Wednesday, July 13, 2011

Siri Bercakap Dengan Jin :: Siri 17

Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli - Siri ke 17

Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam bilik Latifah.

Latifah Berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta. Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan tiliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Dtuk keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselipang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.

Datuk duduk di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah ditamparnya dengan belakang tangan. Latifah bangun dan terus duduk.

"Apa yang kau nampak nak?" tanya Wansi.

"Orang hitam mengajak saya keluar," sura Latifah merendah.

"Lagi apa yang dibuatnya pada kau," sanggah datuk.

"Dia lari dengan tiba-tiba," jawab Latifah tenang.

Wansi terdiam seketika. Dia meminta pencil dan kertas. Bila kertas dan pencil sudah ada di tangannya. Dia menulis sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulinya itu diserahkan pada Haji Azhar.

"Bacalah ayat ini, ke telinga Latifah bil di agak resah. Dan kau harus mengamalkannya," ujar Wansi.

"Caranya?" tanya Haji Azhar.

"Baca seratus kali selepas kau sembahyang yang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu, banyak faedahnya. Untuk menghalau hantu syaitan." Cukup lebut nada suara Wansi. Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi pendek yang berbentuk tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.

"Besi ni saya tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik," tambah Wansi. Besi tulang mawas bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.

"Untuk apa?"

"Untuk mengubat penyakit anak kau," sahut datuk.

"Kalu dalam tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?"

"Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya," Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.

Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar supaya mengunci bilik dari dalam. Dan jangan memperhiraukan dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.

Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi datuk dan Wansi menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja untuk mengubati Latifah.

Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur. Lampu gaslin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah sengaja dipendekkan oleh datuk. Cahayanya sekadar cukup menerangi wajah datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya kerana itulah saya tidak dapat tidur.

Saya merenung ke arah datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir pukul dua malam. Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.

Angin malam yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa membengkokkan badan, seperti angka lima. Sayup-sayup saya terdengar suara burung hantu dan suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih juga belum tidur.

Tiba-tiba, datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila datuk menyalakan lampu minyak tanah kembali terdapat batang pisang berkembar dua terletak atas lantai di anjung rumah. Batang pisang itu seolah-olah baru lepas digunakan untuk memandikan mayat. Bila datuk mahu menjamah batang pisang tersebut, cepat-cepat Wansi menyepak tangan datuk.

"Jangan dipegang," kata Wansi.

Saya mengeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh dengan sendiri hingga kain yang saya pakai terlucut dari pinggang. Saya bogel dalam sinar samar-samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang terpandangkan saya turut tersenyum.

"Kau pergi ke sana," katanya pada saya, sambil merungut kerana datuk membawa saya. Tanpa banyak bicara saya akur dengan perintahnya. Saya bersandar pada tiang rumah. Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap berkepul-kepul. Dua tiga ekor kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di anjung ruamh, kelawar hitam itu akan kencing, airnya merah macam darah.

Di luar anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat ada bayang putih memanjang melayang di halaman rumah. Darah saya tersirap. Benda putih itu masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul-betul di tengah-tengan batang pisang. Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam, salakkan anjing dan suara jampuk bersahut-sahutan. Kelawar yang hinggap di bahagian anjung rumah terus bersuara, cukup seram, giginya yang putih berkilat itu nampak tajam di samping memperlihatkan taringnya.

Saya jadi tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah syaitan-syaitan ini akan meragut nyawa saya. Timbul pertanyaan dalam diri. Dalam keadaan yang serba gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong ayat al-Quran yang saya kira dapat menghalau syaitan-syaitan itu. Datuk dan Wansi kelihatan tenang memandang batang pisang yang berasap itu.

Wansi berdiri lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan kanan yang diangkatnya itu dirapatkan pada lubang telinga kanannya. Sementara tangan kirinya diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak ke depan. Manakala kaki kirinya dibengkokkan sedikit.

Wansi menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap dalam loghat bahasa Bawean, selesai dia bercakap, beberapa ketul batu dan kayu berterbangan masuk ke dalam anjung ruamh. Wansi sedikitpun tidak bergerak. Bunyi suara kucing hutan melalak di bawah rumah. Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana datangnya berlompatan di lantai. Semuanya melompat ke tanah. Sebaik saja tupai-tupai itu ghaib, seekor beruk besar muncuk di depan datuk dan Wansi.

Kali ini datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak, tentulah datuk tahu, bahawa kawannya itu tidak berdaya menentang cubaan syaitan-syaitan itu. Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mentera hingga tubuhnya kelihatan berasap. Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang, bergerak sendiri menuju ke muka pintu dan hilang dalam gelap.

