Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 27

Manusia Tanpa Kepala

Datuk pun membasuh kepala dan muka lelaki itu dengan air daun pisang dara. Datuk juga membasuhkan seluruh tubuh lelaki itu dengan air bunga tujuh jenis dan tujuh warna. Kedua belah tapak kaki dan tangan lelaki itu dibasuh oleh datuk dengan air tanah liat.

Akhirnya, datuk menjiruskan air penawar dari kepala ke kaki lelaki itu datuk merimbaskan badan lelaki dengan kain hitam sebanyak tiga kali. Dengan penuh teliti, datuk menyarungkan kain pelikat ke badan lelaki malang itu dalam keadaan terbalik.

Cara menyarungnya juga agak ganjil iaitu, dari kepala ke kaki. Datuk membawa lelaki tersebut pulang ke rumahnya. Datuk minta lelaki itu baring di muka pintu dan datuk meletakkan batang tepus atas dada lelaki itu. Datuk berdiri di anak tangga terakhir sambil matanya menatap wajah lelaki itu.

"Kau sekarang bangun perlahan dengan tangan kiri kau menolak batang tepus hingga ke hujung kaki”, kata datuk dan lelaki itu patuh dengan apa yang dikatakan oleh datuk.

"Sekarang, tak ada suatu apa pun yang mesti kautakutkan. Tugas aku sudah selesai”, beritahu datuk pada lelaki itu sambil melangkah ke dalam perut rumah. Datuk duduk dengan tiang seri menyandarkan badannya. Saya bersandar dekat dinding. Matahari pagi kian meninggi, sudah masuk pukul sepuluh pagi. Saya kira bila kerja datuk sudah selesai tentu dia akan pulang.

Paling lewat tiga atau empat petang kami akan meninggalkan Kuala Terong, fikir saya dalam hati. Lelaki yang sudah diubati oleh datuk terus menghidangkan kopi pada saya dan datuk. Lelaki itu sendiri menuangkan air kopi ke dalam cawan.

"Minumlah. Goreng pisang belum masak”, ujar lelaki itu.

Datuk senyum. Saya terus menghirup kopi. Tiba-tiba saya terse­dak. Air kopi bersembur ke atas lantai.

"Kenapa?", suara datuk keras.

Biji matanya terbeliak merenung wajah saya. Hati saya jadi ke­cut bila datuk memandang demikian.

"Kopi ni panas tok”, ujar saya.

"Kalau dah tahu panas, kenapa kau telan. Apa kautak boleh tunggu sampai air itu sejuk”, teka­nan suara datuk cukup keras dan meninggi.

Wa­jahnya masam. Saya tahu, datuk memang tidak senang dengan perangai gelojoh saya itu. Datuk mahu saya menjadi manusia yang penuh sopan santun, bila menghadapi hidangan terutama sekali bila berada di rumah orang.

"Tak apalah tu. Tapi Kamal mana dia?", tanya lelaki itu sambil menyapu air kopi yang tumpah di lantai dengan kain buruk.

"Dia terus balik”, jawab saya.

"Oh begitu, saya tak sedar. Uda Lodin juga tak nampak batang hidungnya”, tingkah lelaki itu lagi.

"Uda Lodin tu penat”, datuk bersuara tenang.

Lelaki itu tersenyum. Tanpa memberitahu saya dan datuk, lelaki itu terus ke dapur. Datang semula sambil membawa sepiring goreng pisang. Kami pun makan bersama. Memang sedap makan goreng pisang panas bersama air kopi. Bila sarapan pagi sudah selesai, datuk menghampiri lelaki yang isterinya menjadi hantu itu sambil berkata:

"Kau ampunkan dosa isterimu?"

"Saya ampunkan"

"Kalau begitu, malam ini kita adakan majlis tahlil"

"Saya tak ada wang"

"Aku beri kau wang”, nada suara datuk cukup tegas.

