dan daun kesum serta pucuk manggis muda. Selesai melakukan semua jenis senaman itu, saya dan datuk terus merayau-rayau ke seluruh kawasan kecil berhampiran pondok Osman untuk mandi embun. Akhirnya datuk mengajak saya pergi ke bekas rumah papan beratap rumbia. Ada sesuatu yang mahu datuk cari di situ. Waktu saya dan datuk tiba ke situ, saya dapati bara api sudah banyak yang padam, kayu-kayu alang rumah semuanya sudah rentung menjadi arang.

"Mari kita cari buluh yang jatuh bertabur malam tadi”, saya terkejut dengan ungkapan dari datuk itu.

Bulu tengkuk saya terus meremang. Dada terasa berdebar.

"Mari”, datuk terus menarik tangan saya.

Memang saya tidak ada pilihan lain untuk membantah. Lama juga kami berlegar-legar di kawasan yang kami jangkakan tempat bilah-bilah buluh itu jatuh. Apa yang kami temui di situ ialah bilah-bilah buluh yang sudah rentung. Datuk menguis-nguiskannya ddengan hujung kaki.

"Memang buluh sumpahnya”, keluh datuk sambil menggigit bibir.

"Saya tak faham cakap tok ni?”

"Hanya dengan buluh saja yang boleh menghilangkan kuasa ilmu orang yang menuntut ilmu itu. Aku harap malapetaka yang menimpa orang-orang di sini akan tamat”, tambah datuk lagi, lalu mengajak saya kerumah ketua kampung.

Sarapan pagi dirumah ketua kampung memang enak. Kami dihidangkan dengan kopi panas dan pulut berlaukkan ikan gelama goreng. Anehnya datuk tidak menjamah pulut itu. Dia hanya minum kopi panas sahaja. Ketua kampung tidak puas hati dengan sikap datuk.

"Kenapa tak makan pulut?", tanya ketua kampung.

"Minta maaf tuk ketua, saya memang tak makan pulut ni."

"Kami tak tahu, apa sebabnya? Ada pantang larang ya?"

"Saya ni mengidap sakit angin. Orang sakit angin memang tak elok makan pulut, kerana pulut ni cukup bisa bagi orang yang mengidap sakit itu. Kalau sudah sembuh pun akan sakit semula jika makan pulut"

Ketua kampung puas hati dengan penerangan datuk itu. Ketua kampung merasa bersalah kalau datuk tidak makan di rumahnya. Kerana itu, dia menyuruh anaknya membeli kuih di kedai.

"Jangan, ini sudah cukup untuk saya”, beritahu datuk pada ketua kampung.

"Saya tak puas hati kalau awak tak makan di rumah saya. Begini saja, tengah­ari ni, makan di sini", ketua kampung membuat tawaran lagi.

Tawarannya itu diterima oleh datuk dengan senang hati. Sementara menanti tengah hari datuk kembali ke pondok Osman. Ketua kampung ikut sama. Sampai saja di pondok, Osman ambil sebuah baldi kosong dan mengambil air perigi. Air itu datuk campurkan dengan tujuh jenis daun dan tujuh jenis bunga. Kemudian datuk memerintahkan Osman memakai kain basahan dan di suruh duduk di bawah tangga.

"Nak buat apa ni?,” bisik saya ke telinga datuk.

"Nak buang sial dan badi ilmu salah yang hinggap ke badannya”, balas datuk.

Bila Osman duduk di bawah tangga, datuk terus menjirus air ketubuh Osman dalam tiga peringkat. Lepas itu, datuk tepuk bumi tujuh kali dan dada Osman tujuh kali. Bila sudah selesai barulah Osman disuruh oleh datuk memakai pa­kaian semula.

"Aku harap kau akan selamat terus dan syaitan peliharaan ayah kau sudah hancur. Kau boleh hidup aman di atas tanah miliknya”, jelas datuk pada Osman.