Tempat batang pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang panas itu terasa ke muka saya. Wansi mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula runduk. Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar mejadi bara sebesar bola pingpong. Bara itu terbang. Berlegar-legar dalam rumah akhirnya keluar menuju ke pondok tempat saya dan datuk serta Wansi beranung dulu. Pondok itu terbakar.

"Orang ni benar-benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu membinasakan kita," kata Wansi sambil melurut langan kirinya dengan tapak tangan kanan. Dalam beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara api sebesar bola pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat-cepat Wansi mengelakkan diri. Sementara itu , datuk masih berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan ganas itu mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.

Bara api sebesar bola pingpong terus berlegar-legar dalam ruang anjung. Wansi mula bertindak, saya lihat mukanya berubah. Mulutnya terus bercakap dalam bahasa Bawean. Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam, kemudian bola bara api itu dipegangnya sekuat hati. Saya lihat tapak tangannya berasap. Saya kira dalam hal ini Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan dengan kehandalan yang terdapat dalam diri datuk.

Datuk tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali datuk terbatuk dan mengeluarkan darah yang cukup kental. Saya urut belakang datuk. Wansi meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung rumah. Dia rapat pada datuk. Dua kali dia menumbuk belakang datuk.

Datuk terbatuk,dari mulut datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat bulu. Cacing dan ulat bulu itu bergerak atas lantai. Wansi memukulkan uncangnya ke muka datuk. Datuk segera pulih. Wansi kembali ke tempat arang yang diletaknya. Arang itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia terletak di situ, Berlilit dengan kain. Matanya terkedip-kedip merenung ke muka datuk, bagaikan minta pertolongan.

"Saya kenal dia Wansi," kata datuk.

"Siapa manusia ni?"

"Bomoh orang asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya dua kali," terang datuk dengan jujur. Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila di depan kepala manusia yang seoah-olah melekap pada papan lantai itu.

"Kenapa kau buat jahat dengan orang?" tanya Wansi.

"Saya dapat upah encik," jawab kepala itu dalam gaya bahasa orang asli bercakap Melayu. Matanya terkelip-kelip macam katak puru kena sembur air. Wansi atau datuk. Biarkan mereka dengan tugas mereka. Saya cuma mahu melihat peristiwa ini sebagai bahan kenangan atau sejarah yang tersimpan dalam diri saya. Itu saja tekad saya.

"Siapa yang mengupah kau?" datuk menyoal.

"Orang kampung ini juga."

"Siapa namanya."

"Tak boleh cakap encik, itu sumpah saya,"

"Awak tahu, kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain," kian keras nada suara Wansi. Datuk mula resah. Dia berpusing-pusing dua tiga kali di depan kepala yang terlekap di lantai.

"Tak tahu encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu meludah mukanya waktu dia usik-usik untuk ajak kahwin, orang itu maki dia, jadi saya ingat perbuatan orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya tolong dia." Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup siksa.

Datuk dan Wansi berbisik, Kepala yang terlekap di lantai kelihatan bergerak-gerak. Mukanya berpeluh-peluh. Dua tiga helai rambunya gugur. Suasanan malam yang tadi agak gawat sekarang sudah cukup tenang.

"Awak mesti bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan kepala awak di sini," Wansi mula mengugut. Datuk mengigit bibir.

"Jangan buat jahat dengan orang encik."

"Saya tak buat jahat, awak yang mulakan dulu."

"Saya mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu sekarang?"

"Jangan kacau orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa orang di baruh yang upah awak?"

"Baiklah encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan saya tidak balas dendam."

"Kami tak mahu balas dendam, kami cuma mahu tahu saja."

"Orang itu akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya akan suruh dia jumpa encik,"

"Bila?" potong datuk dengan cepat.

"Dua hari lagi."

Selesai saja orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu dengan uncang yang dibuat dari kain hitam. Kepala orang itu pun hilang. Jam milik Haji Azhar berbunyi empat kali berturut-turut. Dingin subuh mula meresap ke batang tubuh saya. Dalam kedingannan yang menggigit tulang itu saya terlelap . Bila saya membuka kelopak mata, matahari pagi sudah pun memancarkan sinarnya di halaman rumah. Murai dan merbah sudahpun berhenti berkicau.

Datuk dan Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok nipah. Mereka merenung ke arah pondok yang tertegun gagah di bawah kelopak matahari pagi. Kepala saya terasa pening kerana malam tadi saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri pondok itu musnah dijilat api. Apakah saya bermimpi atau ditipu oleh perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul berbagai pertanyaan dalam hati kecil saya.