Datuk selok saku dan mengeluarkan wang. Dengan wajah yang agak cemas lelaki itu menerima wang pemberian datuk. Saya juga hairan dari mana datuk memperolehi wang. Setahu saya sewaktu datang dulu, datuk tidak banyak membawa wang. Saya segera menghampiri datuk dan terus bertanya dari mana dia dapat wang. Datuk menerangkan pada saya, bahawa wang yang diberikan pada lelaki itu adalah daun-daun kering. Dalam tempoh tertentu wang itu akan akan jadi daun kembali.

"Kenapa tok buat begitu?"

"Untuk menolong orang susah"

"Rugilah orang yang menjual barang padanya"

"Tidak. Sebelum wang kertas itu bertukar menjadi daun seperti asalnya, orang bunian isteri aku akan datang dan menukarkan wang yang betul pada penjual barang tersebut"

Saya menarik nafas panjang mendengar penjelasan datuk itu. Sebenarnya datuk bagaikan berahsia dengan diri saya tentang ilmu kepandaian yang ada pada dirinya. Dia hanya menunjukkan kebolehannya dalam waktu yang tertentu tanpa di duga atau dijangka oleh sesiapa. Berdasarkan pada itulah saya lebih senang mengikutinya walau ke mana-mana.

Dan majlis tahlil pun berlangsung di rumah lelaki itu. Lima belas orang telah hadir. Datuk sendiri jadi tukang masak dan membacakan doa. Bila acara majlis itu selesai, datuk memberitahu pada orang yang datang itu bahawa apa yang berlaku itu adalah petunjuk dari Allah untuk renungan manusia yang masih hidup.

"Jadikanlah ini sebagai contoh dan tauladan. Allah dapat menunjukan kebesaran dan kekuasaanNya pada bila-bila masa”, nada suara datuk menurun.

Orang yang berada dalam rumah tertegun. Tumpukan perhatian pada cakap datuk.

”Jika kamu sayangkan isteri kamu, cuba elakkan atau kawal diri mereka dari jadi penderhaka pada kamu. Isteri yang derhaka pada suami, tidak akan mencium bau syurga”

"Tetapi, suami akan berdosa besar, kalau menggunakan taat setia seorang isteri untuk mencari kesempatan”, datuk mengakhiri cakapnya.

Bila semua tetamu malam itu pulang, saya dan datuk mengambil tempat di ruang hadapan untuk tidur.
Lelaki itu tidur dalam bilik, manakala Uda Lodin tidur di rumah lain. Uda Lodin bimbang kalau dia tidur di situ, pengalaman ngeri yang dilalui akan terulang lagi. Lebih kurang pukul dua belas malam lelaki itu mengejutkan datuk. Saya secepat kilat bangkit dari baring.

"Ada apa?" tanya datuk.

”Bagaimana cara saya nak ampunkan isteri saya?"

"Hum..", datuk garu pangkal kening.

"Saya termimpikan dia menangis di atas tanah lapang”, ujar lelaki itu lagi.

Saya sandarkan badan ke tepi dinding. Datuk pun menyoal lelaki itu waktu bi­la ia mengalami mimpi itu.
Apakah masa dia mahu tidur tadi badannya bersih dan ada membaca ayat-ayat suci.

"Masa saya masuk tidur saya ada air sembahyang. Sebelum tidur saya membaca ayat al Kursi”, jelas lelaki itu.

"Isteri kau mengharapkan keampunan dari kau?"

"Apa yang mesti saya buat?" tanyanya lagi.

Datuk bangkit dari tidur. Datuk berjalan di kawasan ruang itu dua tiga kali. Suasana malam cukup sepi.

"Kau pergi ke kubur isterimu tujuh pagi. Bacakan surah Yassin. Setiap kali kau sembahyang subuh, berdoalah pada Allah minta dosa isteri kau diampun­kan", itu nasihat datuk pada lelaki malang itu.

"Saya buat. Saya mahu rohnya tenang dan damai. Saya ampunkan dosanya”, kata lelaki itu.

Dia pun meninggalkan saya dan datuk di ruang hadapan. Malam itu tidur saya cukup nyenyak. Bila bangun pagi, badan terasa segar lebih-lebih lagi bila mandi embun bersama datuk. Kulit badan terasa sejuk dan kelihatan kemerah-merahan. Pagi itu saya bersama datuk meninggalkan Kuala Terung menuju ke pekan Pekan Terung. Datuk terus menemui Uda Lodin yang memang menanti kedatangannya.