Ketua kampung hanya melihat sahaja apa yang di­lakukan oleh datuk itu dengan tenang.

"Memanglah, syaitan tak tak pernah sunyi dari mempengaruhi umat manusia”, datuk tersenyum mendengar cakap ketua kampung itu.

"ltu memang kerjanya. Dalam Surah An-Nisa telah menjelaskan kerja-kerja syaitan yang berbu­nyi: Dan kehendak syaitan itu ialah menyesat­kan kamu satu kesesatan yang jauh”, ujar datuk lagi.

Ketua kampung angguk kepala. Perbualan datuk dengan kedua kampung cukup rancak sekali. Ba­nyak benar kisah yang datuk dengar dari ketua kampung. Malah datuk sendiri tidak merasa segan dan silu mencari penga­laman-pengalamannya di masa lalu. Perbualan mereka terganggu bila anak gadis tok ketua yang dikiranya menganggu perbualan antaranya dengan datuk.

"Apa halnya”, kata ketua kampung.

Osman segera bangun dan mere­nung tajam ke wajah anak gadis ketua kampung yang berambut panjang, berkulit putih. Mukanya bujur sirih. Tinggi lampai dan berleher jinjang. Saya memang tertarik dengan gadis desa berwajah ayu itu. Bila saya lihat wajah Osman, rasa tertarik yang mula berputik di hati segera saya padamkan.

"Ada orang datang ayah"

"Siapa?"

"Pak Mardan bomoh hujan"

"Hum, sekejap lagi aku balik"

Anak gadis ketua kampung meninggalkan kawasan pondok Osman. Kerana waktu makan tengahari sudah hampir, ketua kampung mengajak kami pergi bersamanya sekali.

"Eloklah tu, saya ingin juga berkenalan dengan bomoh hujan tu, kalau dia baik hati dapat saya menuntut ilmu darinya”, datuk segera bangun.

"Dia tu bukan orang lain dengan saya, kami satu pupu”, tingkah ketua kam­pung dengan tenang.

Ada rasa megah dalam dirinya kerana datuk mahu menuntut sesuatu dari sepupunya. Lepas makan tengahari datuk dapat bercakap panjang dengan Pak Mardan yang sudah berusia hampir lima puluh tahun. Orangnya tegap. Memelihara misai, janggut dan jambang. Dia tinggal di Kampung Kota yang terletak lebih kurang dua batu dari pekan kecil Bruas dalam daerah Manjung. Menurut Pak Mardan, dia kenal baik dengan bomoh patah yang tinggal sekampung dengannya iaitu Bedul Hasyim. Datuk minta Pak Mardan menyampaikan salamnya pada Bedul Hasyim bila dia pulang ke kampungnya kelak.

"Dengan izin Allah akan saya sampaikan”, katanya.

"Saya dah lama tidak jumpa dia"

"Dia masih sihat lagi”, balas Pak Mardan.

Menurut Pak Mardan dia dalam perjalanan ke Sungai Tinggi (sebuah kampung yang terletak dalam daerah Matang, lebih kurang dua puluh batu dari bandar Taiping). Dia diundang oleh anak saudaranya kerana anak saudaranya mahu menikahkan anak perempuannya dengan orang dari Gunung Semanggul.

"Tujuan mengundang kita tu ada tujuan yang tertentu”, keluh Pak Mardan sambil merenung muka ketua kampung.

"Apa tujuannya?", soal Osman.

"Tenaga aku ni diperlukan anak buah, bila mahu menghalau hujan”, Pak Mardan melahirkan rasa hampanya, disambut oleh ketua kampung dengan ketawa memanjang.

Bila Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Sungai Tinggi datuk menolak dengan alasan dia tidak dijemput ke majlis nikah kahwin. Tetapi bila Pak Mardan dan ketua kampung menyatakan bahawa mereka telah diberi kuasa untuk menjemput orang lain ke majlis orang nikah kahwin itu, datuk menerimanya dengan senang hati. Saya mengerti, tujuan utama datuk menerima undangan itu bukanlah kerana mahu makan nasi minyak. Tetapi dia mahu belajar serba sedikit tentang ilmu menahan hujan dari Pak Mardan.