"Kenapa pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat terbakar," itulah pertanyaan pertama pagi itu, saya ajukan pada datuk. Datuk merenung muka saya sambil tersenyum.

"Memang terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan," balas datuk.

Saya terdiam. Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan pada sesiapapun tidak ada orang yang percaya sedangkan pada kenyataannya saya melihat kejadian-kejadian itu sendiri.

Bila datuk melihat daya termenung panjang, dia pun menghampiri saya. Dan menyatakan apa yang saya lihat iut, bukanlah satu perkara yang aneh. Semuanya terjadi atas kemahuan Allah yang maha besar.

"Allah itu maha pemurah dan panyayang."

"Jadi," tingkah saya.

"Dia akan memperkenankan apa juga yang diminta oleh mahkluknya sama ada jahat atau baik."

"Kalau minta jahat bagaimana?"

"Dipenuhinya dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai manusia kita diberikan fikiran untuk meminta sesuatu yang baik atau jahat."



MENGAKU

Saya pun angguk kepala mendengar cakap datuk itu. dalam masa yang sama Haji Azhar minta datuk dan Wansi duduk sebulan di tempatnya.

"Minta maaf, saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat kerana ada orang yang akan datang ke sini?" Saya lihat wajah Wansi cukup tenang.

"Siapa?" soal Haji Azhar.

"Nantilah saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat kerana saya belum lagi membuat persiapan untuk…'" suara Wansi terhenti. Dia merenung keluar pada pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi. Matahari terus bersinar garang.

"Nak ke mana selepas mengubat anak saya ni?"

"Saya nak berangkat ke Tanah Suci," jawapan Wansi itu amat mengejutkan hati datuk. Memang sebelum ini, Wansi tidak pernah menceritakan hal itu padanya. Saya merasa amat kagum dengan datuk dan Wansi yang tidak mahu menceritakan apa yang di alaminya malam tadi pada Haji Azhar. Meskipun Haji Azhar bertanya beberapa kali. Seolah-olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.

Bagi menanti hari Jumaat yang ditunggu, saya dan datuk serta Wansi ke Cangkat Banjar dan Cangkat Melintang mencari akar-akar kayu dan pucuk-pucuk hutan. Akar-akar kayu yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan kopi, sementara pucuk-pucuk kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan sembahyang subuh.

Menurut Wansi akar-akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang, darah tinggi. Pucuk-pucuk hutan pula berkesan bagi perjalanan darah di samping mengkalkan wajah supaya kelihatan muda dan merah.

PAGI JUMAAT

Memang sudah menjadi amalan dalam hidup datuk selepas menunaikan sembahyang subuh, dia akan membaca Quran. Begitu juga dengan Wansi. Saya disuruh oleh datuk membaca surah Yassin. Kelam-kabut juga saya dibuatnya oleh datuk. Bagamana tidak menggelabah bila datuk menyuruh saya membaca surah Yassin tanpa naskah Yassin Bila melihat saya dalam keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yassin pada saya.

"Kau mesti ikut macam datuk kau, boleh baca Yassin tanpa buku," ujar Wansi.

"Dah diajar, tapi cucu saya ni keras kepala sikit," tingkah datuk. Disambut dengan ketawa yang memanjang dari Wansi.

Ketika matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar, kelihatan seorang pemuda berbadan tegap mendatangi ke arah datuk dan Wansi. Sebaik saja sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi mempersilakannya naik.

"Jangan mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya macam tebakar hangat sampai ke pagi," terus terang pemuda berkulit hitam manis, berhidung mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan datuk berpandangan.

"Badan saya masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar terang, kabus nipis kelihatan keluar dari bumi di antara pepohon manggis dan langsat. Suasanan di Kampung Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan kicau burung. Melompat dari dahan ke dahan.

"Apa sebabnya awak datang ke sini?" datuk bersuara parau.

"Sayalah yang mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke dalam perut anak Haji Azhar," sambung pemuda itu sambil merenung lantai. Wansi memperkemaskan silanya.

"Kau harus tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa besar. Allah tidak dapat mengampunkannya sekiranya orang yang kena aniaya itu tidak memaafkannya," terang Wansi.

"Saya tahu, saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana mengikut nafsu." Sebaik saja pemuda itu selesai bercakap. Haji Azhar dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun segera datang. Duduk bersila di antara datuk dan Wansi.

"Inilah orang yang saya tunggu," kata Wansi pada Haji Azhar. Bila mata haji Azhar terbeliak. Dia kenal benar dengan pemuda itu, pernah berkerja dengannya sebagai pemandu bot penambang dari Belanja Kiri ke Pekan Parit, di seberang tebing Sungai Perak, Haji Azhar tahu pemuda itu boleh bergerak bebas dalam kawasan rumahnya. Orangnya pendiam dan bersopan-santun.