"Kita balik berasinganlah”, beritahu datuk pada Uda Lodin.

"Sebab?"

"Aku nak pergi ke pekan minggu di Changkat Jering. Aku nak beli parang"

"Bagaimana bayaran ubat menolong orang tu? Saya dah minta pada orang kampung tiga ratus ringgit. Mereka setuju bayar"

Dahi datuk bergerak-gerak. Biji matanya macam berputar-putar merenung muka Uda Lodin. Datuk terus memegang batang leher Uda Lodin.

"Kenapa ni?”, Uda Lodin terkejut.

"Ingat aku bukan cari makan dengan cara ini. Aku menolong orang kerana Allah, bukan niat aku nak buat harta dengan ilmu yang ada pada aku ni. Ilmu ini pemberian Allah untuk menolong orang. Aku nak hidup mesti berusaha cara lain. Lagi sekali kau cakap macam itu, aku patahkan batang leher kau”, cukup keras suara datuk.

Dua tiga orang yang lalu di situ berhenti. Mereka mendekati datuk dan Uda Lodin. Salah seorang daripada mereka menyangka datuk dan Uda Lodin ber­gaduh, lalu menasihati datuk dan Uda Lodin supaya berdamai.

"Jangan campur, ini urusan kami”, ujar datuk pada orang itu.

Dengan wajah yang tersipu-sipu orang itu menjauhkan diri dari datuk dan Uda Lodin.

"Kau pergi beritahu pada orang yang kau cakapkan mahu wang, katakan apa yang aku buat itu semuanya percuma. Tak kena bayar satu sen pun”, datuk mengeluarkan perintah pada Uda Lodin.

Tanpa banyak cakap Uda Lodin terus naik bas yang memang menanti penumpang untuk pergi ke Kuala Terung. Datuk terasa lega.

"Kawan ni adakalanya jadi racun”, rungut datuk sebaik saja bas bergerak menuju ke Kuala Terung.

Datuk yakin Uda Lodin akan memberitahu pada orang tertentu dengan apa yang di katakan oleh datuk padanya. Saya dan datuk terus menahan teksi yang dipandu oleh pemuda berbangsa Cina menuju ke pekan minggu Changkat Jering. Memang, tujuan utama datuk ke situ untuk membeli sebelah parang panjang. Setelah membayar harga teksi tersebut, saya dan datuk terus masuk ke dalam gerai menjual buah-buahan kampung hingga ke gerai makanan, saya dengan datuk berjalan dalam suasana tenang.
Akhirnya, kami pun sampai ke gerai yang menjual golok serta parang ke­punyaan Usman Rumba dari Sayong, Kuala Kangsar. Di samping menjual golok dan parang, Usamn Rumba juga menjual labu sayung atau labu air yang terkenal itu. Datuk memberi sebilah parang panjang berulukan tanduk kerbau serta tiga biji labu air. Setelah membayar harga barang yang kami beli, datuk pun mengajak saya pergi ke gerai kopi yang berhampiran dengan balai polis di situ.

Waktu mahu masuk ke gerai ter­sebut, seorang angota polis lengkap dengan pakaian seragam dengan pistol terselit di pinggang, berlari ke arah datuk. Polis itu menepuk bahu datuk dari belakang. Darah saya tersirap. Apakah salah yang telah datuk lakukan? Kenapa datuk mesti di tangkap? Persoalan itu timbul dalam tengkorak kepala saya.

"Kau Atan”, ujar datuk sebaik saja matanya tertumpu ke wajah anggota polis yang berusia kira-­kira empat puluh tahun itu.

Anggota polis itu me­nyatakan rasa kagumnya kerana datuk masih dapat mengingatinya, walaupun sudah hampir dua puluh tahun tidak bertemu. Anggota polis itu berasal dari Johor dan pernah bertugas di balai polis Pekan Bruas sekitar tahun 1943-1945. Awal tahun 1946 dia ditukarkan ke balai Polis Umbai, Melaka. Sejak itu hubungannya dengan datuk putus sarna sekali.