Esoknya saya, Pak Mardan dan datuk terus pergi ke Sungai Tinggi. Kami bertolak dengan bas dari Segari pada sebelah pagi dengan bas. Ketua kampung dan keluarganya bertolak lebih lewat daripada kami. Kedatangan kami di sambut dengan ramah oleh anak saudara Pak Mardan. Kami sempat menyaksikan acara akad nikah yang diadakan pada sebelah pagi, lebih kurang di antara pukul sepuluh hingga sebelas. Acara naik pelamin diadakan kira-kira pukul empat petang setelah tetamu yang dijemput selesai makan.

Pak Mardan merasa senang kerana tidak ada tanda-tanda hari akan hujan. Beberapa orang anak muda di situ melancarkan kutipan memungut wang secara kilat bagi mengundang pancaragam dari bandar Taiping pada sebelah malamnya. Kutipan itu, ternyata tidak cukup dan nasib baik pihak tuan rumah sanggup menambahkan bahagian yang tidak cukup itu. Majlis perkhawinan itu bertambah rancak dengan kehadiran pancaragam dari Taiping itu yang membawakan lagu-lagu rancak dan irama Melayu asli yang disampaikan para penyanyi dari pancaragam tersebut, antara penyanyinya ialah Kamal Harun, Aida Suhana dan Zainal Udah.

Walaupun begitu rancak pancaragam dari Taiping mempersembahkan permainannya, saya lihat Pak Mardan tetap gelisah, begitu juga dengan datuk. Bagi menghilangkan rasa resah itu Pak Mardan terpaksa menghisap rokok tembak berbelas-belas batang. Pak Mardan menarik tangan datuk untuk pergi ke satu sudut.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena malam ni”, Pak Mardan menyatakan pada datuk.

Dcituk termenung panjang mendengar cakap Pak Mardan itu. Dia meraba pangkal kening kanan tujuh kali, meraba telinga kiri lima kali.

"Usah bimbang, kalau ada yang perlu saya tolong tetap saya tolong”, kata datuk. Walaupun begitu wajahnya saya lihat agak sugul sedikit.

"Malam ini ada majlis bersanding?", datuk menyoal Pak Mardan.

"Ada. Sekejap lagi pengantin lelaki datang”

"Kalau begitu eloklah kita kita beringat-ingat, manalah tahu kalau ada hal buruk terjadi"

"Saya faham tu”

Pak Mardan dan datuk duduk kembali di tempat asal. Bila orang ramai mula datang mahu melihat pengantin naik pelamin, tiba-tiba hujan turun mencurah-curah bersama dentuman petir dan guruh. Muka Pak Mardan kelihatan pucat, dia lalu membisikkan pada datuk bahawa hujan yang turun malam itu, bukan sebarang hujan. Pak Mardan yakin hujan itu dibuat oleh manusia dengan kuasa ilmu halus yang tujuannya tidak baik. Hujan jenis ini amat berbahaya buat manusia, sebabnya di dalam air hujan itu terkandung berbagai-bagai kekotoran buatan manusia, begitulah Pak Mardan memberitahu datuk.

"Kau tunggu di sini Mardan”, kata datuk, sebaik sahaja ungkapan itu berakhir, saya dapati datuk ghaib dari penglihatan saya.

Pak Mardan terpinga-pinga. Lebih kurang lima minit datuk menghilangkan diri. Dia muncul kembali dihadapan saya dan Pak Mardan.

"Aku setuju dengan kau Mardan, kita hadapi semuanya ini”, tekanan suara datuk mula meninggi.