"Apa, dia keluarga awak?" Satu pertanyaan keluar dari mulut Haji Azhar.

"Tidak tuanHaji," pendek jawab Wansi.

"Habis kenapa dia jumpa awak."

"Usah tanya tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak, jangan rosakkan budak ni, jangan dipukul atau membalas dendam."

"Saya tak faham."

"Saya boleh beri awak faham, tapi awak jangan membalas dendam kerana perbuatan itu ditegah oleh agama kita yang suci, kalau awak boleh memenuhi syarat ni, awak akan bahagia hidupnya dan pemuda ini akan tenteram jiwanya."

"Saya berjanji," satu keputusan tegas dari Haji Azhar.

Datuk serta Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan sambil bersalaman, waktu salam keduanya belum terbuka. Datuk membaca ikrar yang bermaksud, bahawa Haji Azhar tidak akan membalas dendam dan pemuda itu akan bertaubat. Selasai saja ikrar itu dibuat, barulah Wansi menceritakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu terhadap anaknya. Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.

Bila semua urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa selamat. Dan pada keesokan harinya kami bertiga pun berangakat meninggalkan Kampung Belanja Kiri. Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar datang ke rumahnya lagi sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda yang dipilih oleh Haji Azhar.

Dengan pemuda pilihan bapanya itu, Latifah memperolehi dua orang anak. Sekarang Latifah menetap di Kulai, Johor. Menurut cerita yang terbaru saya dengar, anak sulung Latifah sudah melahirkan dua orang anak. Haji Azhar meninggal dunia dalam tahun 1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya masih lagi hidup dan tinggal bersama Latifah.

Pemuda yang mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung, Belanja Kiri, sesudah meminta ampun dan maaf pada Haji Azhar. Walaupun perkahwinan Latifah pada hari itu cukup merah tetapi datuk tetap berwajah suram, kerana Wansi yang banyak berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal dunia di Tanah Suci.

JUMPA BOMOH ORANG ASLI

Dua hari selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu, saya dengan datuk pergi ke Cangkat Pinggang dekat Kampar kerana urusan membeli tanah dusun. Dua malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan. Lepas itu kami bertolak ke Tapah. Di Tapah datuk menginap dua hari di rumah kawannya di Lubuk Katak kira-kira suku batu dari Pekan Tapah.

Pada keesokan harinya saya dengan datuk bertolak dari Pekan Tapah menuju ke Cameran Highlands. Sampai di Batu enam belas datuk memetik loceng bas. Kami turun di situ. Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri kanannya di tumbuhi pokok-pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan orang asli.

Tidak jauh dari kampung ornag asli pada masa itu, terdapat berberapa buah bangunan pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek haidro elektrik. Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemuda Melayu terutama di bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu. Pergerakkan pekerja-pekerja itu dapat dilihat dengan mudah dari perkampungan orang asli yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang projek itu sudah siap.

Kedatangan saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah agak garang itu. Namanya Bah Lanjut. Dia mempersilakan saya dan datuk duduk di anjung rumahnya. Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam diri saya, bila melihat anjing kepunyaannya berkeliaran dalam rumah. Hati saya agak terhibur kerana dari radionya terdengar suara Saloma mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang menjadi lagu top ketika itu.

Kerana mahu menghormati datuk dan saya yang diketahuinya tidak berapa senang dengan keadaan rumahnya, lalu dia menempatkan kami di sebuah pondok yang keadaannya cukup bersih. Siap dengan tempat tidur dan tikar sembahyang. Menurut Bah Lanjut, pondok itu memang dikhaskan untuk orang Melayu dan Islam bermalam bila meminta ubat darinya. Dalam pertumuan itu Bah Lanjut berkali-kali minta ampun dan maaf atas perbuatannya di masa lalu. Malah, dia sanggup mengajar beberapa ilmu yang ada pada dirinya untuk datuk.

Hasratnya itu tidak ditolak, datuk mahu menuntut ilmu darinya asalkan ilmu yang dituntut itu tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah. Bagi tujuan itu, datuk dan saya terpaksa tinggal di perkampungan orang asli itu selama dua minggu. Di sini tugas saya bertambah lagi, terpaksa menjadi tukang masak pada datuk di samping berburu ayam hutan dan pelanduk untuk lauk makan tengahari dan malam, beras disediakan oleh Bah Lanjut hasil dari tanaman padi humanya di lereng bukit.
Line leaf top Pictures, Images and Photosonion head Pictures, Images and Photos

No comments:

Post a Comment