"Ini siapa?", tanya anggota polis itu pada datuk sambil merenung muka saya.

"Tamar cucu aku”, jawab datuk.

Anggota polis tersenyum. Dia memberitahu datuk bahawa anak sulungnya yang sebaya dengan saya sudah bekerja sebagai anggota polis dan ditempatkan di Kuala Terung juga. Kemudian Atan (anggota polis), mengajak saya dan datuk ke rumahnya. Barangkali ada tujuan yang ter­tentu. Paling kurang, dia mahu menuntut ilmu dari datuk, fikir saya.

Memang tepat apa yang saya duga. Dia memang sudah lama mencari datuk untuk diajak ke Batu Pahat. Dia menyatakan hanya datuk seorang saja yang boleh menyele­saikan masalah yang di hadapi oleh pihak keluarganya. Sudah banyak pawang dan dukun terkenal dipanggil ke tempatnya. Tetapi, mereka tidak berjaya mengatasi masalah yang yang menimpa keluarga anggota polis itu.

"Apa masalahnya?”, soal datuk.

"Kubur anak saudara saya berasap"

"Kuburnya berasap?" datuk terkejut.

"Biasanya kubur itu berasap pada sebelah pagi dan senja. Serentak dengan itu orang yang dekat tanah kubur terdengar suara orang menjerit minta tolong”, terang anggota polis itu.

Datuk terdiam. Datuk tidak jadi minum kopi yang di hidang oleh isteri anggota polis itu. Saya kira datuk terkejut dengan apa yang didengarnya itu. Lama juga datuk termenung. Dahinya berkerut. Belum pemah dia mendengar dan berhadapan dengan peristiwa semacam itu.

"Ada gambar anak saudara awak tu di sini Atan?", datuk renung muka anggota polis itu.

"Ada, nanti saya ambilkan”, anggota polis masuk ke dalam bilik dan keluar dengan sekeping gambar poskad ditangan. Gambar itu diserahkan pada datuk. Lama juga datuk merenung wajah anak saudara anggota polis tesebut. Tanpa mengucapkan sesuatu, datuk memulangkan gambar tersebut pada anggota polis yang berasal dari Johor itu.

"Saya boleh cuba”, pendek datuk memberikan jawapan.

"Terima kasih”, wajah anggota polis itu saya lihat berseri-seri. Senyumnya tidak putus-putus bermain dibibir.
"Bila kita akan pergi?”, tanpa sabar-sabar anggota polis itu mendesak.

Datuk menggigit bibir sambil merenung ke wajah saya.

"Minggu depan, kita bertolak petang"

"Eloklah tu, saya boleh minta cuti"

"Cara nak pergi macam mana? Pergi bersama atau bersingan?”, datuk mengajukan pertanyaan.

"Kita pergi dengan kereta saya”, lega hati saya mendengar pengakuan dari anggota polis itu.

Saya tahu, kalau berasingan, datuk akan menunggang harimau peliharaannya waktu malam. Satu cara yang amat tidak saya sukai. Seram sejak badan saya memaut batang leher harimau, meskipun harimau itu jinak dan boleh diurut ekor dan kepalanya. Datuk terus memberi alasan kenapa dia terpaksa pergi ke Batu Pahat minggu depan. Pertama dia mahu menemui isteri mudanya (orang bunian) sebelum berjalan jauh. Kedua, dia perlu menghubungi harimau belaannya untuk jadi pengiring ketika dia berada di sana. Dan ketiga datuk perlu membuat persiapan-persiapan yang tertentu.

Sementara menanti minggu depan, saya dan datuk pulang ke kampung. Sernasa berada di kampung boleh dikatakan setiap malam datuk memanggil harimau belaannya datang ke halaman rumah. Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih dan menyediakan air dalam bekas buluh gading. Datuk bermain-main dengan harimau di bawah cahaya bulan yang sedang mengambang dan datuk memberitahu pada harimau belaannya itu supaya pergi ke arah selatan tanahair.

Kadang-kadang saya lihat datuk duduk atas belakang harimau dengan isterinya orang bunian menuju ke arah Bukit Kota. Anehnya, bila saya bangun dari tidur pada esok harinya, saya dapati datuk berada di rumah. Waktu bila dia pulang saya sendiri tidak tahu.

Pagi Selasa itu, sebuah kereta Austin 1100 bercat merah yang dipandu oleh Atan (anggota polis) datang ke rumah datuk. Mana barang yang difikirkan perlu dimasukkan ke dalam bahagian belakang kereta itu. Tepat pukul sepuluh kami pun bertolak. Lebih kurang pukul empat petang kami pun sampai di Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur. Kami singgah di rumah Kadir Khan, pangkat abang ipar kepada Atan (Kadir Khan baru saja ditauliahkan menjadi sarjan di Balai Polis tersebut). Balai polis Cheras kami tinggalkan setelah menunaikan sembahyang Maghrib.

Sepanjang perjalanan datuk tidak putus-putus bercerita dengan Atan. Ternyata banyak yang datuk tahu tentang keluarga dan sanak-saudara Atan. Perjalanan yang amat membosankan itu saya isikan dengan tidur. Bila jaga saya akan melihat keluar. Pemandangan malam memang tidak menyenangkan hati saya.
Saya juga tidak pernah bertanya pada datuk, bandar atau pekan yang dilintasi oleh kereta yang saya naik itu. Buat apa bertanya, buat penat mulut saja. Tidak banyak kendaraan yang kami temui atau berselisih dengan kami sepanjang perjalanan. Badan terasa cukup sejuk. Bila saya melihat keluar, saya terasa takut melihat hutan dan bukit yang tertegun di kiri kanan jalan. Tiba-tiba saya terasa Atan memperlahankan laju keretanya.

"Pukul berapa?", saya terdengar suara datuk.

Atan tidak tidak menjawab pertanyaan itu. Kereta bagaikan ditarik sesuatu dari belakang.

"Pukul dua”

"Kita dekat mana ni Atan?"

"Dekat Sungai Rambai, dah dekat sempadan Johor"

Saya terasa cukup resah. Saya yakin kereta yang saya naiki itu tidak bergerak. Walaupun Atan menekan minyak dan dan memutar setering. Saya panjangkan leher ke depan. Kepala saya hampir saja mahu menyentuh kepala Atan. Saya terkejut besar. Saya lihat muka Atan pucat. Matanya tajam merenung ke depan. Ada sesuatu yang tidak kena terjadi pada kami.

"Tok”, saya mecuit bahu datuk, ”kereta kita tidak berjalan tok”, tambah saya lagi.

Datuk anggukkan kepala. Secara mengejutkan saja, datuk menampar dahi Atan. Saya lihat Atan terpinga-pinga macam orang bangun tidur. Dia menyebutkan sesuatu mengenai kereta yang di pandunya tidak bergerak. Empat tayar kereta bagaikan terlekat pada sesuatu. Tidak ada sebuah pun kereta yang lalu untuk diminta pertolongan. Suasana cukup gelap. Datuk membaca sesuatu dan menghembus pangkal telinga Atan.

"Mengucap Atan”, kata datuk.

Atan pun mengucap dan datuk tahu bahawa Atan sudah pulih dari keadaan khayalan. Bila datuk bertanya pada Atan kenapa dia jadi demikian, Atan menyatakan yang dirinya berada di satu tempat lain yang indah, diapit oleh wanita sambil mendayung sampan.

"Kau diresapi syaitan penunggu”, bisik datuk ke telinga Atan.

Dengan pertolongan lampu kereta, saya melihat tubuh manusia tanpa kepala sedang menunggang basikal. Saya segera memberitahu pada datuk dan Atan. Rupanya mereka melihat apa yang saya lihat.
Tubuh manusia tanpa kepala yang naik basikal itu kian hampir pada kami dan berhenti betul-betul di hadapan kereta yang di pandu oleh Atan. Jentera kereta serta-merta mati. Datuk buka pintu kereta, saya dan Atan pun keluar sarna. Dada saya berdebar. Jalan raya itu terasa kosong benar. Tidak ada kenderaan yang lalu, tidak ada manusia yang berjalan. Dari hutan kecil di kiri kanan jalan raya terdengar
bermacam-macam bunyi.