Lalu datuk minta Pak Mardan mencari baldi plastik untuk menadah air yang turun dari curung (hujung) atap. Bila air sudah penuh satu baldi, datuk merendamkan tangan kirinya ke dalam baldi itu. Pak Mardan dan saya jadi terkejut bila melihat tangan datuk hitam dan air dalam baldi bergolak. Muka datuk merah padam mulutnya membaca sesuatu, tiba-tiba baldi plastik itu pecah.

"Aku rasa kau saja selesaikan semua urusan ini. Kau sudah tahu hujan itu buatan manusia jahat", datuk memberikan amanat pada Pak Mardan. Dengan senang hati Pak Mardan menerimanya dan meminta saya membantunya.

"Bantulah dia Tamar. Aku ada, bukan apa-apa kau hanya melihat saja”, datuk memberikan keizinan pada saya. Dia juga memberikan saya beberapa butir batu gunung yang putih untuk di taruh dalam kocek baju.

"Mardan, dalam dugaan aku, orang ini mengirimkan guna-guna melalui hujan buatannya pada pengantin perempuan”, pesan datuk pada Pak Mardan.

Saya lihat Pak Mardan anggukkan kepala lalu meminta baldi plastik yang baru dari tuan rumah. Dia menadah air hujan hingga penuh satu baldi. Kemudian Pak Mardan mengajak saya masuk kerumah dan terus ke bilik pengantin.

"Usah bimbang, aku ni pangkat datuk pada kau”, Pak Mardan memberitahu pada pengantin perempuan yang duduk terseliput dihadapan katil. Kemudian Pak Mardan meminta pada pengiring pengantin supaya membawa pengantin itu ke bilik lain. Permintaan Pak Mardan dituruti. Tinggalah saya dan Pak Mardan dalam bilik itu. Pak Mardan terus membasuh seluruh mukanya dengan air hujan di dalam baldi. Dia kemudiannya memusatkan seluruh pancaindera dan membaca mantera yang dipelajari dari gurunya. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak sebanyak 29 kali. Bila mulutnya bergerak untuk kali yang ketiga puluh, saya terdengar bisik-bisik halus dari jauh yang tidak menentu. Tetapi akhirnya saya dengar nama Halimah disebut-sebut.

"Apa yang kaudengar?", Pak Mardan menyoal saya.

"Orang memanggil nama Halimah"

"Halimah tu nama pengantin tadi, kita masih ada masa untuk berusaha"

"Kau tunggu di sini"

Pak Mardan terus keluar. Saya mula terasa khayal tidak menentu, bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Rasa khayal itu segera hilang bila Pak Mardan menepuk bahu kiri saya. Bila saya menoleh ke belakang, pengantin perempuan sudah ada dalam bilik. Pak Mardan menyuruh pengantin perempuan itu duduk di tepi katil. Dia juga menyuruh tuan punya rumah memberitahu orang ramai dan pihak pengantin lelaki acara bersanding terpaksa ditangguh dengan alasan Halimah sakit. Pak Mardan menyuruh Halimah memegang besi kuning yang diberikan oleh Pak Mardan padanya.

"Kau pegang besi kuning tu kuat-kuat, jangan kau lepaskan walau ada yang terjadi. Kau jangan menjerit”, itulah pesan Pak Mardan pada Halimah.

Saya lihat Halimah anggukkan kepala. Kemudian saya dan Pak Mardan keluar dari bilik pengantin. Pak Mardan membimbit baldi. Hujan dan petir terus menjadi-jadi.

"Ke mana Pak Mardan?"

"Ke bahagian belakang rumah"

Saya dan Pak Mardan memijak anak tangga dengan teliti. Bila sampai dihadapan datuk, Pak Mardan tersenyum.

"Buatlah apa yang patut. Aku menanti di sini kerana perbuatan jahat dibuat melalui air hujan eloklah kausaja yang selesaikan. Kau lebih arif dari aku”, cukup tenang datuk bercakap dan Pak Mardan menerimanya dengan rasa yang tenang.
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment