Lata Meraung merujuk kepada kawasan air terjun yang menarik berhampiran Bandar Jerantut. Perkataan 'Lata' adalah merujuk kepada kawasan air terjun, manakala perkataan 'Meraung' diberi nama kepada kawasan air terjun tersebut kerana deruan air yang jatuh ke permukaan kolam seolah-olah bunyi orang sedang meraung.
Pada suatu masa dahulu, kawasan tersebut hanya didiami oleh Orang-orang Asli, seiring dengan perubahan dan dengan adanya kemudahan jalan raya dan kemudahan asas yang lebih baik, lebih ramai penduduk mula mendirikan petempatan dipinggir-pinggir jalan menghala ke Lata Meraung. Malah wujud pekan mini komuniti cina di laluan menghala ke kawasan air terjun.
Bagi pengunjung yang berminat ke Lata Meraung, mereka bolehlah menggunakan khidmat pemandu pelancong yang terdapat di Bandar Jerantut memandangkan tiada kemudahan bas awam atau teksi yang sering berulang alik ke kawasan tersebut.
Pelancong yang lebih suka berjalan kaki juga adalah tidak digalakkan memandangkan jaraknya yang sangat jauh daripada laluan bas awam dan kewujudan lori balak-lori balak yang menjadi maharaja di laluan tersebut. Bagi pelancong yang berkereta, tiada masalah untuk mengunjungi kawasan tersebut memandangkan telah wujud sistem jalan raya yang agak baik. Ini berikutan adanya petempatan, dan wujudnya sebuah padang golf berhampiran Lata Meraung.
Jarak dari Bandar Jerantut ke Lata Meraung adalah lebih kurang 15 KM. Dari Bandar Jerantut, pengunjung harus meneruskan perjalanan melalui jalan besar Jerantut-Benta.
Terdapat beberapa peringkat air terjun disini, bagi pengunjung yang datang berkeluarga mereka boleh memilih untuk mandi manda bersama anak-anak di kolam paling bawah memandangkan ia lebih selamat. Namun, awasi keluarga anda kerana kawasannya yang berbatu dan agak licin. Sesetengah kawasan adalah agak dalam dan anda diminta berhati-hati.
Bagi pengunjung yang sukakan aktiviti lasak atau santai mereka boleh berjalan-jalan disekitar trek hutan yang disediakan. Bagi mereka yang suka berkhemah, sebuah kawasan perkhemahan juga turut terdapat disitu. Namun, dapatkan kebenaran daripada pihak berkaitan terlebih dahulu.
Terletak dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut, hutan lipur Lata Meraung terdapat pelbagai spesies pokok balak seperti kempas, meranti, penarahan dan kelat. Hutan lipur ini juga menjadi tumpuan pelajar mengenali lebih dekat pelbagai spesies pokok balak dan herba.
Keadaan persekitaran kawasan hutan lipur Lata Meraung yang sejuk dan redup menarik kunjungan pelbagai spesies burung, serangga, tupai, pacat, kelawar dan kera. Jika bernasib baik, pengunjung yang bermalam di situ dapat melihat haiwan kecil seperti landak, kancil, pelanduk, musang dan burung hantu.
Diuruskan Pejabat Hutan Daerah Jerantut, hutan lipur Lata Meraung memang terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing. Pengunjung yang berminat ke Hutan Lipur di Jerantut boleh berurusan dengan Pejabat Hutan Daerah Jerantut.