Ada bunyi air terjun, ada bunyi suara orang menyanyi. Hati saya jadi kecut, lembaga tanpa kepala itu turun dari basikal. Saya lihat batang lehernya berlubang penuh dengan urat-urat yang bertuntai atas dada. Darahnya meleleh di seluruh badan.

"Syaitan”, jerit datuk.

Mulutnya membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu lalu dilemparkannya ke arah lembaga tanpa kepala. Lembaga itu menjerit dan terus melompat ke atas basikal. Kami segera masuk kereta. Datuk menyuruh Atan mengekori lembaga itu. Bila sampai ke kawasan Sungai Kesang, lembaga tanpa kepala itu terus hilang. Sampai ke Batu Pahat hal itu diceritakan oleh Atan pada kawan-kawannya. Menurut kawan-kawan Atan, tubuh tanpa kepala itu memang selalu mengacau pemandu kendaraan. Menurut mereka tubuh tanpa kepala itu berasal dari tentera Gurkha yang di pancung oleh tentera Jepun dalam perang dunia yang kedua dulu.

Lebih kurang pukul sembilan pagi pada hari Isnin, kami pun sampai ke Kampung Jorak Ilahi. Atan memperkenalkan datuk dengan ayah saudaranya iaitu, Omari berusia lebih kurang enam puluh tahun, ada ladang kelapa dan kopi. Pada mulanya, datuk membuat keputusan untuk menginap di masjid berhampiran tanah perkuburan itu.

"Tidur di rumah saya. Masjid itu dikawal jin”, Omari memberitahu datuk.

Kemudian Omari pun bercerita tentang beberapa keanehan yang terjadi pada masjid itu. Datuk tidak begitu tertarik dengan cerita tersebut. Datuk hanya tertarik tentang kubur anak Omari yang berasap dan menjerit waktu senja dan pagi. Setelah berbincang dengan Omari dan Atan, datuk bersetuju melihat kawasan kubur yang di katakan itu. Bila bunga senja mula jatuh di seluruh Kampung Jorak Ilahi, datuk pun memakai seluar hitam dan baju hitam. Datuk ikat kepala dengan kain merah.

“Biar saya tinjau dulu dengan cucu saya”, beritahu datuk pada Omari dan Atan.

Kedua-duanya anggukkan kepala tanda setuju. Omari menyerahkan pada datuk sebatang anak kopi berdaun tiga. Memang, datuk menyuruh Omari menyediakannya untuk tangkal. Waktu saya dan datuk sampai di pinggir jalan kawasan perkuburan, tengkok saya terasa seram. Ada bunyi suara burung murai batu dan puyuh tanah. Suasana sekeliling kelam dan samar-samar. Datuk dan saya berdiri tenang menghadapi batu-batu nisan yang memenuhi tanah perkuburan.
Angin yang bertiup menolak dedaun di tanah perkuburan. Dedaun itu berlaga sesama sendiri dan melahirkan bunyi air ombak diselang-seli dengan bunyi orang ketawa. Terdengar bunyi suara jampok dan burung hantu kubur mengkais-kais tanah. Secara mendadak saja saya memeluk tubuh datuk, bila saya terdengar bunyi suara orang menjerit dan minta tolong di tanah perkuburan dalam suasana senja yang bertambah gelap.

Tanpa banyak bercakap, datuk mengheret saya ke tengah kawasan perkuburan. Langkah kami mati bila berhadapan dengan sebuah kuburan yang mengeluarkan asap nipis dari rekahan tanah antara dua batang nisan. Datuk pun membakar liIin. Asap itu jelas kelihatan macam wap yang keluar dari ketul ais. Suara orang minta tolong dan ampun menendang gegendang telinga saya. Suasana di kawasan perkuburan itu amat menakutkan saya.
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment